Monday, June 27, 2011

WAJAH WANITA MISTERI!

Gambar di ambil ketika XPDC Malam Singapura!




Gambar ini di petik oleh DJKC ketika berada di kawasan tanah perkuburan Hindu.

Gambar di petik dari dalam bus melalui tingkap kaca dengan secara tidak sengaja.

Waktu gambar di ambil DJKC dan 2 orang sahabat berada dalam bus.


Cuba anda lihat betul² di tingkap kaca bus seolah-olah ada wajah wanita berkulit putih / cerah dan rambutnya menutup separuh dahinya.

Di bawah adalah gambar yang telah pun di terangkan menggunakan PhotoShop.
Mungkin apa yang boleh kita lihat adalah imaginasi kita sendiri.
Terima Kasih terus bersama DJKC
dalam Misteri Jam 12
di RIA 897FM.

XPDC Malam Singapura

Inilah geng XPDC Malam Singapura!

Terima kasih atas sokongan anda!

Terus setia bersama RIA 897FM
(Klub Kelakar Seram - Misteri Jam 12)

Kisah Seram Di Sebuah Hotel Di Kawasan Changi

Hi KC...

Nama saya Ida. Saya bekerja di salah sebuah hotel lima bintang di Singapura. Kisah saya di hotel ini terjadi pada bulan Februari lalu, waktu itu saya bekerja pada syif selepas dua belas tengah malam. Pada keesokan harinya, saya dan adik saya "check-in" di hotel ini pada jam dua petang. Kerana saya terlalu mengantuk dan penat, saya beritahu adik saya bahawa saya mahu rehat saja di kamar kerana malam itu saya bekerja selepas dua belas tengah malam lagi. Adik saya kemudian keluar dari hotel untuk bertemu temannya. Saya pun tutup langsir dan matikan semua lampu kerana mahu tidur. Saya tidur dengan memusingkan badan saya ke kanan.

Semasa saya mula nyenyak tidur, tiba2 saya terdengar bisikan suara lelaki di telinga kiri saya seperti memanggil nama saya. Saya terbangun, berdiri bulu roma saya, waktu itu saya lihat baru jam empat petang. Selepas itu, saya hidupkan lampu, buka langsir dan telefon teman sekerja saya untuk menemankan saya hingga jam sembilan malam. Cuba bayangkan saya pada malam itu punyalah ngantuk, nak buat kerja pun susah. Adik saya dan teman2nya pun malam itu tak tidur kerana mereka juga rasa tak selesa seperti ada kehadiran orang lain bersama mereka di kamar itu.

Tapi memang banyak cerita yang seram di hotel itu, dan ramai pekerja yang pernah lihat tubuh tanpa kepala berkeliaran di kolam renang dan juga di lantai kamar yang lain. Nasib baik saya cuma dengar suara dan tak pernah melihat. Kalau saya bekerja selepas dua belas tengah malam, saya hendak turun ke bilik persalinan atau ke tandas pun saya takut. Mesti nak berteman atau pun gunakan tandas untuk tetamu, tak berani nak ke tandas pekerja. Tapi tetap tak serik, masih juga nak tempah kamar di situ kerana murah untuk saya, cuma tidak akan bersendiri lagi di kamar. Itu saja, terima kasih!!!

TERIMA KASIH IDA!!!

Adik Ghaib Di Punggol End

Salam KC,

Nama saya Nur. Saya ada pengalaman yang saya ingin berkongsi dengan KC. Ia berlaku pada tahun lalu. Kak Ngah saya memang rajin buat perjumpaan keluarga. Lagi-lagi kalau musim cuti sekolah. Namakan saja chalet-chalet atau taman-taman di Singapura ini, mungkin kami sudah ke sana untuk berkelah / bermalam di sana.

Tahun lepas, rancangan Kak Ngah agak gagal kerana kami tidak dapat meletak kereta di kawasan pantai East Coast. Setengah jam kami tunggu. Entah mana semua pemandu pergi. Ketika itu, adik lelaki saya yang bernama Adi baru berusia lima tahun. Dia pekik, "Ayo... Semua kena sembunyi dengan hantu!" Kami tak fikir yang bukan-bukan kerana dia masih kecil. Jadi, Kak Ngah menukar rancangan dan kami pun menuju ke Punggol End.

Keluarga saya mempunyai empat belas orang termasuklah abang-abang ipar saya. Yang memandu van adalah ayah saya. Sesampainya di perhentian bas yang berdekatan dengan pondok polis, kami angkat makanan-makanan, joran-joran untuk memancing dan sebagainya. Ayah memeriksa van lalu mengunci pintu dan beredar. Selepas memilih tempat yang agak jauh dari pondok polis, tanpa melengah-lengahkan masa, yang abang-abang ini terus membuat apa yang patut dengan joran yang telah dibawa. Mereka pantang nampak laut.

Dalam keadaan gelap sambil menyiapkan barang, tak ada seorang pun yang ingat bahawa Adi tiada dengan kami. Ibu saya mula cemas. Yang lelaki mula berpecah mencari dekat tepi pantai, takut adik saya lemas. Ayah cadangkan hendak meminta bantuan polis yang berada di pondok itu. Terkial-kial kami lari atas pasir untuk ke pondok. Tiba-tiba tergerak hati saya hendak periksa dalam van. Saya pun ajak ayah untuk periksa van dahulu. Ayah pun buka pintu van. Saya nyaris-nyaris nak pengsan dibuatnya. Nak tahu, adik saya sedang nyenyak tidur. Lega hati ibu dan yang lain yang sedang mencari-cari Adi.

Kami semua rasa tak sedap hati, kerana semua percaya bahawa Adi ada bersama kami selepas van dikunci. Kami tidak pulang ke rumah terus pada malam itu, kami berehat di kopitiam sekejap kerana Ayah mengarahkan supaya kami bertenang. Sesampainya di rumah sekitar waktu Subuh, kami berwudhu dan Adi juga turut solat berjemaah dengan kami. Alhamdulillah Adi tidak diapa-apakan. Mudah-mudahan, pengalaman ini dapat membantu semua pendengar dan peminat MJ12 supaya menjaga mulut ketika berada di luar. Tidak kira yang besar, ataupun yang kecil.

Sekian, wassalam dan terima kasih...

TERIMA KASIH NUR!!!

Diganggu Ketika Kecil & Sewaktu Mengandung...

Hi KC,

Saya ingin berkongsi pengalaman saya bersama pembaca yang lain. Saya ada beberapa kisah yang saya sendiri alami di beberapa kawasan di Singapura. Yang pertama berlaku pada awal tahun 80an, ketika saya masih kecil lagi, rasanya saya berumur enam atau tujuh tahun waktu itu. Pada masa itu, saya tinggal di Jalan Tanah Rata. Waktu itu, belum ada rumah teres seperti sekarang. Bertentangan rumah adalah kawasan perkuburan Cina. Kejadian ini berlaku pada satu malam, selepas saya terasa ingin membuang air kecil. Selepas ke tandas, saya pun kembali ke bilik tidur. Saya tidur satu bilik besar bersama dengan ibu bapa saya dan juga adik lelaki saya yang masih kecil. Saya baringkan diri di atas katil dan cuba untuk lelapkan mata. Tapi saya dapati amat sukar untuk saya tidur kembali dan saya pusing ke kiri dan ke kanan untuk cuba cari posisi yang sesuai untuk tidur.

Semasa saya mereng ke kanan, saya rasa macam ada benda yang sedang memerhatikan saya. Oleh kerana rasa takut, saya terus pejamkan mata. Tapi lama-kelamaan makin seram rasanya dan saya paksakan diri untuk membuka mata. Apa yang saya nampak di depan saya, saya tak boleh lupa sampai ke hari ini. Ada satu lembaga yang sedang bertelekung dan duduk dalam posisi tahiyat akhir ketika bersolat. Muka lembaga itu sedang menghadap ke arah saya. Tapi bila saya renung muka lembaga itu, saya tak nampak apa2, cuma hitam saja, tapi apa yang sepatutnya matanya, adalah dua lubang yang berwarna merah. Saya terus ketakutan dan tak dapat menjerit pun. Saya pejamkan mata erat2 dan memaksa diri untuk tidur sampai esok pagi.

*******************************************************************

Kejadian yang lebih baru saya hadapi ialah semasa saya mengandungkan anak kedua saya. Saya telah pun berpindah ke rumah saya sendiri di kawasan Tampines. Memang selalunya, saya seorang di rumah sebab suami saya pulang lewat. Jadi rutin saya ialah, balik kerja terus memasak dan tunggu suami pulang untuk makan bersama. Pada malam itu, pun tiada beza. Sedang saya memasak di dapur, saya macam terlihat kelibat orang lalu-lalang di ruang tamu. Tapi saya tak endahkan dan berkata dalam hati, itu semua cuma khayalan saya saja. Keadaan ini berterusan sampai ke satu malam ni, saya bermimpi yang saya sedang dikejar oleh sesuatu. Saya berlari dengan sekuat hati dan saya nampak ada satu tempat yang berpokok seperti hutan. Di tengah2 hutan itu ada satu lembaga perempuan seperti sedang menggendong sesuatu dan dia tunjuk ke arah saya. Saya menjerit dan menangis dalam mimpi itu dan berkata, “Jangan kau ambil hak aku!!!”

Terus saya tersedar dan memang saya sedang menangis semasa saya sedar. Jam menunjukkan 12.15 pagi. Tiba2, saya dengar ada bunyi ketukan di luar tingkap bilik. Suami saya pun tersedar dari tidurnya. Kami dua2 dengar ketukan itu tapi kami tak berkata apa2. Selang beberapa minit, terdengar semacam ada burung yang berbunyi di luar tingkap bilik kami. Suami saya terus memeluk saya dan saya sembunyikan muka di celah badannya dan dia membaca Ayat Kursi dengan kuat sambil memegang saya dengan erat. Alhamdulillah, tiada gangguan lain pada malam itu.

Dipendekkan cerita, suami saya cuba mendapat bantuan dengan seorang pakar dan orang itu memberitahu yang ada jin-jin yang ingin berdamping dengan saya disebabkan saya mengandung. Orang itu berkata, ada tujuh atau lapan ekor jin yang berada di luar rumah kami waktu itu. Pesanannya pada saya supaya saya jangan tinggalkan solat dan supaya membaca Ayat Kursi setiap lepas solat Subuh dan Maghrib sebagai pendinding diri. Alhamdulillah, saya tidak mengalami gangguan lain semasa mengandung sampai saya bersalin.

Ada banyak lagi kisah kisah yang akan saya kongsi pada masa akan datang, Insya-Allah...

Terima kasih KC...

Liza

TERIMA KASIH LIZA!!!

Sunday, June 26, 2011

Pocong Di Kawasan Dairy Farm Road

Salam kepada pendengar setia & pengunjung blog MJ12,

Berikut kami sertakan gambar yang telah dikongsi bersama oleh salah seorang pendengar bernama Kak Anne, yang telah mengikuti kami ke XPDC MJ12 pada malam Sabtu yang lalu. Gambar ini dipetik menerusi fungsi kamera di dalam telefon bimbitnya sewaktu beliau dan teman-teman pergi meronda-ronda di kawasan Dairy Farm Road hampir dua minggu yang lalu. Sewaktu di kawasan itu, mereka telah melihat susuk seperti "Pocong" di atas salah sebuah pokok di sana. Kak Anne dengan pantas memetik gambar ini dan sejurus setelah beliau memetik, "Pocong" itu telah terbang dan menghilang.


TERIMA KASIH KAK ANNE!!!

Sewaktu XPDC MJ12 ke sana sekitar satu lebih pagi, ada beberapa orang termasuk Admin MJ12 juga telah mengalami beberapa perkara yang aneh di sana. Dengan menggunakan alat yang dinamakan "Bionic Booster", Admin MJ12 telah terdengar suara seolah2 sedang bergurindam sebanyak tiga kali sepanjang waktu kami berada di sana. Bunyinya hampir sama dengan efek suara yang sering DJ KC putarkan tiap2 malam namun melodinya berbeza. Mungkinkah kami semua telah diganggu ketika berada di sana??? Wallahu'alam bissawab...

Thursday, June 23, 2011

XPDC Misteri Kembali Lagi!!!

XPDC MISTERI BERSAMA DJ KC KEMBALI LAGI!!!

Tarikh : Sabtu 25 June 2011
Waktu : 10:30 malam - 3:00 pagi
Had Tempat : 40 Peserta sahaja
Yuran : Hanya $32 untuk seorang
Sekiranya anda berminat ayuh segera hubungi Encik Abdul Kadir.
Tel: 90266074 (Encik Abdul Kadir)

Kunjungi tempat-tempat menarik di Singapura pada larut malam!!!
Jangan lepaskan peluang untuk sertai XPDC ini!!!
Sediakan kamera, video rakaman dan semangat anda...

Hantu di Tempat Meletak Kereta di Changi

Salam kepada peminat dan pengunjung blog rasmi MJ12,

Berikut merupakan gambar yang dikirim oleh seorang teman pendengar yang bernama Eddie. Gambar ini dipetik di salah sebuah tempat meletak kereta di kawasan Changi. Perhatikan bahagian kiri gambar ini yang dibuat bulatan. Apakah benda itu??? Adakah ia hantu??? Adakah ia jelmaan kakak cantik??? Wallahu'alam bissawab...


TERIMA KASIH EDDIE!!!

Rumah Berbau Pacai

Assalammu’alaikum KC,

Nama saya ROY, kisah ini terjadi sewaktu saya tinggal di kawasan Yishun Ring Road. Ia berlaku sekitar sembilan tahun yang lalu. Kisahnya begini, saya mempunyai tabiat suka menonton televisyen pada waktu malam, kadangkala sampai ke pagi.

Pada suatu malam bila saya sedang menonton cerita seram, saya ada terdengar suara bisikan seperti bunyi seekor ular, "Psst… Psst… Psst…" Begitulah bunyinya. Saya pun terfikir takkan ada ular di dalam rumah??? Saya pun apa lagi, cari keliling rumah dari mana datangnya bunyi itu, tapi saya tak jumpa apa2 pun. Saya pun buat tak endah saja selepas itu.

Isteri saya pun pernah diganggu dengan suara bisikan yang sama. Pernah satu hari bila saya menyuruh isteri saya sedang memasakkan saya Mi Maggi di dapur, dia terdengar ada suara di belakangnya berkata, "Tengah masak apa tu???" lalu isteri saya panggil saya yang sedang berada di depan komputer dengan nada ketakutan. Bila saya datang ke dapur dan bertanya isteri apa yang beliau inginkan dari saya, isteri saya cakap, "Awak duduk sini sampai saya habis masak..." Saya menjadi hairan tetapi isteri berkata dia akan beritahu kenapa di lain masa.

Pada keesokan harinya isteri saya pun menceritakan kepada saya apa yang terjadi pada hari semalamnya. Dipendekkan cerita hampir setiap malam kami diganggu dengan macam2 kejadian, kali terakhir kami diganggu ialah dengan bau pacai. Bayangkan setiap kali bila kami sekeluarga keluar, rumah akan berbau pacai, walaupun kami tinggalkan rumah itu beberapa jam sahaja. Bila saya dah naik angin, nak tahu apa saya buat???

Saya berdiri di tengah2 rumah saya pun pekik dan maki hamun, "EH JAHANAM KELUAR KAU, AKU TAK KACAU KAU, KENAPA KAU NAK KACAU AKU???" Macam2 saya cakap dan sumpah seranah. Isteri saya meradang dengan saya. Dia cakap, "Awak jangan cakap macam tu, nanti kena tampar dengan mahkluk halus, baru tahu..." tapi masa tu saya dah tak boleh berfikir apa2 lagi, maklumlah saya dah naik hantu. Alhamdulillah sejak kejadian tersebut tidak ada lagi gangguan yang kami alami di rumah itu.

Terima kasih KC...

TERIMA KASIH ROY!!!

Wanita Berjalan Di Lebuhraya Di Singapura

Salam KC,

Nama saya Tara. Saya ada pengalaman yang saya ingin berkongsi dengan KC. Kejadian ini terjadi pada tahun 2009, bulan orang-orang Tionghua sembahyang hantu. Waktu itu saya sedang dalam perjalanan pulang dari tempat tugas. Rumah saya ini terletak di kawasan Woodlands. Dari tempat kerja ke rumah agak jauh perjalanannya. Pada masa itu, saya memandu di lebuhraya. Tak banyak kereta di situ sebab sudah pun lewat malam.

Saya rasa mengantuk apabila sedang memandu malam itu. Dalam keadaan mengantuk, saya ternampak seorang perempuan sedang berjalan perlahan-lahan di tepi lebuhraya itu. Terkejut saya dibuatnya dalam keadaan mengantuk. Memandangkan saya sedang memandu kereta dengan laju, saya nampak perempuan itu dengan tidak berapa jelas. Dalam hati saya berkata agar jangan hiraukan benda itu.

Apabila saya sampai di rumah, sedang saya menunggu lif sampai, saya ternampak perempuan yang sama sedang menyangkung di tepi tangga blok saya. Perempuan itu memakai baju putih, tetapi sangat kotor. Saya terperanjat sangat2. Lif dah sampai, saya dengan pantas menaiki lif dan mengucap banyak2. Saya kuatkan semangat, terus balik mandi dan bersolat. Hanya Tuhan saja tahu apa perasaan saya tadi apabila ternampak perempuan berpakaian putih kotor itu. Dahlah saya tinggal seorang diri di rumah, tidak ada orang yang menemani saya. Selepas solat, saya terus tidur dan cuba melupakan segala yang saya nampak. Alhamdulillah, saya tak diganggu.

Itulah pengalaman saya. Mungkin saya terkena gangguan ini atas sebab sudah lama saya tidak bersolat. Selamat malam, dan selamat bertugas KC...

TERIMA KASIH TARA!!!
Semoga pengalaman ini menjadi pengajaran untuk semua agar sentiasa menyempurnakan tanggungjawab seharian...

Wanita Berbaju Putih Menyangkung Di Depan Pintu Bilik Darjah

Assalamualaikum KC dan pendengar-pendengar setia Misteri Jam 12,

Saya Lina ingin berkongsi pengalaman yang pernah saya alami dengan kawan saya. Ini berlaku baru-baru ini. Pada satu hari, saya tiba ke sekolah saya pada jam 6 suku pagi. Saya kononnya ingin menjadi orang yang pertama yang tiba di bilik darjah. Bila tiba sahaja, saya ternampak tidak ada orang yang ada di dalam bilik darjah, saya pun tersenyum lebar kerana ia bermakna sayalah orang yang pertama tiba.

Apabila saya ingin membuka pintu bilik darjah, saya ternampak ada seorang wanita memakai baju putih, rambutnya panjang sampai ke kaki sedang menyangkung di depan pintu. Saya menghempaskan pintu itu dengan kuat dan berlari sampai ke tingkat satu kerana kelas saya berada di tingkat empat. Saya berlari ke kantin. Pada masa itulah saya ternampak kawan saya bernama Tina. Saya tengok dia macam dia sedang menangis. Saya tanya "Kenapa awak nangis?" Dia kata dia ternampak seorang wanita sedang menyangkung di hadapan pintu kelas apabila dia hendak membuka pintu.

Saya pun terperanjat. Rupa-rupanya dialah orang yang pertama tiba dan dia juga ternampak wanita itu sedang menyangkung di hadapan pintu. Saya dan Tina naik ke bilik darjah bersama-sama. Tiba sahaja di depan pintu, Tina kata dia tak sedap hati, lantas kami terus turun ke bawah semula dan duduk di kantin sampai teman-teman sedarjah tiba. Saya dan Tina dah tak berani lagi pergi ke sekolah pada awal pagi.

Itu sahaja kisah saya pada malam ini...

Lina

TERIMA KASIH LINA!!!

Monday, June 20, 2011

Thank You Fans of MJ12

Inilah T-shirt MJ12 Frenz Club hadiahkan.

Terima kasih atas sokongan anda saya amat menghargainya - KC


Spirit of The Unseen Forces.

Sunday, June 19, 2011

Pengalaman Bermalam di Pantai East Coast...

Assalamualaikum KC dan pendengar setia MJ 12,

Nama saya Lina, ingin berkongsi pengalaman sewaktu saya pergi berkelah bersama teman2 sekolah di pantai East Coast. Kejadian ini berlaku tiga tahun yang lalu. Pada malam pertama, tidak ada apa-apa gangguan, tetapi sewaktu malam yang kedua, kawan saya Mira, mengejutkan saya untuk menemannya ke tandas. Pada waktu itu sudah masuk satu pagi. Suara Mira agak rendah, jadi saya ingatkan dia dalam kepenatan. Saya jalan belakang dan dia berjalan di depan saya menuju ke tandas tidak jauh dari mana kami mendirikan khemah. Dia masuk ke dalam tandas, saya menunggunya di luar.

Pada masa itu, saya tak ingatkan apa-apa yang seram. Tetapi selepas lima minit, Mira belum lagi keluar dari tandas itu. Saya tanya, "Dah ke belum?' Dia jawab balik dengan suara yang agak rendah, "Belum". Setiap lima minit saya akan tanya, dia akan jawab balik dengan suara yang agak rendah. Makin saya tanya, makin dia jawab balik dengan suara yang rendah sekali. Sudah dua puluh lima minit menunggunya, saya ingat dia sakit perut kerana telah lama duduk dalam tandas. Saya kata saya dalam kepenatan ni, jadi saya kata dengannya saya pergi balik ke khemah. Dia tidak jawab balik.

Sedang saya berjalan balik ke khemah, saya ternampak Mira sedang nyenyak tidur di dalam khemah kami. Saya mula tak sedap hati. Saya kejutnya saya tanya, "Awak kan tadi pergi tandas? Macamana awak boleh tidur di sini pula?" Dia jawab, "Taklah, saya sedang nyenyak tidur. Tadi saya nampak awak teman kawan lain ke tandas, mana dia?" Saya kata, "Taklah, itu bukan kawan lain, itu awak. Awak kan yang mengejut saya untuk meneman awak ke tandas?" Mira terkejut. Kalau itu bukan Mira, jadi orang yang berada dalam tandas itu siapa?

Mira bercadang kami pergi ke tandas semula. Apabila tiba di tandas, kami ternampak pintu tandas terbuka luas dan di dalamnya tidak ada orang. Bulu roma saya meremang. Mira kata dia tak sedap hati. Jadi kami berjalan dengan pantas balik ke khemah kami. Sedang berjalan, kami terdengar bunyi suara seorang perempuan sedang menangis dari arah tandas itu. Kami lari dan membaca Ayat Kursi. Kami bercadang untuk bertanya kawan2 yang lain samada mereka ada diganggu atau tidak. Mereka pun kata mereka diganggu juga sama seperti pengalaman saya.

Itu sahaja kisah saya. Terima kasih dan selamat malam.

Lina...

TERIMA KASIH LINA!!!

Rumah Lama Di Bukit Gombak

Salam semua,

Nama saya Ali
, saya ada pengalaman tentang rumah lama saya di Bukit Gombak. Blok yang saya tinggal dikirakan kawasan blok baru. Dulunya kawasan "panas" untuk cuci kereta kerana aliran mata air yang tak henti-henti.

Pengalaman saya sewaktu saya sedang bermain dengan komputer. Waktu itu jam 1.30 tengahari. Biasanya waktu itu adik saya pulang dari sekolah. Saya perasan ada orang seperti adik saya yang baru pulang dari skolah terus masuk ke bilik adik saya. Saya pun panggil adik saya, "Aisha... Aisha..." tapi tak dijawab. Saya pun buka pintu bilik adik saya. Tak ada orang. Pada mulanya saya ingat itu khayalan saya saja. Bila adik saya pulang, saya pun ceritakan padanya, dia kata dia juga ada pengalaman ngeri.

Waktu itu adik saya sedang tidur sekitar jam 5 pagi. Biasanya adik saya tidur tak mematikan lampu. Adik saya kata ada orang menyerupai abang sulung saya masuk ke bilik adik saya dan tenung adik saya dengan mata yang terbeliak. Adik saya terus bangun tapi dia tak fikir apa2 dan terus pergi ke dapur untuk minum air. Bila nak patah balik ke bilik, adik saya lihat abang sulung saya sedang nyenyak tidur. Adik saya mengejut abang sulung dan bertanya, "Tadi abang ada masuk bilik adik tak?" Abang saya kata tak ada. Adik saya pun rasa pelik.


Selepas itu keluarga saya bercadang untuk jual rumah itu. Dah berbulan-bulan berada di pasaran tetapi rumah tak laku2. Orang datang semua tak berkenan. Saya terus pegi jumpa pakar dan pakar berkata ada tiga jenis makhluk dah menetap di rumah tu. Makhluk-makhluk itu tak membenarkan kami pindah dan makhluk-makhluk itu suka merubah-rubah wajah. Selepas rumah disemah, pada waktu malam saya terdengar ada suara tangisan yang mendayu di tingkap bilik saya seperti ia tidak mahu kami tinggalkan rumah itu. Sesudah itu barulah rumah saya laku dijual..


Sekian, terima kasih...

TERIMA KASIH ALI!!!

Thursday, June 16, 2011

Pengalaman di SCDF BRTC

Selamat tengah malam kepada KC dan para pendengar MJ12,

Saya Wan, ingin berkongsi pengalaman semasa saya menjalani perkhidmatan negara dahulu di pusat latihan SCDF BRTC, yang terletak di Jalan Bahar. Ketika itu saya baru menjalani perkhidmatan negara hanya beberapa minggu sahaja. Masih dalam tempoh tidak boleh pulang ke rumah lagi.

Saya masih teringat lagi pengalaman saya di kem tersebut. Tak silap saya waktu ketika itu pukul 12 lebih malam. Sedang tidur, tiba2 terasa pula nak buang air kecil. Kita digalakkan untuk pergi ke tandas berteman pada waktu malam.

Tapi pada malam itu, tak terfikir pula nak kejutkan kawan yang sedang tidur. Saya pun pergilah ke tandas sendiri. Semasa dalam perjalanan di koridor, saya ternampak salah seorang rakan sebilik saya. Saya pun tegur, "Eh tak tidur ke?" Pelik betul dia tak menjawab, tapi hanya melihat ke bawah dan jalan terus masuk ke dalam bilik.

Saya pun malas nak layan, saya terus masuk tandas. Apabila saya masuk tandas, alangkah terkejutnya saya apabila saya ternampak teman sebilik yang saya terserempak di koridor tadi di dalam!!! Dia nampak saya lalu bertanya, "Eh Wan tak tidur? Tak boleh tidur ke?" Saya dah tergamam. Dengan pantas saya buat apa yang harus saya lakukan dan cepat2 masuk tidur selepas itu.

Keesokan harinya saya demam saya. Itu saja kisah saya. Terima kasih dan selamat malam...

Md Redzuan

TERIMA KASIH REDZUAN!!!

Buka Ikatan Talinya

Assalamualaikum KC,

Kisah ini berlaku apabila ayah saya baru saja pulang dari kerja kira2 pukul 3.30 pagi. Dia terdengar seperti ada orang sedang mengetuk pintu, dia pun rasa hairan, "Eh, takkan pagi2 buta ni ada orang nak ketuk?" Dia memeriksa melalui tingkap yang terbuka namun tiada sesiapa yang berada di situ. Dia pun kata, "Mungkin itu imaginasi aku..."

Sedang dia hendak ke bilik untuk menukar baju, dia terdengar bunyi ketukan yang sama. Kali ini ketukannya semakin kuat. Dengan rasa geram, dia terus ke pintu dan membuka pintu dengan luas. Alangkah terkejutnya dia, dia ternampak sebuah lembaga yang berbungkus putih. Dia tergamam dan tidak tahu caranya. Dia bernasib baik kerana dia teringat pesan arwah ayahnya untuk membuka semua ikatan di bahagian kaki, kepala dan pinggang. Sambil membuka ikatan tali, dia sempat berkata dalam hati, "Janganlah benda ni jatuh atas aku..."

Setelah dia membuka tali ikatan lembaga itu, dia terus menoleh ke belakang tanpa membuka mata. Apabila dia hendak menutup pintu dia membuka matanya dengan perlahan, alangkah terperanjatnya dia bahawa lembaga itu sudah tiada. Hanya bau haruman yang ditinggalkan di situ...

Itu sahaja cerita dari saya... Terima kasih...

Amiruddin...

TERIMA KASIH AMIRUDDIN!!!

Wednesday, June 15, 2011

Gula-Gula Atau...???

Salam KC,

Gambar ini diambil beberapa hari lepas apabila saya dan kawan2 saya membuat perkelahan dan barbeku sempena sambutan hari jadi isteri saya di Pantai East Coast... Sila lihat ke arah pokok paling kiri, apa yang anda lihat??? "Gula-gula" atau permainan cahaya dari kamera???

MUHD NOH


TERIMA KASIH MUHD NOH!!!

Monday, June 13, 2011

Apa Yang Tenggelam Timbul Tu???

Asssalamualaikum kepada KC dan semua pendengar setia Misteri jam 12,

Saya ingin berkongsi pengalaman ini kepada semua pendengar setia Misteri Jam 12. Kisah ini tidaklah begitu seram seperti kisah-kisah yang telah KC keudarakan. Kisahnya ini berlaku lebih kurang 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya bekerja dengan sebuah bank tempatan di mana pada tahun tersebut, bank ini telah dibeli oleh bank tempatan yang lebih besar. Untuk “meraikan” pernyatuan tersebut (merger), bahagian tempat saya bertugas telah mengadakan majlis makan malam di sebuah restoran yang berdekatan dengan pusat SAFRA di Tanah Merah. Saya telah terbiasa dengan kawasan ini kerana saya sering pergi memancing ikan di sana. Selepas makan, seperti biasa saya akan merokok.

Memandangkan merokok tidak dibenarkan di kawasan restoran tersebut, saya pun berjalan menuju ke tepi pantai iaitu terletak di belakang restoran tersebut. Pada ketika itu, saya ditemani dua kawan sekerja iaitu Yeu Kian dan Ravi. Semasa berjalan di tepi pantai, saya sarankan kami menuju ke kawasan berbatu yang terdapat tidak jauh dari situ. Di kawasan inilah saya sering memancing ikan, tetapi memancing di waktu siang sahaja. Kawasan batu seperti ini memang banyak terdapat di pantai-pantai Singapura dan pada pemahaman saya, ia dibina untuk menguatkan pergigian pantai dari hakisan. Di penghujung batu-batuan ini yang menghadap ke laut, terdapat sebuah tiang yang berwarna kuning (pada ketika itu) dan tingginya lebih kurang 2.5 meter. Di permulaan batu-batuan tersebut terdapat kawasan semak dan seterusnya adalah jalanraya yang menghala ke pusat SAFRA di mana terdapat juga tepian pantai. Kalau dilihat dari atas, kawasan ini semacam muara.

Malam itu cukup indah dengan bulan mengambang penuh, angin sepoi-sepoi bahasa dan air laut bergerak pasang. Ombak memukul pantai agak kuat dan deras. Kami bertiga begitu seronok berbual di atas batu-batuan tersebut dan berdiri berhampiran tiang tersebut. Sedang asyik berbual, mata saya terpandang sesuatu yang terapung dekat dengan pantai bersebelahan jalanraya yang menuju ke pusat SAFRA. Benda itu berbentuk agak bulat dan yang menarik ialah cara ia terapung, sekejap terapung , sekejap tenggelam sikit, persis macam kepala orang yang berenang ala2 “katak”. “Ummm… apa agaknya benda itu???” kata saya dalam hati...

Saya perhatikan benda itu semakin lama semakin “berenang” ke arah lautan luas.“Umm… kalau air pasang, benda yang terapung selalunya akan menghala ke darat dan akan terdampar di tepi pantai. Macamana pulak benda ini boleh menghala ke tengah laut??? Takkan orang sedang berenang waktu macam ini??? Dah dekat pukul 10:30 malam… Kalau orang hendak pasang jaring ikan sekalipun takkan waktu air jalan pasang???” kata saya dalam hati dengan penuh tanda-tanya dan musykil. “Emm biarkanlah... Jangan kacau aku sudah...”

Saya pun mengalihkan pandangan saya ke arah lain dan sambung berbual. Tetapi, mata saya ini agak nakal. Masih nak memerhatikan benda itu. Perkiraan saya, dalam masa 10 minit pasti benda akan melintas di hadapan kami dan berharap agar dapat melihatnya dengan jelas berpandukan cahaya bulan. Sedang asyik berbual, belum pun sampai benda itu melintasi kami, si Yeu Kian pulak bersuara. “Kawan-kawan, apa benda itu ( alih bahasa)?“ Kata Yeu kian sambil menudingkan jari ke arah benda itu. “Benda terapung, tapi tak jelas benda apa (alih bahasa)... ” kata Ravi. “Tak ada apa lah.Cuma buah kelapa yang jatuh dari pokok berdekatan (alih bahasa) ” kata saya untuk menghentikan perbualan itu. “Dia mengahala ke lautlah… Kelakar betul… Sekejap timbul... sekejap tenggelam…hah..hahh.hah ( alih bahasa) ” kata Yue Kian. "Celakalah budak ini... tak tahu diam betul..." kata saya dalam hati. “Lupakan… Cuma kelapa saja... Itukan semulajadi... (alih bahasa)“ kata saya.

Sekarang benda itu betul-betul di hadapan kami dan dengan cahaya bulan saya perhatikan dan amati. Ia bukan bola mahupun kelapa. Ini kerana, belakang benda itu ada semacam rambut yang panjang dan lebat. Aduhhhh… Lain macam saja ni kata hati saya. Seperti tahu ia diperhatikan dan dipersendakan, benda itu mengubah laluannya. Tidak lagi menghala ke lautan luas tetapi menghala ke arah kami di kawasan batu-batuan tersebut. Dalam kiraan saya, benda itu akan sampai kira-kira 3 minit. Tanpa berlengah, saya pun berkata, “Jom... Blah… Dah lewat ni. Nanti susah pulak nak ke pantai pasal air pasang tinggi ( alih bahasa)…” lalu bergegas turun dari batu-batuan tersebut dan berlari ke arah restoran tadi. Kedua orang kawan itu pun mengikuti saya dari belakang tanpa banyak soal. Alhamdulillah, tidak ada perkara yang buruk berlaku selepas itu. Saya kurang pasti keadaan tempat itu masa kini kerana saya sudah tidak pergi ke situ semenjak kejadian tersebut.

Terima kasih dan salam,

Amin J.


TERIMA KASIH AMIN!!!

Wanita Misteri di Sembawang

Assalamualaikum KC,

Nama saya Lisa. Saya ingin berkongsi tentang satu kejadian yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Saya dan dua belas orang (tiga lelaki dan sembilan perempuan) kawan saya hendak pergi ke rumah cikgu kami yang terletak di daerah Sembawang. Kami tidak terfikir pun bahawa tempat itu keras kerana kami sedang berseronok berhari raya.

Kami pergi ke rumah cikgu kami sekitar pukul 9 malam. Apabila kami menuju ke rumah cikgu dari pusat pertukaran bas Sembawang, kawan-kawan saya pun bergurau senda antara satu dengan yang lain. Sambil itu, kawan-kawan lelaki saya ada juga menakut-nakutkan kawan-kawan perempuan saya. Apabila kami sudah menaiki bas, salah seorang kawan perempuan saya bernama Izzah (bukan nama sebenar) bermain-main dengan rambutnya lalu berkata, "Lisa! Baik-baik tau! Aku dah jadi pontianak..." Kawan-kawan saya yang lain pun ketawa.

Salah seorang kawan saya pula bernama Hazirah (bukan nama sebenar) berkata, "Eh! Kau jangan mulut celupar tau! Jangan main-main! Aku dengar-dengar daerah rumah dia keras tau!". Apabila kami sudah sampai di perhentian bas daerah rumah cikgu saya, tempatnya sungguh gelap. Apabila kami sedang berjalan, ada seekor anjing menyalak ke arah kami. Kami pun rasa tak sedap hati. Tiba-tiba Izzah menangis. Saya pun bertanya kenapa. Dia kata bahawa ada seorang perempuan memakai baju putih sedang memerhatikan kami di dalam sebuah rumah yang kosong di kawasan itu.

Kami cepat-cepat lari pergi ke rumah cikgu saya. Apabila kami sudah sampai di luar pintu pagar rumah cikgu saya, pembantu rumah cikgu saya berkata yang cikgu saya tiada di rumah. Kami pun tengok jam sudah pukul 9:40 malam. Kami tidak boleh balik lambat jadi, kami pun patah balik ke perhentian bas. Tiba-tiba kawan saya bernama Alisha (bukan nama sebenar) mula menangis. Dia kata, "Perempuan yang tadi kita nampak tu, sedang ikut kami. Aku takutlah!"

Dengan keadaan panik, saya dan kawan-kawan saya yang lain memimpin tangan masing-masing lalu membaca doa. Apabila kami sudah sampai di perhentian bas, kami pun tenangkan diri kami dan menaiki bas. Apabila sudah sampai di pusat pertukaran bas Sembawang, kami pun berehat di kedai kopi lalu menenangkan fikiran kami. Walaupun kejadian itu tidaklah seram sangat tapi Alhamdulillah, saya dan kawan-kawan saya tidak terkena sebarang gangguan. Itu sajalah cerita yang saya hendak berkongsi.

Terima Kasih KC...

TERIMA KASIH LISA!!!

Penunggu Taman!!!

Assalamualaikum,

Ke hadapan DJ KC yang dihormati. Nama saya Niesa Sazalee. Saya berasal dari Taman Molek, Johor Bahru dan saya sekarang masih berumur 14 tahun (tahun 2011). Saya ada kisah seram yang saya ingin kongsi bersama Abang KC dan para pendengar. Kisah ini bukan berlaku pada saya tetapi berlaku pada teman rapat saya yang bernama Sara dan sekarang dia telah berpindah sekolah. Kisah ini berlaku pada tahun lepas iaitu tahun 2010, bulan Mei, sewaktu kami hendak menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun. Jadi rakan saya ini telah pergi ke rumah makciknya di Taman Mount Austin, Johor Bahru seminggu sebelum peperiksaan bermula.

Pada malam tersebut, dia pergi ke rumah makciknya bersama ibu, abang dan adik2nya yang lain. Setelah sampai di rumah makciknya, dia telah meminta izin ibunya yang dia hendak pergi belajar bersama abangnya bernama Hafiz di taman permainan. Jadi ibunya izinkan dia pergi tetapi memesan agar jangan balik lambat sangat sebab dah hampir lewat malam dan ibunya risau jika ada perkara yang tidak diingini berlaku. Setelah diizinkan dia pun pergi bersama abangnya ke taman tersebut yang tidak berapa jauh dari rumah makciknya.

Setelah sampai, abangnya pun bersuara "Alhamdulillah!" Kemudian rakan saya ini cakaplah dengan abangnya. "Kenapa Hafiz?" "Tengok tuh! Ada seorang akaklah kat meja bulat!" Jadi rakan saya ini pun cakap, "Jomlah kita pergi kat akak itu!" Kemudian dia mendekati dengan kakak itu. "Hai akak! Seorang saja ke dekat sini? Boleh kami duduk?" jawab rakan saya. Kemudian kakak tu pusing dan senyum sambil menjawabk "Ha'ah. Akak seorang saja! Duduklah!". Jadi rakan saya dan abangnya pun tak fikir yang bukan2 dan terus duduk. Rakan saya dan abangnya ini duduk berbual dengan kakak tersebut.

Kawan saya ni mula bosan dan tak jadi nak belajar sebab abangnya asyik melayan kakak yang ada di sebelahnya. Dah bosan waktu itu, dia pun membelek2 pena di jarinya. Pena itu terjatuh di sebelah akak tersebut. Bila dia nak ambil pena itu, alangkah terperanjatnya dia bila dia ternampak kakak itu TIDAK ADA KAKI! Terus meremang bulu romanya. Dia tengok sekeliling untuk mencari siapa yang boleh bantu kakak ni pulang ke rumah. Di tempat kakak tersebut duduk, tak ada kerusi roda pun dekat dengan akak tersebut. Kalau kakak ni tak ada kaki, tak ada orang yang nak tolong dan tak ada kerusi roda, macamana dia nak pulang nanti?

