Wednesday, July 21, 2010

Pengalaman Menyeramkan

Selamat tengah malam KC,

Yana ingin mengongsi satu pengalaman yang bukan Yana sahaja alami tetapi termasuk juga adik Yana pada hari yang sama. Pengalaman ini berlaku sekitar tiga bulan yang lalu di mana nenek dan adik saudara Yana datang ke rumah untuk bermalam di rumah.

Ceritanya begini, rumah yang Yana tinggal adalah rumah lima bilik dan salah satu bilik itu kosong setelah arwah datuk Yana meninggal dunia. Semenjak kematian datuk tidak ada sesiapa yang tidur di bilik itu tetapi oleh kerana nenek datang pada hari itu, terpaksalah Yana menemani nenek tidur di bilik tersebut sementara adik saudara Yana tidur di bilik lain bersama dengan adik beradik Yana yang lain.

Pada malam tersebut Yana sukar untuk melelapkan mata. Pusing kanan dan kiri namun tidak selesa. Lihat nenek, nenek pula sudah tidur lena. Yana cuba pejamkan mata tetapi masih belum boleh tidur dan sewaktu jam menunjukkan pukul 2 pagi, daun tingkap bilik yang Yana tidur diketuk-ketuk dan digegar kuat seolah-olah ada pencuri yang hendak pecah masuk. Yana pusing ke arah tingkap dan berkata dalam hati mungkin hujan tetapi hairannya pada malam tersebut hujan pun tak turun. Yana berasa takut dan jantung mula berderau. Ingin sekali Yana kejutkan nenek tetapi tidak sampai hati. Semakin lama gegaran tingkap semakin kuat dan bulu roma mula meremang. Yana cuba pejamkan mata dan mula membaca ayat-ayat suci yang Yana tahu di dalam hati sehinggalah Yana tertidur.

Pada keesokan hari Yana memberitahu ibu apa yang terjadi dan hairan sekali bila nenek kata nenek tidak dengar apa2 sedangkan gegaran itu terasa kuat sangat. Apa yang menakutkan lagi sedang Yana diganggu oleh makhluk halus itu, adik Yana yang tidur di bilik lain turut berkata pada malam yang sama pintu biliknya terbuka sendiri. Bila adik Yana cuba menutup pintu, makhluk halus itu seolah-olah berlawan dan menahan tidak membenarkan adik menutup pintu tersebut. Kata adik lagi, sewaktu dia cuba menutup pintu, adik saudara Yana tersedar tetapi tidak menolong dan apabila ditanya, adik saudara cuma bercakap, "Tak nampak pun kakak tahan pintu??? Kalau nampak mesti dah tolong."

Itu sahaja pengalaman Yana dan adik Yana. Yang menakutkan cuma Yana dan adik saja yang diganggu. Terima kasih KC dan selamat malam...

TERIMA KASIH YANA!!!

No comments: