Monday, November 26, 2012

Digomol Siapa?

Assalamu'alaikum KC,
Kejadian ini berlaku lebih kurang 6 tahun yang lalu. Saya sekeluarga tinggal di kawasan Jurong West. Ketika itu saya bekerja di sebuah kilang, syif malam dari 8 malam hingga 8 pagi, setiap hari Isnin hingga Khamis. Jumaat hingga Ahad pula adalah hari cuti dan hari rehat kami. Biasanya saya kerja lembur, saya hanya berehat pada hari Sabtu sahaja.
Memang penat, tapi apakan daya, saya berniat ingin menolong suami. Suami pun tidak berapa senang dengan saya bekerja malam tetapi kerja itu sementara saja sebab di siang hari walaupun mengantuk, saya tetap giat menghantar borang pemohonan pekerjaan di tempat-tempat yang waktu pekerjaannya waktu pejabat.
Di tempat kerja saya di kilang yang terletak di TUAS itu, sewaktu waktu rehat, saya lebih suka duduk bersendirian di kawasan pemunggahan. Kawasan itu menghadap ke arah jalan kecil dan ditemani lampu neon yang samar2. Bayangkanlah, suasana malam sungguh sunyi tetapi tenang. Selalunya saya akan mainkan lagu2 dari telefon bimbit saya untuk menemani saya yang bersendirian itu.
Bila duduk di sana, saya sikit pun tidak merasa takut, malahan saya rasa seperti ada yang menemani saya. Tapi saya tidak tahu siapa dan tidak pula dapat melihat gerangan siapakah yang menemani saya, saya cuma dapat merasakan seperti ada sesuatu yang bersama saya. Tapi perasaan ini sedikit pun tidak takut sama sekali.
Bila pulang ke rumah, suami sudah pergi kerja. Sebelum ke tempat kerja, dia akan menghantar anak kecil saya ke pusat jagaan kanak-kanak di bawah blok dan anak perempuan saya bersekolah pada sebelah pagi. Seperti biasa, saya akan buat kerja rumah dan masak dulu sebelum saya dapat tidur.
Semenjak saya bekerja malam, sering saya melihat seperti ada kelibat orang di dalam rumah saya sewaktu saya seorang diri, membuat kerja rumah. Tetapi saya sering tepis rasa takut. Saya kata pada diri saya itu semuanya hanya mainan mata, maklumlah mata dah mengantuk sangat, fikiran pun dah tak boleh berfikir betul, sudah penat sangat.
Entah mengapa hati saya merasa tenang dan sangat suka pada kawasan pemunggahan di kilang itu. Kalau boleh tidak mahu ambil cuti rehat. Pernah juga saya minta suami batalkan percutiaan kami ke luar negara, dengan alasan saya banyak kerja dan tidak dapat cuti pelepasan. Tapi suami tetap dengan keputusan dan dengan hati yang berat, saya pergi juga bercuti. Sebelum saya pergi bercuti, sewaktu saya tidur, saya terdengar bisikan di telinga saya, ”Janganlah pergi… Aku rindu kau…!”
Saya terkejut! Ah! Mimpi agaknya. Saya cuba tenangkan diri. Saya sedikit pun tak beritahu suami apa-apa tentang apa yang saya dengar, mimpi dan rasakan, sebab saya tahu walaupun suami saya ada kelebihan dalam hal-hal mistik, tetapi dia lebih suka tidak bercakap apa perkara2 begini. Jadi saya hanya pendamkan seorang diri.
Bila pulang dari bercuti, sekali lagi saya terdengar suara yang sama berbisik saat saya hampir terlena, “Kau dah balik… Aku rindu...” Saya terkejut dan buka mata, tetapi bilik saya dalam keadaan gelap. Saya toleh ke kanan, anak perempuan saya sedang lena tidur sekatil dengan saya. Suami dan anak kecil saya pula sudah berdengkur di atas tilam di lantai.
Saya kebingungan. Saya jadi tertanya-tanya siapa yang berbisik tadi dan suara tadi sama seperti suara yang berbisik tempoh hari. Entah macamana fikiran ini melayang terbayangkan kawasan pemunggahan di kilang tempat kerja saya. Rasa rindu lagi, rasanya seperti merindu kekasih yang lama saya tidak berjumpa… Rindu KC… Rindu sekali. Kemudian saya tertidur.
Sedang saya hendak terlena saya terasa seperti tangan menyelinap dan meraba tubuh saya. Mata ini mengantuk. Badan pula penat. Fikir saya pasti suami saya yang ingin melepaskan naluri lelakinya. Maka saya biarkan. Saya dengar hembusan nafas di telinga saya, kencang sekali nafas itu bagaikan orang sedang berlari. Kemudian saya merasa tubuh itu mula menindih tubuh saya dan mula menggomol saya. Saya buka mata mengantuk ni, saya ternampak suami saya sedang tidur di lantai!!!
Ya Allah saat itu, saya terus terfikir siapa yang sedang menggomol saya ni??!!!! Serta-merta saya jadi takut. Saya pekik, "ALLAHU AKBAR!" Benda itu hilang. Saya pekik, suami terjaga dan saya menangis. Saya benar2 takut. Saya ceritakan semuanya pada suami, suami bangun terus mengambil wudhu', solat, baca ayat-ayat suci ke dalam air dan memberi saya minum. Saya tertidur lagi, kali ini bersama suami.
 
Perasaan ini terus menerus jadi resah gelisah, merindu terus. Kini pandang suami pun boleh buat saya marah. Ada saja yang membuat saya berang dengan suami. Hingga suatu hari, seingat saya waktu itu lepas Asar, saya tiba-tiba mengamuk dan menangis tak henti-henti. Saya pun tak sedarkan diri dan tak tahu apa terjadi selepas itu.
 
Yang saya ingat, dua orang kakak ipar saya bersama suami mereka ada di rumah saya. Dan salah seorang biras saya yang sememangnya pakar dengan perkara-perkara sebegini membacakan sesuatu terkumat-kamit mulut dia. Saya bangun dan duduk. Saya kehairanan dan apabila saya pegang pipi saya, basah melekit kerana banyak menangis. 
 
Biras saya itu kemudian keluar rumah bersama suami, mereka bercakap-cakap di koridor rumah. Bila mereka masuk balik ke rumah, biras saya hanya tersenyum dan berkata pada saya agar jangan takut. Semuanya selamat dan mengingatkan saya jangan lagi duduk bersendirian di kawasan pemunggahan di tempat tugas sebab di situ memang ada sesuatu yang telah perhatikan saya dan suka pada saya dan ikut saya pulang. Kerana fikirkan keselamatan diri, saya pun letakkan jawatan dan memberi notis 24 jam.
 
TERIMA KASIH & SELAMAT MALAM!!!
Daripada:
Kak Mila

TERIMA KASIH KAK MILA!!!