Kawan saya ni rasa pelik dan tak sedap hati. Dia tak berani nak cakap dengan abangnya yang dia nak balik. Takut2 kalau kakak itu perasan. Jadi dia mesej abangnya! "Wei Hafiz! Balik jom aku tak sedap hatilah!" Abang dia pun balas mesej tersebut, "Ok. Jom!" Jadi teman saya punya abang, si Hafiz ni cakap dengan kakak tu, "Akak kami nak minta diri dulu ya! Dah lewat malam ni! Bye!" Dia terus bangun dengan adiknya. Kemudian, kakak itu jawab "Ok. Bye!" Sewaktu mereka jalan beriringan nak keluar dari taman, abang teman saya ni cakap dengan adik dia "Kenapa Sara? Cakaplah! Cakaplah!" Sara ni pulak tak nak cakap apa yang dah terjadi. Dia pun jawab. "Nantilah! Kat rumah aku cerita!"

Bila mereka dah keluar dari taman, akak tadi pun bersuara dengan nada yang sangat halus dan menyeramkan "HEI! KAU NAK BALIK KE, KAU DAH TAHU AKU TAK ADA KAKI?" Bila kawan saya dan abangnya dengar kakak tersebut cakap begitu, dia tak berani nak toleh ke belakang. Pandang, jeling pun dia tak mahu! Dia terus lari, "Cepat Hafiz! Cepat!" Mereka pun lari lintang-pukang. Sampai di rumah mereka ketuk pintu rumah sekuat2nya. Ibunya tanya, "Kenapa ni tercungap2?" Teman saya tak mahu jawab! Dia menangis kerana terperanjat dan takut! Bila dia ditenangkan oleh ibu dan makciknya, ibunya tanya sekali lagi. "Sara, jawablah! Kenapa nangis-nangis ni?" Kemudian dia jawab, "Masa Sara dekat taman dengan Hafiz tadi, Sara nampak hantu tak ada kaki!" Ibunya terperanjat dan memintanya menceritakan perkara sebenar.

Sara pun menceritakan segalanya pada ibunya apa yang berlaku. Kemudian, makciknya cakap, "Itulah kau! Pergi taman tadi tak baca doa! Kat taman itu, memang ada penunggu! Dah ramai orang yang kena!" Teman saya si Sara ini diam seribu bahasa. Dia tidak tahu hendak cakap apa. Dia amat terkejut dengan apa yang berlaku. Itulah saja kisahnya. Sekian, Terima Kasih dan Selamat Malam!

Yang benar,

Niesa
Sazalee dari Taman Molek, Johor Bahru

TERIMA KASIH NIESA!!!

Thursday, June 2, 2011

Ilmu Kunci

Assalamua’laikum KC,

Tentang ilmu kunci, saya bahagi pada tiga cara penggunaannya.

1) Cara Dukun atau Bomoh
2) Cara Ahli Kebatinan
3) Cara Pengamal Ayat-Ayat Ruqyah

1) Bagi DUKUN atau BOMOH menggunakan makhluk suruhannya. Sedia maklum pastinya dengan bacaan yang difahami olehnya untuk memerintahkan makhluk itu supaya pergi kepada orang yang diniatkan untuk dikunci. Cara makhluk ini mengunci adalah dengan memegang, memeluk, menekan tubuh atau menutup mata serta pendengarannya.

Ini adalah cara “straight forward”. Yang dilaksanakan melalui makhluk kepada manusia. Musibahnya kalau makhluk ini tidak diperintah melepaskan pengunciannya, maka manusia yang dikunci akan berterusan dalam keadaan terkunci. (boleh menyebabkan kelumpuhan)...

2) Bagi AHLI ILMU KEBATINAN pula menggunakan dua cara (ikut pada ketinggian ilmu batinnya). Cara yang pertama sepertimana yang digunakan sama caranya dengan cara Dukun atau Bomoh. Memerintah makhluk dampingannya yang sama-sama ikut dalam amalan ilmu batinnya. Yang membezakan antara makhluk dampingannya merupakan makhluk dari Jin Islam. Sedangkan makhluk Si Bomoh atau Dukun kebanyakannya adalah jenis Jin kafir. Biasanya Jin Islam tidak meresap lama di tubuh manusia. Oleh itu pengunciannya seketika sahaja. Dengan cara ini juga supaya dapat mengelakkan dari diketahuai si pelakunya. Kerana itu kadangkala apabila didatangi tukang ubat, orang yang terkunci tadi akan berada dalam keadaan seperti tiada apa-apa yang terjadi padanya.

Cara yang kedua pula digunakan dengan cara Makrifat. Dia akan sebut nama serta membayangi wajah orang yang diniatkan. Apabila tepat makrifatnya maka di situlah dia mulakan aksinya sendiri. Melakar-lakarkan tangannya ke udara seperti sedang mengikat, menghentak-hentak tapak kaki atau tangan ke lantai (pasak bumi) dan sebagainya.

Tetapi cara begini terlalu bahaya dan jarang dilakukan kerana takut orang yang dimakrifatnya turut sama dalam makrifat ke arahnya pula (dia tengok dia). Oleh sebab itu, cara pertamalah yang lebih banyak digunakan oleh para ahli ilmu batin ini.

3) Bagi PENGAMAL AYAT-AYAT RUQYAH atau PERAWAT ISLAM pula, ‘Kunci’ merupakan dari bacaan ayat-ayat Al-Quran yang tertentu atau Doa-doa yang terpilih. Disebut Ayat kunci atau Doa kunci. Dengan cara melalui bacaannya, kalau diizinkan Allah berlaku, maka berlakulah ia.

Namun jangan salah faham, kerana penggunaan Ayat atau Doa kunci ini dimaklumkan hanya akan diusahakan dalam keadaan darurat seperti diganggu atau ada tanda-tanda dianiaya oleh makhluk Jin, Syaithan atau kuncu-kuncu yang sekutu dengannya iaitu manusia. Maka itu, dalam cara ini adalah lebih afdhal digunakan kerana pada tujuan dan niat yang dibolehkan.

Wallahua’lam bissawab...

P/S: Kini di antara kita telah ketahui perihal KUNCI yang digunakan. Oleh itu bagi yang berusaha dengan cara selain cara yang ketiga, faham-fahamlah ilmu apa yang digunakannya. Yang menjadi persoalannya, “Apakah mereka boleh sewenang-wenang melakukan ‘Kunci’ dan akan terjadi pada orang yang tidak melakukan kesalahan kepadanya (bukan musuhnya)?"

