Friday, November 5, 2010

Siapa Yang Menghendap???

Selamat malam KC & para pendengar Misteri Jam 12,

Saya ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dengan pendengar MJ12. Kisah ini berlaku lama dahulu ketika saya berusia 12 tahun. Satu hari, semua keluarga saya, ayah, ibu dan adik2 semua pulang ke kampung kecuali saya, kerana saya ada kelas tambahan di sekolah. Ibu saya sudah berpesan kepada saya supaya ajak kawan untuk temankan sementara menunggu mereka pulang dari kampung. Selepas balik dari sekolah, kawan saya temankan saya di rumah sampailah ke lewat petang. Lebih kurang pukul enam petang, oleh kerana hari dah lewat dia pun pulang ke rumahnya. Jadi, yang tinggal hanya saya sahaja keseorangan di rumah.

Tak lama selepas itu, saya pun turun ke halaman rumah untuk membawa kucing-kucing masuk ke dalam rumah. Ibu saya pun sudah pesan awal2 lagi suruh bawa masuk kucing sebelum Maghrib. Semasa saya berdiri di luar rumah, betul2 sebelah bilik saya dan menghadap tingkap bilik saya, ternampak ada seseorang sedang berdiri dan menghadap saya. Bila saya toleh, saya betul2 nampak ada seseorang sedang berdiri di tepi tingkap bilik saya dan sedang memandang saya. Saya tak ingat sangat ciri2 fizikalnya dengan jelas, yang saya ingat keningnya bertaut, dan mata dia tajam merenung saya. Kepalanya hanya tinggi beberapa inci dari tingkap. Dan pada masa itu, saya tak rasa apa pun dan boleh pula terdetik dalam hati "Eh? Ada orang dalam bilik?" tanpa rasa curiga.

Apabila saya toleh lagi sekali, orang itu dah tak ada. Peliknya, pada masa itu saya tak rasa apa-apa pun. Takut pun tidak, curiga pun tidak. Kemudian, saya masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap kerana hari sudah malam. Apabila masuk ke bilik saya tadi, saya tak rasa apa2 malah saya menutup tingkap bilik di mana orang tadi berdiri memandang saya dengan perasaan biasa sahaja. Dan saya boleh pula bercakap seorang diri, "Eh? Mana orang tadi?" Pelik macamana orang itu boleh hilang macam itu saja. Kemudian, saya terus duduk menonton televisyen sehingga keluarga saya pulang. Dan, malam itu saya tidur seperti biasa di dalam bilik tanpa ada rasa apa2.

Keesokannya, ketika bersembang dengan ibu saya, barulah saya teringat tentang kejadian itu. Saya pun menceritakan kepada ibu saya tentang orang yang saya nampak ada di dalam bilik saya dan pelik macamana orang itu boleh ada di dalam bilik, sedangkan hanya saya seorang sahaja di rumah pada masa itu. Apabila bercerita kepada ibu saya, barulah saya rasa meremang dan takut dan baru terfikir pasal orang itu. Siapakah atau apakah benda yang berada dalam bilik saya dan memandang saya dengan tajam? Ibu saya cakap mujurlah saya tak tegur benda itu atau saya jadi takut pada masa itu. Kalau tak, tentu saya dah tak akan masuk rumah dan tak tahulah apa yang akan berlaku pada saya.

Itulah KC, sampai sekarang saya masih tertanya-tanya betulkah apa yang saya nampak itu? Atau itu hanya ilusi semata-mata. Tapi yang pasti, saya nampak benda itu bukan dari ekor mata tetapi memang betul2 memandang ke arahnya. Tapi selepas dari peristiwa itu, ibu saya tak membenarkan lagi saya atau adik2 tinggal berseorangan di rumah.

Dan untuk pengetahuan KC dan pendengar, sejak dari saya kecil sampai sekarang saya sering mengalami cakaran pada badan. Bila bangun pagi, sedang mandi, rasa pedih pada kaki atau tangan dan nampak ada kesan garis2 macam kena cakar. Selalu. Ada yang cakarannya pendek, dan kadang2 ada yang panjang dan dalam. Masa saya kecil2 dulu, apabila saya beritahu pada ibu dan ayah pasal ni , mereka akan cakap mungkin kucing yang mencakar saya kerana saya biasa tidur dengan kucing. Tapi kalau saya tak tidur dengan kucing pun, cakaran tu tetap ada. Dan dulu2 saya pun ingat mungkin saya sendiri yang mencakar diri saya. Tapi apabila saya cuba cakar diri saya sendiri dengan kuku jari, cakarannya tak sama. Apatah lagi apabila kuku saya pendek.

Perkara ini berlarutan sampai sekarang, saya sekarang sudah menuntut di universiti . Tahun lepas, saya ingat saya kena cakar semasa tidur di bilik kawan. Pada malam itu, saya tidur dengan baju berlengan panjang, dan bila bangun esoknya saya terkejut apabila lihat pada tangan ada garis yang panjang kesan kena cakar. Apabila tunjukkan pada kawan2, mereka semua pelik macamana saya boleh kena cakar. Beberapa hari lepas, saya pun kena cakar lagi. Oleh kerana perkara ini sudah sering berlaku, bagi saya ia sudah menjadi perkara biasa. Ibu saya pernah bertanya pada seseorang pasal perkara ini, dan dia beritahu 'benda' ini, dia tak boleh masuk dalam badan kita. Jadi, apa yang dia boleh buat adalah cakar badan kita sebagai tanda usikan kepada kita. Tandanya adalah cakaran yang ada tiga garis, macam tiga jari. Sejauh mana perkara ini, entahlah saya pun tidak pasti. Wallahu'alam.

Terima kasih KC...

Ida, JB

TERIMA KASIH IDA!!!

No comments: