Tuesday, May 5, 2009

Tandas Di Salah Sebuah Hospital Di Singapura...

Hi KC! Selamat malam/pagi!

Minta maaf terlebih dahulu kerana bahasa Melayu saya tidak begitu fasih. (Dah tak ambil Melayu sebagai subjek di maktab rendah). Cerita ini saya dengar daripada kawan saya,
tak tahu lah kalau betul ke tidak. Beliau kata kakaknya yang ceritakan, tapi perisitiwa ini berlaku kepada kawan kakaknya, L.

Kakak beliau dan L bekerja sebagai jururawat di salah satu hospital di Singapura. L bekerja pada sebelah malam dan biasanya jikalau hendak ke tandas, beliau berteman. Tetapi pada hari
itu, beliau tidak tertahan hendak buang air kecil jadi beliau ke tandas bersendirian. Apabila L masuk ke tandas, dia ternampak seorang wanita di hadapan cermin tetapi tidak dapat lihat muka wanita itu kerana apabila masuk ke tandas, boleh nampak belakang wanita itu sahaja. Wanita itu berpakaian putih dan rambutnya agak panjang dan beliau kelihatan seperti bersolek. L tidak hiraukan sangat wanita itu kerana beliau ingatkan wanita itu adalah salah seorang pekerja hospital.

Selepas buang air kecil, L keluar dari bilik kubikel dan wanita itu masih ada di depan cermin. L pun cuci tangannya di sinki sebelah wanita itu. L seorang yang peramah dan biasanya beliau akan tegur pekerja hospital sesiapa sahaja, maklumlah pada shif malam tidak banyak orang, jadi beliau suka mulakan perbualan untuk mengisi kesunyian. Sedang L cuci tangannya, L tegur wanita itu, "Kak" tetapi wanita itu tidak menjawab. Wanita itu tidak menoleh pun. L rasa mungkin wanita itu seorang pendiam dan tidak suka berbual jadi beliau tidak berbual lagi kepada wanita itu. Selepas mencuci tangannya, beliau pun berjalan hendak keluar tandas itu.

Sebelum beliau keluar tandas itu, beliau terdengar seperti ada benda yang jatuh di lantai. Rupa-rupanya "eyeliner" wanita itu terjatuh di lantai dan kerana "eyeliner" itu jatuh dekat dengan kaki L, L pun memungutnya. Alangkah terperanjatnya L, apabila beliau tunduk ke bawah hendak memungut "eyeliner" itu, beliau nampak bahawa wanita itu tidak ada kaki! Beliau takut tetapi beranikan diri untuk berdiri semula kerana orang selalu kata kalau ada nampak, buat bodoh sahaja dan beranikan diri kerana kalau takut, benda itu tahu. L pun meletakkan "eyeliner" itu di sinki kerana tidak mahu memberi wanita itu, takut untuk lihat muka wanita itu.

L pun berkata seperti beliau tidak lihat apa-apa sebelum ini, "Kak, ni 'eyeliner' kakak yang jatuh, saya pergi dulu." L terperanjat beruk apabila wanita itu pusing menoleh ke arahnya, dengan senyuman yang amat mengerikan, wanita itu berkata, "Nak pergi dulu ke, dah tahu?" lalu ketawa mengilai ngilai. L apa lagi, lari keluar secepatnya daripada tandas itu, dan selepas itu beliau diserang demam beberapa hari. L kini bekerja di hospital lain dan pada shif siang kerana takut kalau peristiwa serupa akan berlaku lagi. Itulah ceritanya yang saya hendak kongsi, berdasarkan atas pengalaman kawan kakak kepada kawan saya.

Terima kasih :)

PunkFreak...

TERIMA KASIH PUNKFREAK!!!

No comments: