Thursday, August 6, 2009

Menangis Malam

Salam KC,

Gelarkan saya sebagai MiSTERi dari Johor Bahru. Saya mempunyai sebuah kisah untuk dikongsi. Kisah ini tidaklah dapat saya klasifikasi sebagai seram atau tidak tetapi ia merupakan pengalaman buat saya.

Kira-kira dua tahun lalu, kakak saya melahirkan putera sulungnya. Di dalam waktu pantang, anak kakak saya ini seringkali menangis pada waktu malam. Saban hari, KC! Saya pula baru sahaja tamat pengajian dan masih belum bekerja. Pada setiap malam, bayi tersebut menangis bermula dari jam 10 malam hingga ke pagi sebelum Subuh. Saya sendiri tak boleh tidur. Di tengah malam, saya terjaga bila terdengar bayi menangis dan terus tidak boleh melelapkan mata.

Dan boleh dikatakan setiap malam juga saya akan membacakan surah Yasin di samping melaungkan azan. Yang peliknya, tatkala saya melaungkan kalimah "Tiada tuhan selain ALLAH, dan Nabi Muhammad pesuruh ALLAH", bayi tersebut diam. Selepas azan, tangisannya bersambung. Selalu juga, ketika bayi menangis, anak matanya mengerling ke arah penjuru bilik ayah dan ibu saya. Ketika itu, saya amat yakin anak saudara saya itu diganggu oleh 'sesuatu'. Bukan kata seram, sebaliknya saya marah dengan 'benda' itu yang mengganggu anak saudara saya yang ketika itu baru sahaja melihat dunia.

Pada suatu malam, selepas saya membacakan surah Yasin dan melaungkan azan pada telinga anak saudara saya, saya masuk untuk tidur. Kalau tak silap saya, hampir waktu Subuh. Saya terlelap dan tertidur. Semasa tidur, saya didatangi dengan sebuah mimpi di mana saya melihat 'suatu benda' di dalam bilik saya duduk di penjuru bilik saya di mana terletaknya set komputer saya. Saya berkomunikasi dengan 'benda' itu di dalam mimpi. Saya ingat lagi dialog antara saya dengan benda itu, "Kenapa kau kacau dia?" tanya saya. "Suka hati aku lah" jawab benda itu.

Selepas itu, saya terasa badan saya seolah-olah dihempap oleh sesuatu, kebetulan pada ketika itu, saya tidur terlungkup. Saya cuba menjerit, tapi tidak boleh. Saya baca ayat Kursi dan kemudian cuba melaungkan azan. Alhamdulillah, selesai saya melaungkan azan (walau ketika itu seolah-olah susah saya nak bersuara/membuka mulut), 'benda' yang menghempap saya hilang.

Dek kerana kasihan melihat anak saudara saya itu seperti tersiksa kerana asyik menangis malam, ibu dan ayah saya membawanya berjumpa dengan seorang rakan ayah saya yang boleh dikatakan mengubat perkara seperti ini dan menurutnya, rumah saya merupakan laluan untuk makhluk halus berulang alik. Saya pun tidak berapa faham kerana saya tidak ikut ibu dan ayah saya ketika mereka mengubat anak saudara saya. Ada pula yang memberitahu, ada 'benda' yang mengikut kakak saya ketika dia hamil dulu. Entahlah KC.

Perkara ini berlarutan hampir 3 bulan SETIAP MALAM! Alhamdulillah, atas sedikit usaha dan tawakal kepada ALLAH, anak saudara saya pulih dan tidak lagi menangis malam dan hasilnya, pada usia hampir 2 tahun, sangat bijak orangnya. Sekian pengalaman saya.

Regards,

MiSTERI JB

TERIMA KASIH MISTERI!!!

No comments: