Thursday, February 2, 2012

Ampunilah Aku by DJKC (Lagu Original)


Sebanyak mana kisah² seram dan misteri yang kita baca jangan sesekali kita menduakannya.
Tangkal, azimat, wafaq dan sebagainya adalah menduakan Allah.
Semoga kita digolongkan dalam orang² yang beriman dan ahli Jannah, Insha Allah.

Siapa "Wanita" Itu???

Assalamualaikum KC...

Nama saya Acik. Saya ingin berkongsi tentang pengalaman yang tak dapat saya lupakan yang terjadi di dalam bilik saya. Saya berkongsi bilik bersama dengan abang saya. Saya tidur di atas katil manakala abang saya tidur di bawah. Pada malam kejadian, abang saya masih belum pulang ke rumah. Waktu itu jam menunjukkan pukul 11 malam. Saya pun memasuki bilik untuk tidur dahulu.

Sedang saya tidur, saya terasa sangat bahang akibat cuaca yang tidak menentu. Saya pun tersedar dan mencari alat kawalan jauh untuk hidupkan alat pendingin hawa. Sedang saya mencari alat kawalan jauh itu, saya perasan bahawa abang saya sudah pulang dan telah pun tidur. Tiba-tiba, saya terperasan ada sesuatu yang terbaring di sebelah abang saya. Betul-betul terbaring bersebelahan dengan abang saya. Susuk tubuhnya seperti seorang wanita. Tapi mata saya kelihatan samar-samar kerana saya tidak memakai cermin mata pada malam itu. Saya tenung dengan teliti dan "wanita" itu sedang merenung ke arah saya!!! Rambutnya panjang. Tetapi saya rasa mengantuk yang teramat sangat dan tidak menghiraukannya.

Keesokan paginya, saya bangun dan memberitahu ibu saya, "Ma, semalam abang bawa balik perempuan eh???" Ibu saya terkejut akan pertanyaan saya. Ibu saya terus menelefon abang saya yang sedang berada di tempat kerjanya. Apabila ibu saya bertanya kepada abang saya samaada dia ada bawa balik perempuan ke rumah atau tidak, abang saya menjadi marah dan terkejut. Saya kenal abang saya. Abang saya tidak mungkin akan bawa balik perempuan ke rumah, lagi-lagi kalau bawa perempuan masuk bilik yang dikongsi dengan saya. Saya menjadi hairan dan tertanya-tanya. Siapakah "wanita" yang saya nampak pada malam itu???

TERIMA KASIH ACIK!!!

Pengalaman Di Batam

Assalamualaikum Bro KC,

Ini ada sedikit pengalaman saya bersama rakan-rakan saya bila berada di Pulau Batam. Kami ingin berehat dan bersantai di pulau itu dan inilah pengalaman saya yang tidak dapat saya lupakan.

Nama saya Akai, pengalaman saya terjadi pada tahun 2005. Saya dan rakan-rakan berangkat di Pulau Batam untuk bersantai di Hotel Harmuni. Kami berlapan menempah empat bilik berkembar / bercantum. Saya bersama rakan saya bernama Leman berkongsi satu bilik. Kami sampai hampir waktu senja. Setelah menempatkan barang-barang di dalam bilik hotel, kami pergi makan dan beli sedikit barang untuk dibawa pulang ke Hotel. Kami pulang ke bilik hotel sekitar jam 9 malam. Teman-teman yang lain semua ingin berehat dan saya yang rasa bosan di bilik berkata dengan Leman yang saya ingin keluar untuk berhibur di salah sebuah disko. Dia cakap dengan saya, "Kau tak penat ke?" saya cakap biasa aje. Kawan saya cakap, "Kalau kau keluar, aku kunci pintu... " Terus saya tak jadi keluar (takut tidur luar hahahaha...).

Jam di tangan saya sudah menunjukkan 12 malam. Leman pun dah tidur, jadi saya pun mandi dan terus bersiap untuk tidur. Saya menonton televisyen sekejap. Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti kereta sedang berlumba di luar. Saya pun kejut Leman dan bertanya, "Eh apa dah malam-malam ni ada lumba kereta ke?" Kami berdua ketawa. Saya terus buka pintu balkoni dan nak tengok apa yang terjadi. Bila saya jenguk tak nampak apa-apa pula. Saya terus tutup pintu balkoni dan televisyen, lalu masuk tidur.

Sekitar 45 minit kemudian, televisyen dihidupkan dengan sendirinya. Saya ingat Leman yang sedang menonton, jadi saya pun berkata, " Eh kawan, mahu tengok TV janganlah hidupkan suaranya kuat-kuat..." Saya lihat lagi ke arah Leman tetapi dia sedang tidur dan berdengkur. Saya pun mengambil alat kawalan jauh dan matikan televisyen itu. Saya letakkan alat kawalan jauh itu di atas meja. Dalam masa setengah jam kemudian, televisyen itu hidup kembali, dan suaranya kedengaran lebih kuat. Saya terkejut dan terus mematikan suis utamanya. Saya dah tahu ada benda yang tak kena. Tak sampai beberapa minit kemudian, ia dihidupkan lagi. Saya dengan perasaan marah, berkata, "Jangan kacaulah... Aku nak tidurlah!!!" terus televisyen itu mati dengan sendirinya.

Keesokan harinya saya dan Leman terperanjat apabila salah sebuah bantal yang tidak kami gunakan seolah-olah mempunyai bekas seperti ada kepala orang yang telah baring di atasnya. Kami pun tak cakap banyak lalu memindah hotel hari itu juga. Itulah cerita saya...

TERIMA KASIH AKAI!!!

Padah Meninggalkan Solat Sewaktu Hayat...

Salam kepada peminat MJ12 sekelian,

Anda mungkin pernah terbaca kisah ini di laman Facebook, kerana semenjak seminggu yang berlalu ini, ramai yang telah berkongsi dengan teman-teman mereka kisah di sebalik cerita yang menyayat hati ini. Bagi mereka yang belum sempat membacanya, kami di blog rasmi Misteri Jam 12 akan berkongsi sama kisah ini. Semoga menjadi iktibar untuk kita bersama... Terima kasih kepada Shairul Rafi yang berkongsi kisah ini bersama kami...

MJ12 Admin...

********************************************************************

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital...

" Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa. Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung. Ustaz," kata wanita itu. "Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. "Betulkah ini mayat anak makcik?" tanya saya. "Makcik rasa betul... Tapi kulitnya putih." "Makcik lihatlah betul-betul." kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat. Tiba di luar saya bertanya kepadanya.

"Makcik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak makcik bertukar jadi hitam?" tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu. "Baiklah, kalau makcik tidak mahu beritahu, saya tak mahu uruskan jenazah anak makcik ini..." kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatah pun. Dia memang anak yang baik. Tapi... Apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan makcik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang makcik kesalkan." kata wanita tersebut.

Jawapannya itu memeranjatkan saya. Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barangsiapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam. Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengafankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang." Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya,wajahnya, cara pertuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi... Emaknya dah meninggal lima tahun lalu!" Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi 'siapakah' yang datang menemui saya pagi itu?

Walau siapapun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya. Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?

Ingatlah... Azab meninggalkan solat fardhu ini amat dahsyat dan tidak putus-putus seksaannya dari kehidupan dunia hinggalah kehidupan akhirat. Semoga kita semua mengambil iktibar dari cerita ini dan menjadi orang yang sentiasa menjaga solat, InsyaAllah...

Tuesday, January 31, 2012

Cik Pon Bertenggek Di Lampu Isyarat

Salam KC,

Saya Akmal, pendengar dari utara Malaysia, di negeri Perak. Saya dengar MJ12 melalui radio internet. Kisah yang saya nak sampaikan ini berlaku pada hujung tahun 2011. Lebih tepat lagi pada 22 Disember lalu. Pada masa itu merupakan hari Khamis malam Jumaat. Dah melangkah pukul 12 lebih malam, saya dan teman terasa lapar, jadi kami keluar hendak pergi mencari makan. Kami hendak ke restoran makanan segera McDonald's yang terletak lebih kurang dalam sejam perjalanan.

Pada mulanya perjalanan kami lancar. Sampailah satu masa kami berhenti di sebuah lampu isyarat sebab lampunya merah. Agak lama kami di situ. Ketika itu kami sedang mendengarkan MJ12 menerusi khidmat radio internet di dalam telefon bijak (smartphone). Sambil borak2 dengan teman, saya memalingkan kepala hendak melihat lampu isyarat. Terkejut saya dibuatnya apabila ternampak ada Cik Pon bertenggek di situ. Saya macam terkedu seketika.

Saya hendak larikan pandangan tapi tak mampu, jadi mata saya terus terpaku melihat si Cik Pon ni. Kepalanya sekejap senget ke kanan, sekejap ke kiri. Kalau tak silap, mukanya pucat sekali. Warna biru2 pucat begitu. Saya tak perasan berapa lama saya berada dalam keadaan tergamam seperti itu, tetapi lori lalu di sebelah sambil membunyikan hon, saya tersentak lalu terus bergerak dari situ. Saya apa lagi, terus pecut. Sampai restoran itu, saya menceritakan kepada teman, tapi dia memang tak perasan apa2. Jadi, kami lepak di restoran makanan segera itu sampailah masuk waktu Subuh, baru kami pulang ke rumah. Itu saja.

TERIMA KASIH AKMAL!!!

Telinga Ditiup oleh Sesuatu...

Salam DJ KC dan para pendengar MJ 12,

Kisah ini berlaku semasa saya sedang menjalani latihan perkhidmatan negara pada tahun 1999 di Akademi Polis Lama. Saya masih ingat lagi, hari itu jatuh pada hari Rabu. Pada setiap Rabu, para pelatih seperti kami diberi kelepasan selama tiga hingga empat jam dan dikehendaki pulang ke akademi pada 9:30 malam.

Di dalam skuad saya, semua orang dapat pulang kecuali saya, sebab saya didenda kerana membuat kesalahan. Kesalahan saya kerana ditangkap menghisap rokok dan disebabkan kesalahan itu, saya tidak dapat keluar pada malam itu. Sebaliknya tiap2 sejam saya dikehendaki berbaris seorang diri hingga ke pondok pengawal untuk pegawai bertugas menandatangan buku nota saya sebagai petanda saya telah menjalani "hukuman".

Pada sekitar jam 7 malam apabila saya sudah berbaris balik dan tiba di "barrack" saya, saya pun membuka pintu dan langkah masuk. Tiba2 saya terasa kedua-dua telinga saya ditiup oleh sesuatu, namun tidak ada sebarang orang pun yang ada di dalam. Saya berdiri tercegat di situ dan merasa keliru dan takut. Kemudian ia terjadi sekali lagi, terus saya menghempas pintu lalu langkah seribu dan berlari keluar. Saya tunggu di luar pintu itu dan tidak berani memasukinya lagi. Pada setiap sejam selepas berlapor di pondok pengawal, saya tidak kembali ke "barrack", lalu tunggu seorang diri di "mess hall". Memang seram kerana tidak ada pegawai lain yang ada pada masa itu.

Apabila yang lain semua tiba pada 9:30 malam, saya tidak menceritakan hal ini pada sesorang pun, takut2 ada orang yang akan anggap saya bohong atau mengada-adakan cerita ini. Selepas itu, kawan saya pun mengalami kejadian yang serupa. Kejadian ini berterusan hinggalah kami mengakhiri latihan di akademi itu dan dihantar ke divisi masing-masing. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman saya.

Sekian,

Ucop

TERIMA KASIH UCOP!!!

Monday, January 30, 2012

Misteri Jam 12 - DJKC @ Sembawang Part 2 of 3



DJKC menunjukkan persekitaran tempat berlakunya kisah yang disampaikan dari emel. Apa jua anggaplah semua ini hanya sekadar hiburan dan jangan mudah percaya atau terlampau taksub. Selamat menonton...

Sunday, January 29, 2012

Misteri Jam 12 - DJKC @ Sembawang Part.1 of 3 (2012)


Ini adalah rakaman video saya membaca kisah seram, di lokasi berlakunya kisah yang diceritakan dalam emel yang saya terima. Jangan kita mudah percaya dan anggaplah semua satu hiburan sahaja. Selamat menonton....

Thursday, January 26, 2012

Pengalaman Bertugas di Sebuah Gedung

Assalammualaikum,

Saya Rosli. Saya ingin menceritakan pengalaman ringkas semasa saya bertugas 20 tahun lalu. Ketika itu umur saya baru 24 tahun. Saya bertugas di sebuah gedung dan tugas saya memunggah barang ke lori. Maklumlah saya pekerja baru di situ. Rakan sekerja dan bos saya semua baik-baik. Pada satu malam saya bertugas bersama tujuh orang rakan sekerja. Banyak barang hendak di angkat ke lori. Pada tepat jam 10.50 malam, rakan sekerja saya meminta bos waktu untuk rehat sebentar sambil merokok.

Satu-satu pergi minta berehat. Ditinggalkan saya seorang mengangkat barang-barang. Saya sedang menolak sebuah kotak tinggi dengan troli. Sedang saya menolaknya, tiba-tiba troli itu berhenti, seperti ditekan brek. Tetapi troli itu tidak mempunyai sebarang brek pun. Dalam hati saya berkata, "Eh apasal beratnya, tadi boleh ditolak?" Saya memandang ke arah atas kotak tinggi itu, dan ternampak seperti ada makhluk yang sedang menyangkung. Saya cuma nampak belakangnya sahaja. Saya terperanjat dan cuba membaca surah-surah yang saya tahu.

Selang beberapa minit kemudian, benda itu hilang. Selepas itu saya pergi mendapatkan teman-teman sekerja saya dan menceritakan kepada mereka apa yang terjadi pada saya. Rupa-rupanya mereka sudah tahu benda itu ada di dalam gedung itu. Saya pun marahlah sebab mereka tinggalkan saya seorang diri di situ. Bos saya pun mengaku dia tahu. Itulah pengalaman saya, terima kasih kerana sudi mengetengahkan emel saya ini dan selamat malam.

Rosli

TERIMA KASIH ROSLI!!!

Muka Makhluk Bagai Hangus Terbakar...

Assalammualaikum warrahmatullahi wabarakatuh KC,

Nama saya Hafiz, saya merupakan seorang pendengar MJ12 dari Taman Seri Austin, Johor Bahru. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menyeramkan yang saya alami pada tahun 2007. Saya baru berusia 15 tahun ketika kejadian itu berlaku. Saya dan keluarga dahulunya tinggal di Kampung Melayu Pandan dan apabila kerajaan mengarahkan kami berpindah, kami telah diberikan tempat tinggal yang baru. Rumah yang baru kami diami itu merupakan rumah flat 4 tingkat di Taman Redang. Saya difahamkan rumah itu telah lama kosong sebelum kami berpindah. Kami tinggal di blok E, betul2 berdepan dengan depan jalan.

Pada suatu malam, saya terjaga dari tidur, saya tak dapat ingat waktu itu jam berapa tapi saya pasti dalam sekitar 2 pagi ke atas. Saya tidur di ruang tamu sendirian, saya tidak tidur di bilik kerana kepanasan. Ketika saya terjaga dari tidur, saya terperanjat apabila terlihat kelibat susuk berwarna putih berdiri di sebelah peti sejuk di dapur, betul2 berhadapan dengan ruang tamu saya. Saya tak dapat pastikan apa yang saya lihat ketika itu, belum sempat saya habis mengerdipkan mata saya, susuk putih itu secepat kilat datang dan mencangkung di hadapan saya. Rambutnya panjang, matanya merah, mukanya hangus terbakar. Makhluk itu duduk mencangkung dan meneleng-nelengkan kepalanya memandang saya.

Saya tahu itu adalah makhluk kakak cantik. Saya tidak dapat berbuat apa2, hanya mampu membaca apa yang termampu dalam hati kerana mulut saya bagai terkunci, tak boleh nak bergerak atau menjerit. Dalam beberapa minit saya terpaksa menatap muka hangus itu, kerana mata saya langsung tidak dapat dikerdipkan. Akhirnya, makhluk itu berlalu dan lesap dari pandangan selepas saya berusaha membaca surah2 di dalam hati. Apabila makhluk itu telah pergi, saya terus masuk ke dalam bilik dan tidur di sebelah adik kembar saya. Itulah pengalaman saya di rumah flat yang saya diami. Sekarang saya sudah berpindah ke rumah yang lain.

Terima kasih KC...

TERIMA KASIH HAFIZ!!!

Wednesday, January 25, 2012

Diganggu Cik Pon di Tanglin Halt

Selamat malam KC,

Saya nak ketengahkan pengalaman saya ketika umur saya 22 tahun. Masa itu saya bekerja sambilan menjadi "Karaoke Jockey" di salah sebuah kelab malam di Tanjong Pagar. Waktu itu pukul 2.15 pagi. Saya menahan teksi untuk pulang ke rumah seperti biasa. Saya beritahu pemandu teksi itu, "Uncle please send me to Tanglin Half Chap Lau (10 tingkat)..." Pemandu itu terus berkata, "Hoi... Lu tinggal tempat banyak hantu..." Saya pun buat tak endah dan masuk ke dalam teksi. Sepanjang perjalanan pemandu itu tak henti berbual tentang pengalamannya sepanjang menjadi pemandu teksi. Saya cuma mendengarkan saja kerana dah mengantuk...

Sampai di tepi jalan berdekatan rumah, saya pun keluar. Yang peliknya suasana malam itu macam lain sedikit. Selalunya ada teman2 abang saya bermain gitar di tempat duduk berdekatan tepi jalan. Tapi malam itu sunyi sepi, terlalu sepi, tidak ada kereta yang lalu, tidak ada orang langsung, hingga saya rasa takut. Saya pun lari sampai ke rumah seperti ada orang mengejar saya. Saya tinggal di tingkat satu dulu. Cari kunci saya terus buka pintu. Kerana takut saya lupa nak baca ayat2 suci sebelum masuk ke dalam rumah.

Selepas menyalin pakaian, saya tidur dengan lampu dihidupkan. Apabila saya nak terlelap, tiba2 terdengar bunyi kaki diheret di luar tingkap. Saya lihat ibu di sebelah saya sedang nyenyak tidur. Saya jadi gelisah, takut bercampur hairan. Siapa yang jalan mengheret kaki pagi2 buta? Dah pukul 3:30 pagi. Saya terdiam dan cuba dengar betul2. Heretan kaki tu semakin kuat dan bila saya rasa dia betul2 di luar tingkap saya, bunyi tu berhenti! Saya ambil bantal tutup muka saya ketakutan. Lat beberapa minit, saya terdengar bunyi yang lain pula. Seperti dentuman yang kuat (macam tapak gergasi). Saya cuba kejut ibu saya tapi dia tak sedar. Bunyi itu berterusan. Sungguh kuat. "Takkan saya sahaja yang sedar? Kalau bunyi begitu kuat, dah tentu satu blok boleh dengar?" kata saya dalam hati. Saya baca Ayat Kursi berkali2 hingga saya terlelap.

Tiba tiba saya jadi sesak nafas seperti ada benda duduk di atas dada saya. Meronta2 nak kejutkan ibu saya. Ibu masih tak sedar, tidur mati. Saya buka mata saya perlahan2. Alangkah terkejutnya saya!!! Apa yang saya nampak di atas dada saya, berdiri satu kain putih sampai ke siling tingginya. Saya hanya nampak kain dan sedikit rambutnya yang kerinting panjang, hitam lebat!!! Saya memekik. Tidak ada orang yang mendengar pekikan saya. Saya toleh ke arah ibu saya yang sedang tidur. Dia tak dengar saya langsung!!! Terus saya baca Ayat Kursi berkali2 lagi. Baru kain itu mula terapung perlahan2, terus hilang keluar dari tingkap yang tertutup!!! Saya termenung sekejap. Tiba2 ibu saya tersedar dan tanya, "Dah balik??? Mak tak sedar... Pukul berapa balik tadi???" Saya rasa letih untuk menjawab, "Dari tadi..." yang mampu saya ungkapkan. Selepas itu saya terus memaksa diri untuk tidur kerana pukul 7 pagi saya harus bangun untuk bekerja di pejabat.

Bila ibu kejutkan saya untuk bersiap ke tempat kerja, saya ambil tuala dan terus menuju ke bilik air di dapur. Abang saya terus menegur saya. Katanya, "Oi kau balik tadi pagi tak baca eh??? Habis benda tu kacau aku..." Abang kebetulan tidur di ruang tamu. Saya bertanya, "SIAPA???" Dia berkata, "Cik Pon kacau aku sampai tak leh tidur!!!" Saya diam dan terus masuk ke bilik air, siap terus untuk pergi kerja. Dengan pantas saya telefon bos di kelab malam saya, saya beritahunya bahawa saya tak boleh kerja malam itu kerana ada hal. Sebenarnya takut punya pasal...

Itulah pengalaman saya. Terima kasih...

Emma...

TERIMA KASIH EMMA!!!

Saturday, January 21, 2012

Lembaga Di Atas Kapal

Assalamuaikum kepada DJ dan para pendengar Misteri Jam 12,

Saya Ariff ingin menyampaikan kisah misteri saya yang berlaku 21 tahun yang lalu semasa saya bertugas sebagai seorang jurutera di atas kapal yang bernama Neptune Coral 21 tahun yang lalu, kini saya sudah pun bersara daripada bekerja di atas kapal semenjak saya mula berkeluarga. Kisahnya begini, semasa itu kapal yang saya naik dalam pelayaran daripada Yokohama, Jepun ke Long Beach di California. Kapal itu melalui Lautan Pasifik.

Pada malam kejadian, saya berada di dalam kabin saya sedang berehat untuk tidur, tetapi pada malam itu mata saya tidak dapat tidur. Sedang saya cuba untuk tidur, tiba2 pintu kabin saya terbuka dengan sendiri, saya terperanjat kerana pintu itu dikunci dari dalam, maklumlah untuk keselamatan. Bila pintu terbuka, muncul dua makhluk muncul di depan kabin berdiri, makhluk itu berbentuk seperti dua wanita satu dewasa dan yang satu seperti seorang budak. Saya lupa makhluk itu berpakaian apa tetapi yang saya ingat keduanya tidak mempunyai muka, saya tergamam dan terkunci di atas katil kabin saya, tidak dapat berbuat apa-apa, cuma saya dapat beristighfar di dalam hati.

Tiba-tiba makhluk berdua itu masuk ke dalam kabin saya dan membuat beberapa pusingan seperti mencari sesuatu. Saya hanya terdiam dan terkunci di atas katil saya melihat mereka berjalan berpusing di dalam kabin. Selepas berpusing beberapa pusingan makhluk berdua itu tiba2 ghaib dan saya dapat bergerak. Dengan cepat, saya tarik selimut saya menutup muka saya dan terus tertidur sampai pagi.

Sekian, terima kasih...

TERIMA KASIH ARIFF!!!

Kakak Disihir

Assalamualaikum Dzar dan KC,

Nama saya Marfa. Saya ingin berkongsi pengalaman yang saya dan keluarga lalui sendiri. Perkara ini berlaku tahun lepas dan kini masih menghantui kami sekeluarga terutama sekali kakak saya.

Marfa mempunyai seorang kakak yang Marfa perkenalkan sebagai "Salina" (bukan nama sebenar). Kakak Marfa, Salina, merupakan seorang wanita yang pada dasarnya seseorang yang pelembut, tetapi hatinya sukar ditawan. Seandainya kalau hatinya berjaya ditawan oleh seorang lelaki, dia akan menyayanginya sepenuh hati tanpa mempedulikan apa-apa jua kekurangan pada si lelaki tersebut.

Kali terakhir kakak menjalinkan hubungan istimewa ialah beberapa tahun yang lalu. Waktu itu beliau sedang menuntut di Maktab Rendah. Ketika itu, dia menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang menuntut di sekolah yang sama dengan beliau. Hubungan hanya mampu kekal untuk beberapa tahun dan mereka putus pada tahun ketiga mereka menuntut di Universiti. Kakak memang terlalu sayangkan lelaki tersebut, dan setelah putus, kakak memang tidak berminat lagi untuk libatkan diri dalam hubungan percintaan. Beliau kemudian fokus pada pelajaran dan pencarian kerja.

Ini berterusan selama tiga tahun sehinggalah pada tahun 2008 bila kakak bertemu dengan seorang pemuda yang berjaya memikat hatinya. Dipendekkan cerita, mereka pun menjalinkan hubungan selama tiga tahun dan hampir mula membincangkan tentang perkahwinan. Sepanjang tiga tahun kakak berkenalan, pemuda melayan kakak dengan sangat baik dan sering ke rumah untuk melawat keluarga kami.

Sehinggalah suatu hari kakak menerima panggilan seorang wanita yang menggelarkan dirinya "Haslinda" (bukan nama sebenar) yang mengugut kakak saya, "Kau bahagia sekarang rampas hak orang. Kau buat orang merana. Sekejap lagi kau pulak akan merana!!!" Kakak memberitahu hal ini pada ibu dan ayah saya. Dia juga beritahu pada teman lelakinya. Sepanjang perkenalan mereka, memang tidak ada tanda pun yang menunjukkan kalau pemuda tersebut sudah berpunya.

Akhirnya teman istimewa kakak mengakui bahawa sewaktu awal perkenalan dengan kakak, dia memang masih suami pada bekas isterinya. Sebenarnya bekas isterinya itu didapati curang, tetapi memohon maaf berkali-kali supaya tidak diceraikan. Tapi pemuda sudah tawar hati dan meneruskan proses penceraian di luar pengetahuan kakak. Kemungkinan besar, bekas isteri beliau fikir kakak saya yang telah meracuni fikiran suami beliau sehingga dia diceraikan walhal penceraian berlaku kerana kecurangannya yang tak dapat dimaafkan lagi.

Dipendekkan cerita, sejurus selepas mendapat pangilan amaran tersebut, keesokan harinya, pada tiap-tiap malam, lebih tepat lagi selepas jam 12 malam hingga waktu Subuh, kakak akan menjadi "orang lain". Dengan nada suara yang garau dan seram, dia akan menjerit sambil mengilai, "Aku nak duduk sini, dalam badan ni.. Aku suka budak ni. Aku buruk. Dia cantik!!!" Makhluk itu sering mencederakan kakak dengan menghantukkan kepala kakak ke tembok, mengigit jari-jari kakak, menjerit untuk membuat kakak sakit tekak bila dia tersedar. Selain itu, dia seolah-olah mengunci mulut kakak dengan menggetap gigi kakak kuat-kuat. Perkara ini berlanjutan sehingga lapan bulan. Kami sekeluarga bergilir-gilir menjaga kakak. Perkara ini memaksa Mama berhenti kerja untuk menjaga kakak. Dia pernah cuba menguncikan diri kakak saya di tandas dan buat kakak mandi air yang sejuk sehingga menggigil. Kakak menjadi kurus tidak bermaya dan trauma disebabkan serangan sihir ini.

Setelah mendapatkan khidmat berpuluhan bomoh, akhirnya Allah menemukan kami dengan seorang ustaz yang dapat membantu. Kakak disuruh baring dan ahli keluarga kami, khususnya ayah dan abang-abang saya diarahkan memegang kakak saya. Ustaz mula membacakan ayat ayat suci Al-Qur'an, dan dibawanya sebotol air yang berisi bacaan tasbih di dalamnya. Kakak mula menjerit, "Mama tolong Salina, ni Salina mama." Ustaz kemudian menjawab, "Kalau ini betul Salina, pegang Al-Qur'an ini dan minum air ini.

Makhluk itu pun menangis dan berkata, "Aku lah... Baiklah aku balik, kau kuat sangat untuk aku..." Ustaz mula merenjis air itu dan mengusap kepala kakak dan menggenggam tangannya seolah si makhluk itu di dalam dan melemparkannya ke atas permukaan Al-Qur'an. Alhamdulillah Kakak kemudian pulih. Kakak kini sudah bertunang dengan seorang pemuda pilihan Mama dan bakal mendirikan rumahtangga hujung tahun ini. Pengalaman ini mengajar kita agar haruslah kita berhati-hati dalam memilih pasangan. Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak mengenali salah atau benar. Dan Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segalanya. Ingatlah ujian sakit dan penawar datang darinya. Terima Kasih. Assalamualaikum.

Yang Benar,

Marfa

Wa'alaikumussalam... TERIMA KASIH MARFA!!!

Siapa Tu???

Assalamualaikum...

Apa khabar KC? Saya akan menceritakan satu kejadian yang sudah agak lama terjadi kepada kakak saya. Saya tinggal bersama kakak dan abang ipar saya sejak berumur 22 tahun. Dari rumahnya di Pearl's Hill Terrace sehinggalah ke Bedok. Cerita ini terjadi di Bedok.

Saya bekerja sebagai seorang pengurus sebuah restoran di Tampines pada waktu itu. Abang ipar adalah seorang anggota polis dan kakak saya adalah seorang suri rumah. Sebagai seorang pengurus, saya selalu pulang lewat pada waktu hujung bulan. Kerana kami harus mengira stok2 di tempat kerja. Selalunya kami habis mengira sekitar jam 2 pagi dan saya akan berada di rumah lebih kurang sejam kemudian.

Kejadian itu terjadi pada salah satu hujung bulan. Waktu itu abang ipar saya bekerja pada sebelah malam. Oleh kerana saya seorang yang suka privasi di rumah, saya suka menutup pintu bilik apabila saya di rumah. Kalau pintu bilik dibuka, bermakna saya bekerja. Kakak saya memang kenal dengan tabiat saya.

Kejadian itu terjadi kira-kira tengah malam menurut kakak saya dan hujan turun dengan lebat. Dia sedang menonton televisyen di biliknya. Selepas kira2 setengah jam, dia keluar ke dapur untuk minum teh.

Dia bertanya kepada "saya", "Kau dah balik Bob? Kau dah makan belum?"

"Saya" menjawab, "Dah..."

Kira-kira 10 minit kemudian, kakak saya menerima satu panggilan di rumah.

"Kak, apalah aku call kau punya handphone tak jawab. Biasalah hari ini hujung bulan, aku balik lambat tau..."

Kakak saya terdiam, seperti terkejut dan hanya menjawab "okay". Panggilan itu sememangnya dari saya. Kalau saya berada di tempat kerja, siapa yang menjawab "Dah" kepada kakak saya???

Siapa tuuuuu...???

Wassalam...

Bob...

TERIMA KASIH BOB!!!

Tuesday, January 17, 2012

Cerita di Akademi Polis

Assalamualaikum KC,

Sebelum apa2 saya nak mengucapkan terima kasih kerana memilih cerita yang bakal saya bentangkan ini. Semasa saya menjalani perkhidmatan negara di Akademi Polis lama pada tahun 1994, ada beberapa kes kronik yang telah saya alami di sana. Tapi buat masa ni, saya akan mengenengahkan salah satu pengalaman saya di sana.

Pada satu malam sekitar Maghrib, saya bersama lima orang rakan skuad saya sedang kelam-kabut untuk bergegas ke blok latihan untuk menjalani kelas. Untuk ke blok itu, kami berenam berbaris di hadapan barrack kami yang betul2 menghadap "bird sanctuary" yang terletak di lereng bukit. Bird Sanctuary ni memang "sarang skandal" di sana, jadi memang dah jadi kebiasaan kalau terdapat pasangan2 yang berasmara di sana.

Sedang kami berenam berbaris, saya ternampak jelas seperti seorang WPC (woman police constable) siap dengan pakaian seragam baju putih skirt biru sedang duduk seorang diri di bangku di "bird sanctuary" tu. Saya pun beritahu teman2 lain," Eh WPC!! WPC!!! Tengah duduk seorang diri. Jom kita kacau!!!" Rakan2 saya yang lain pun menoleh dan mula kecoh, "Eh... Ah ah lah... WPC ah... Macam power ah!!!" Maklumlah semuanya lagi bujang. Lantas teman saya yang lagi satu pulak bersuara, "Eh yalah...!!!! Rambut panjang lagi sampai ke pinggang!!!"

Pada saat itu kami berenam terus senyap. Saya pun bersuara, "Tapikan, mana ada WPC yang rambut panjang??? Semua WPC rambut pendek apa???" Meremang bulu roma kami berenam. Tanpa berlengah dan takut terkena denda, kami berenam terus tak jadi nak berbaris dan terus berlari ke blok latihan.

Pada malam itu, setelah kami tidur, sekitar 1 pagi, beberapa rakan saya yang tidur di hujung bunk bertentangan dengan katil kami dikejutkan oleh bunyi bising yang datang dari daerah katil kami berenam. Tiga dari mereka ternampak seorang perempuan berbaju putih berdiri di antara katil kami. Tapi hal ni tidak pulak disedari oleh kami berenam. Kami cuma diberitahu tentang hal ini pada keesokan paginya.

Insyallah akan saya bentangkan pengalaman saya yang lain di lain rancangan. Sekian Terima kasih. Assalamualaikum.

Aedy

Wa'alaikumussalam... TERIMA KASIH AEDY!!!

Pakcik Berjubah Putih

Assalamualaikum KC...

Nama saya A. Saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya dan ibu saya ketika saya menunggu ibu saya pulang dari kelas agama. Saya menunggu ibu saya di perhentian bas yang berdekatan dengan blok rumah saya. Ketika itu hari Khamis malam Jumaat, jam hampir 11 lebih malam. Untuk pengetahuan anda, setiap hari Khamis malam Jumaat, ibu saya akan pergi ke kelas bacaan Yassin. Saya akan menjemput ibu saya dari perhentian bas.

Sewaktu kami sampai di kolong blok kami, saya dan ibu saya ternampak ada kain putih terkibai-kibai dari jauh. Ketika kami berhampiran dengan lif, kami ternampak seorang pakcik memakai baju jubah putih bersama songkok putih yang berdiri bertentangan untuk menuju ke lif bersama-sama kami. Setibanya di lif, pakcik itu bertanyakan kepada ibu saya, "Boleh tumpang tanya? Di sini ada orang meninggal tak?" Ibu saya pun bertanya, "Tingkat berapa? Siapa namanya?" Kemudian pakcik itu beritahu, "Di tingkat 4, namanya Rahman dan yang meninggal itu adalah anak lelakinya yang meninggal di penjara, dibawa balik ke rumah anak perempuan pakcik itu."

Ibu saya pun bertanya, "Pakcik ni datang seorang saja ke?" Pakcik itu pun berkata, "Tak, saya datang ramai, tapi yang lain semua ada tunggu di belakang sana..." Bila saya pusing ke arah yang pakcik itu tunjukkan, saya melihat tiada sesiapa pun di situ. Sunyi sepi. Saya pun melihat muka ibu saya seolah-olah memberi isyarat.

Pintu lif pun terbuka. Saya dan ibu saya pun memasuki ke dalam lif. Pakcik itu pun mengikut sama. Saya picit butang tingkat 6 tetapi pakcik itu tak picit apa2. Dia diam saja. Setibanya di tingkat 6, saya dan ibu saya keluar dan pakcik itu pun mengikut kami keluar sekali. Saya menjadi musykil dan seram. Muka pakcik itu putih dan bersih sangat. Saya dan ibu saya pun melihat di sekeliling blok kami dan melihat semua tingkap gelap dan pintu semuanya tertutup. Dia beritahu, "Kalau awak tahu ada orang meninggal di blok ni, awak telefonlah saya..." Kemudian dia memberi nombor telefon, ibu saya sengaja mengeluarkan buku kitab Yassin dan menulis nombor itu di belakang buku kitab itu.

Sejurus pakcik itu memasuki lif untuk turun ke bawah, kami pun menjenguk ke bawah dari atas. Kami tak nampak pun pakcik itu keluar dari lif kolong blok kami. Tak tahulah, samaada pakcik itu betul manusia atau sebaliknya. Tetapi nombor pakcik itu masih ada di dalam buku kitab Yassin Ibu. Keesokan harinya, kami tak nampak sesiapa pun yang meninggal di blok kami. Ibu saya tak berani nak menelefon nombor itu. Itu sajalah pengalaman saya dan ibu saya. Terima kasih kerana mengenengahkan e-mel saya.

Yang benar,

A

TERIMA KASIH A!!!

Terserempak Kak Pon Sewaktu Perkhemahan...

Salam DJ KC dan semua pendengar-pendengar MJ12 di Singapura dan di Malaysia,

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Singapura dan kini telah pun bermastautin di Malaysia dan menjadi warganegara Malaysia. Kisah-kisah yang berlaku adalah dari pengalaman benar saya.

Kisah ini berlaku di Singapura, ketika saya berusia 13 tahun semasa saya dan rakan-rakan sekolah menyertai kem NCC (National Cadet Corps) pada tahun 1986. Untuk yang tidak berapa tahu apa itu NCC, ianya adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan buat pelajar-pelajar sekolah yang menyertai pasukan seragam sebagai kegiatan luar darjah. Beberapa buah sekolah lain juga turut menyertai kem yang dianjurkan pada hujung tahun itu iaitu di kem Loyang yang berada di kawasan timur Singapura. Sekarang ini, tempat itu telah pun dibangunkan sebagai estet perumahan Pasir Ris.

Pada malam pertama, kami disuruh untuk melakukan aktiviti malam di hutan berdekatan dengan kem. Ianya adalah latihan untuk kami membiasakan diri pada persekitaran malam dalam suasana yang sunyi seperti "night camouflage". Sebelum berangkat keluar ke hutan berdekatan, kami semua telah berkumpul di luar berek tempat kami menginap untuk mendengar taklimat. Sedang asyik kami mendengar taklimat, tiba-tiba saya telah terperasan seperti ada kelibat yang terbang begitu laju sekali di hadapan tempat kami duduk. Ianya terbang dari pokok berdekatan dan masuk melalui pintu masuk ke berek tempat kami tinggal.

Seminit kemudian, saya terperasan juga ianya terbang keluar semula dan hilang begitu sahaja. Saya jadi kehairanan kerana kelibat yang saya nampak tadi seolah-olah seperti cahaya kilat tetapi apabila saya mendongak ke arah langit, tidak ada tanda-tanda seperti nak hujan. Saya sangka cuma saya seorang saja yang melihatnya, tetapi seorang dari rakan saya, Jas, yang duduk bersebelahan saya pun terlihat sama. Dia menyuarakan kepada saya apa yang dilihatnya tadi dan saya pun mengiakan sahaja kerana teringat pesanan orang tua-tua kalau ternampak apa-apa pada waktu malam di tempat asing jangan sekali-sekali kita tegur. Nanti akan ditimpa kecelakaan atau pun sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.

Selesai saja taklimat, kami semua pun mula bergerak ke dalam hutan bersebelahan dengan kem kami. Kami yang seramai 21 orang ini telah dibahagikan kepada tiga orang dalam sepasukan untuk pergi menyorok atau pun "camouflage" di tempat yang berasingan. Kami harus tetap di dalam tempat persembunyian kami selama sejam hinggalah wisel dibunyikan untuk kami semua keluar. Sewaktu kami sedang dalam persembunyian, tiba-tiba terdengar jeritan, "Pontianak! Pontianak! Pontianak!" dari salah seorang rakan kami. Di dalam kegelapan dan malam yang sunyi itu, kami dapat mendengar teriakan rakan kami dengan jelas sekali walaupun beliau berada jauh dari kedudukan kami. Tiba-tiba, kami ternampak sekumpulan mereka bertempiaran melarikan diri keluar dari tempat persembunyian masing-masing dan menuju ke arah kami.

Saya pun dengan tidak berlengah lagi keluar dari tempat persembunyian saya dan menahan salah seorang dari rakan saya itu yang mula tersungkur di depan kami. Mukanya cemas dan nafasnya tercungap-cungap. Saya mententeramkannya dan bertanya apa yang telah berlaku. Dia menjawab, "Tadi sewaktu kita sedang bersembunyi, tiba-tiba, si Din ternampak bayang putih terbang dekat pokok tu, sambil jarinya menunjuk ke arah pokok itu yang terletak di atas bukit. Lepas tu, aku dan Man pun nampak jugak", kata Noh. "Bila kita dah ternampak lembaga putih tu, katanya, kitaorang pun terkaku dan tergamam seketika. Tiba-tiba, lembaga putih tu mula mendatangi kitaorang sepantas kilat. Apalagi, aku pun menjeritlah, dan berlari keluar diikuti Din dan Man", kata Noh lagi.

Sewaktu kejadian tadi berlaku, kami semua telah pun bersembunyi lebih kurang 15-20 minit sahaja dari masa yang ditetapkan. Ketua kami yang mendengar segala kekecohan tadi itu terus meniupkan wisel dan menyuruh kami semua keluar dari tempat persembunyian masing-masing dan berkumpul. Sedang si Noh menjelaskan apa yang berlaku kepada ketua kami, tiba-tiba, saya ternampak 'Fatimah Rockers' yang dikatakan mengganggu mereka tadi sedang 'gliding' atau terapung perlahan menuju ke arah kami. Saya nampak amat jelas sekali bajunya yang putih dan rambutnya yang mengurai panjang. Saya mula menggosok-gosok mata saya dan mencubit pipi saya untuk melihat sama ada ianya benar berlaku atau tidak. Bukan saya seorang saja yang nampak malah Jas, Yus, Din, Man, Noh, Khalid dan rakan-rakan yang lain turut ternampak 'Kak Pon' itu. Apalagi, kami pun semua menyuruh ketua kami beredar dari tempat itu dengan segera dan pulang ke kem. Ketua kami yang mulanya berang dengan sikap kami tadi yang membuat bising sewaktu persembunyian, pun bersetuju untuk pulang ke kem.

Nak tahu apa yang terjadi sewaktu kami sedang dalam perjalanan pulang ke kem? Kak Pon tadi telah mengilai dan ketawa seperti mengejek-ejek pada kami. Kami tidak langsung mengendahkan apa yang sedang kami lalui waktu itu dan terus membuka langkah seribu. Jadi, terjawab sudah persoalan saya, iaitu, kelibat atau cahaya kilat yang saya dan Jas nampak mula-mula itu rupa-rupanya adalah 'Kak Fatimah Rockers' yang telah pun memberikan petanda awal kehadirannya pada malam itu.

Itulah pengalaman pertama saya yang masih segar lagi diingatan saya hingga ke hari ini. Insya'Allah, saya akan berkongsi lagi pelbagai pengalaman seram saya yang benar-benar berlaku di Singapura mahupun di Malaysia dengan KC dan pendengar-pendengar semua.

Sekian, wasalam.

Abang G.Putra

TERIMA KASIH ABANG PUTRA!!!

Wednesday, January 11, 2012

Pontianak Dalam Tandas!!!

Assalamualaikum DJ KC,

Nama saya Taqiyuddin. Ingin berkongsi satu cerita seram kalau diizinkan. Seorang wanita melawat kawannya yang dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Oleh kerana mereka sama-sama merantau, maka kebajikan sesama mereka sangat dititik-beratkan. Maklumlah sakit demam siapa hendak ambil peduli kalau bukan kawan-kawan yang paling dekat.

Wanita tersebut menemani kawannya yang sakit itu pada satu malam sebab mendapat kelepasan kilang mereka bekerja. Sebaik saja kawannya yang sakit itu tertidur, wanita tersebut melepaskan hajat kecil. Tandas pula terletak di kawasan yang agak jauh dari wad tempat kawannya itu ditempatkan.

Wanita itu memberanikan diri juga pergi. Sampai di tandas, wanita itu melakukan apa yang dihajatkan. Entah macam mana terasa seperti ada orang lain yang turut sama berada di dalam keadaan yang sunyi itu. Cahaya agak malap di dalam tandas. Hujan rintik-rintik menambahkan lagi kegusaran dalam hati.

Kedengaran pili air di tandas sebelah dibuka. Sedang tidak pula kedengaran bunyi tapak kasut memasuki tandas. Dibiarkan saja oleh kerana tidak mahu menakut-nakutkan diri sendiri. Selesai menunaikan hajat, pada waktu yang sama pili air di sebelah ditutup. Pintu tandas segera dibuka oleh kerana perasaan ingin tahu siapa sebenarnya yang turut berada bersama. Didapati pintu tandas sebelah serentak terbuka. Tiada sesiapa dalam tandas tersebut.......Dan serentak terdengar hilai tawa yang garau bergema dalam tandas tersebut.

Oleh kerana ketakutan, wanita tersebut terus berlari ke pejabat hospital. Sampai di sana, jururawat bertugas seolah sudah memahami apa yang terjadi. Wanita itu ditenangkan. Diterangkan bahawa di dalam tandas tersebut pernah seorang perempuan bukan Melayu mati bersalin di dalamnya, namun tidak disedari sesiapa. Entah kenapa boleh jadi begitu.

Sejak itu dikatakan wujud Pontianak dalam tandas tersebut, menyakat sesiapa sahaja yang memasuki tandas tersebut. Kawasan tandas itu sendiri terletak di kawasan wad yang dikosongkan, jadi jarang-jarang ada orang yang menggunakan tandas tersebut. Setelah keadaan tenang, wanita tersebut dipimpin ke wad kawannya. Serik mahu ke tandas seorang diri lagi. Dibawa kawan lain menemankan bersama. Kejadian terjadi pada hujung tahun 70-an. Wanita yang diceritakan di atas adalah ibu saya sendiri.

TERIMA KASIH TAQIYUDDIN!!!

Gejala Rasuk

Kerasukan berlaku pastinya bersebab. Sengaja atau sebaliknya mungkin berpunca dari tahap ketaksuban individu itu sendiri. Sekalipun Iman menebal di dada, sesekali diuji tergugat-goyah jua hati dan semangat manusia.

Yang disengajakan, jelas sekali dijadikan sebagai permainan. Para bomoh, dukun atau pengamal sesetengah ilmu kebatinan yang berunsur dengan dampingan-dampingan makhluk lain, Jin seumpamanya. Memanggil atau menyeru untuk diserap ke tubuh. Merelakan dirinya dikuasai oleh makhluk tersebut. Saat terjadinya, segala perbuatan tanpa sedar di luar jangkauan tabiat manusia. Itukah yang kita minta? Samada diabdikan atau mengabdikan, pastinya kepada yang bernama iblis laknatullah. Na’udzubillah.

Yang tidak disengajakan, sering dikatakan punya semangat yang lemah. Terlalu was-was atau asyik serta taksub pada keadaan. Membayangi isi kegelapan dengan emosi yang seram-seram. Sekalipun bunyi titisan air di singki atau terjatuhnya syiling di lantai, cukup untuk membuatkannya melatah, menggigil tidak sedarkan diri dan ada sampai pengsan. Hal sebegini, hanya memberi ruang bagi makhluk Jin atau semangat-semangat jahat menyelinap masuk ke tubuhnya, dengan alasan angkara kerasukan. Wallahua’alam.

Antara yang disebutkan di atas, memang sudah sinonim dalam dunia manusia dan Jin. Namun, apapun alasannya mungkin kita terlupa diantaranya ada sebab utama yang seiring dalam segala rasukannya. Manusia dirasuk dan begitu juga dengan Jin. Malah apapun yang disebut makhluk akan merasai gangguan rasukan, tidak terkecuali binatang dan juga tumbuh-tumbuhan seumpamanya. Wallahua’lam.

Andai manusia sekalipun ulama' atau iman setebal mana pun, akan diuji dengan isi taraf rasukan. Apalagi pada pengamal ilmu yang berhubungan langsung ke arah “Dampingan” atau yang biasa disebut juga “berkawan dengan Jin atau sebaliknya”. Pasti kita tertanya-tanya. Mengapa dan bagaimana? Sebenarnya adakah di antara kita yang alpa?

Kalau ditanya pada AyahJo, seperti yang diuar-uarkan oleh KC dalam MJ12 dan ditambah sedikit maksudnya. “…JANGAN TAKUT, JANGAN TAKSUB, JANGAN terHAYAL olehnya. Sesungguhnya yang melebih-lebih itu adalah dari Syaithan.” Wallahua’lam.

Wassalam...

AyahJo

TERIMA KASIH AYAHJO!!!

Ternampak Hantu Jepun

Assalamualaikum KC dan para pendengar semua,

Kak Misah di sini ingin berkongsi pengalaman misteri yang tidak dapat kakak lupakan. Kejadian ini berlaku sewaktu umur akak 20 tahun. Dahulu kakak tinggal di kampung dan semasa kakak kecil lagi, dah bermacam makhluk halus yang kakak ternampak seperti pocong, pontianak, hantu galah, dan banyak lagi. Hantu yang kakak nak ceritakan adalah tentang Hantu Jepun. Ia bermula bila kakak sedang mencuci baju di tengah malam dan kampung kakak ni akan menjadi sunyi bila masuk pukul 12 malam, entah kenapa tapi memang benar.

Bila kakak hendak mencuci baju, kakak harus pergi berdekatan dengan laut dan kakak akan melintas satu lorong dan di situ ada seorang wanita Cina yang dikatakan telah membunuh diri akibat putus cinta dan mungkin juga tempat itu sunyi kerana mereka takut hendak pergi situ sebab dinyatakan juga, mayat wanita itu masih belum dijumpai lagi.

Sedang kakak berjalan di lorong itu, bulu roma kakak berdiri dan entah kenapa kakak rasa seperti ada orang yang mengekori dari belakang. Dalam hati kakak cuba tenangkan perasaan dengan berkata itu mungkin khayalan sahaja dan terus berjalan sehingga sampai berdekatan satu rumah kampung yang tidak ada penghuninya. Di situlah kakak ternampak hantu yang dinamakan Hantu Jepun.

Sedang kakak berjalan depan rumah yang telah lama tidak ada penghuninya itu, tiba-tiba kakak ternampak seorang wanita dengan wajah yang amat menyeramkan duduk di tepi tangga. Kakak terus mengucap, dan kakak apa lagi, lari lintang-pukang. Bila kakak betul-betul mengingat semula wajah wanita itu, memang benar apa yang pernah ibu kakak beritahu dahulu tentang rupa hantu itu. Ibu berkata bahawa wajah hantu itu amat menyeramkan, mempunyai mata yang merah dan wajahnya berkedut. Dari apa yang kakak nampak, sama dengan apa yang ibu pernah menceritakan.

Terpulang untuk anda percaya pengalaman kakak atau tidak. Selepas kejadian itu, kakak akan membawa ibu atau adik untuk menemani kakak mencuci baju. Itu sahaja, terima kasih! :)

TERIMA KASIH KAK MISAH!!!