Jawapan dari AyahJo, “Ya Boleh. Kerana itu niatnya. Namun bersedialah untuk menanggung dosa perbuatannya. Kerana perbuatannya itu tergolong dalam perbuatan yang zalim walaupun penganiayaannya dirasakan kecil atau sedikit tetapi hukum dan dosanya tetap sama.”

Wallahua’lam Bissawab...

Terima kasih KC,

Dari AyahJo...

TERIMA KASIH AYAHJO!!!

Kes Kronik Disihir Lelaki Di Perhentian Bas...

Selamat Malam KC,

Nama saya Indah (samaran) saya bukan nak bercerita kisah seram tetapi sekadar berkongsi pengalaman saja. Semalam Pak Raden ada menceritakan kisah kes kronik seorang lelaki yang ego, disihir oleh nenek teman wanitanya. Dikatakan lelaki itu hanya mahu menguji ilmunya dengan mempermainkan hati wanita itu tanpa ada apa-apa ikatan. Pengalaman wanita itu sama dengan anak gadis kakak. Anak kakak selalu terserempak dengan seorang jejaka yang tampan di perhentian bas bila pulang dari kerja. Bila terjumpa lelaki itu hati anak kakak seolah-olah mahu memberi nombor telefon pada dia, memandangkan anak kakak malu hendak mulakan bibit-bibit perkenalan, dia pun pendamkan saja perasaannya.

Setiap 12 malam selalu dia menangis dan terbayang-bayangkan wajah lelaki itu, hati anak kakak rasa sakit di dalam. makan pun kurang dan selalu sakit-sakit. Badannya semakin kurus. Kakak rasa ada yang tak kena pada dirinya. Bila kakak tanyakan soalan pada anak kakak, dia malu hendak beritahu sebab seakan-akan dia yang perasan sendiri. Nasib baik kakak cepat-cepat berjumpa dengan pakar. Menurut kata pakar, anak kakak dah terkena sihir, dia terlalu merana di dalam, hinggakan kalau tak diubat boleh jadi gila bayang, merana dan boleh bawa maut tanpa disedari. Bila sudah berubat anak kakak dah tidak lagi terbayang mukanya. makan pun sudah seperti biasa dan nampak riang di wajah.

Sekarang anak kakak masih lagi terserempak dengan lelaki itu tetapi lelaki itu seperti dah tahu tembelangnya dah pecah. Lelaki itu tidak merenung lagi dan dia merasa takut. Nasihat saya pada gadis-gadis di luar sana, berhati-hatilah dan kalau ada tak kena lekas-lekas beritahu orang yang kita percaya.

Terima Kasih KC...

TERIMA KASIH INDAH!!!

Old Tampines Road

Selamat Malam KC,

Saya Aishah, saya harap KC sihat2 belaka. Saya ingin berkongsi satu pengalaman sewaktu saya memandu kereta di Old Tampines Road beberapa tahun yang lalu. Pengalaman saya tidak begitu seram, tapi cukup untuk saya ketahui bahawa jalan itu amat keras.

Waktu itu, saya bekerja di sebuah hotel di Changi Village. Saya tinggal di Bedok South dan memandangkan hari itu hujung minggu, ayah membenarkan saya memandu ke tempat kerja. Kami baru habis syif petang yang berakhir jam 11 malam. Seorang dari teman saya yang tinggal di Mariam Way meminta saya hantarkan dia pulang.

Saya tak berfikir panjang, Mariam Way dekat dengan Loyang dan teman saya kata kalau saya keluar ikut Old Tampines Road, ada satu jalan keluar yang akan terus berhubung dengan Tanah Merah. Jadi, saya pun hantarlah dia pulang.

Selepas teman saya turun, saya memandu terus dan keluar di Old Tampines Road. Tak berapa lambat, saya ingat lagi, jam di kereta menunjukkan waktu baru pukul 11.35 malam bila saya turunkan teman saya. Pandu punya pandu, saya tak dapat mencari jalan susur keluar, atau laluan yang teman saya kata akan berhubung dengan Tanah Merah. Saya rasa macam saya sudah memandu lama dan yang lagi menyeramkan, jalan itu tidak ada kereta atau kenderaan yang lain. Cuma kereta saya sahaja di jalan itu.

Saya teruskan memandu dan tak tahu macam mana, saya sampai semula ke Mariam Way, jalan di mana saya keluar. Macam saya telah memandu dalam satu bulatan. Saya terus pandukan kereta balik ke rumah teman saya. Saya tanyakan dia jika dia berikan saya arahan keluar yang salah, tapi dia kata tidak.

Sekali lagi saya ikut arahan dia, sama juga, saya sampai ke jalan yang sama dan saya memandu terus di tempat yang sama. Kali ini saya rasa takut sedikit. Tiada sebarang kenderaan, jalan itu sunyi sepi sekali. Saya betul-betul takut. Waktu saya sedang memandu, saya terhidu sesuatu yang amat wangi sekali. Saya rasa takut sekali, yalah, saya seorang perempuan, seorang pulak tu.

Saya pun baca apa-apa surah yang saya ingat. Bila dalam ketakutan, semua surah yang kita hafal jadi lupa, lidah jadi kelu pulak. Saya terus memandu, dan sekali lagi, saya sampai semula di jalan menuju ke rumah teman saya. Apa lagi, saya terus ke rumahnya. Nasib baik dia belum tidur. Saya menangis, sebab saya betul-betul takut. Memang saya tak nampak apa-apa, cuma terhidu sesuatu, tapi sudah cukup menyeramkan. Malam itu, saya bermalam di rumah teman saya kerana saya sudah tidak berani nak memandu lagi.

Keesokan paginya, saya pulang menggunakan jalan yang sama. Kali ini teman saya ikut saya untuk arahkan jalannya. Dia bawa saya ke jalan yang sama yang saya telah pandu dua kali pada malam sebelumnya. Dengan senang kami berjumpa dengan satu jalan yang bergabung terus ke Tanah Merah, yang saya tidak dapat jumpa waktu memandu. Saya hairan, sebab jalannya sangat senang dan tidak jauh.

Entahlah, mungkin mata saya digelapkan. Tapi Alhamdulillah, nasib baik tidak ada sebarang gangguan selepas kejadian itu. Itu sahaja pengalaman saya. Terima Kasih KC...

Yang Benar,

Aishah

TERIMA KASIH AISHAH!!!
Walaupun kisah-kisah yang dikongsi oleh pendengar-pendengar lain sebelum ini merupakan jalan Old Tampines Road yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Paya Lebar, namun menerusi kisah ini, kami juga mempelajari bahawa ada sebatang jalan lain yang bernama Old Tampines Road juga, yang berada di kawasan Loyang. Diharap tiada sesiapa yang keliru. Kalau tak percaya, rujuklah kepada Google Maps dan anda akan lihat fakta ini...