Tuesday, February 12, 2013

Gangguan Di Rumah Sewa


Assalamualaikum DJ KC & para pendengar semua,

Saya Abby Lee berasal dari Kempas, Johor Bahru. Cerita yang ingin saya sampaikan ini berlaku kira-kira empat tahun yang lalu. Cerita ini berlaku di kawasan rumah pangsa Taman Nusantara Gelang Patah, semasa saya bekerja di sana dan duduk rumah sewa.
 
Pada hari yang dimaksudkan, setelah selesai bertugas, saya keluar bersama bekas tunang saya. Kami keluar untuk makan malam dan tanpa disedari, kami pulang agak lewat pada malam itu. Sebelum naik ke rumah sewa saya di tingkat dua, kami duduk di dalam kereta sambil berbual-bual, tiba-tiba bekas tunang marahkan saya, “Sayang jangan main cuit2 tengkuk boleh tak?”
 
Saya rasa agak kehairanan bagaimana tangan saya boleh sampai untuk mencuit tengkuknya, sedangkan kami duduk menghadap antara satu sama lain. Saya terdiam seketika memikirkan apa yang berlaku dan dengan tidak semena-mena bulu roma saya merinding. Dalam kereta terbau sangat wangi. Kami pandang sama sendiri sebab kami sama-sama dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
 
Saya dalam kereta tak berani mahu keluar disebabkan anjing-anjing bising menyalak berdekatan dengan kereta. Mata saya berkeliaran melihat kawasan meletak kereta. Tiba-tiba mata saya tertumpu pada sebuah lori yang berdekatan dengan kereta kami. Betul2 bawah tingkap bilik saya.
 
Saya terperasan ada seorang perempuan berdiri berhampiran dengan lori tersebut. Rambut kusut masai baju berdarah. Tangan luka2 sedang menggendong bayi. Sangkaan saya pada ketika itu mungkin perempuan itu baru melahirkan anak dan sedang mencari pertolongan.
 
Saya cuit lengan bekas tunang dan dengan memberikan isyarat mata supaya melihat ke arah lori. Dia memandang ke luar tingkap sambil memerhatikan kawasan sekeliling namun dia menyatakan yang dia tidak melihat apa-apa.
 
Perasaan saya semakin cemas kerana dia tidak melihat apa yang saya lihat pada ketika itu, pun begitu saya tak tergamak nak beritahu dia apa yang saya lihat demi menjaga keselamatannya untuk memandu pulang ke Singapura nanti.
 
Saya bersuara, “Sayang, I rasa baik I naik rumah lah. I tak sedap hati. Sayang, please tunggu kat bawah sampai I masuk rumah...” Bekas tunang jawab, “Ok sayang hati-hati naik, nanti sebelum tidur mandi. Apa2 hal, call I...”
 
Bila saya melangkah masuk ke dalam rumah sambil menutup pintu, tiba2 pintu bilik seperti dihempas dengan kuat…  Terperanjat saya dibuatnya, saya sangkakan mungkin itu Kak Jie, teman serumah saya yang menutup pintu biliknya dengan kuat saya terus berjalan menuju ke bilik tidur saya.
 
Setelah saya bersihkan diri dan berbaring untuk lelapkan mata, saya merasakan yang bilik saya terasa sangat dingin, sejuk sangat. Padahal saya tidak menggunakan alat pendingin hawa, hanya kipas angin yang berputar sederhana namun dapat dirasakan terlalu sejuk bilik itu.
 
Selang beberapa minit saya terdengar suara bayi menangis dan tiba-tiba, saya terdengar suara yang halus tetapi jelas kedengaran di luar jendela bilik tidur, suara seorang perempuan berkata,  “Kenapa? Kau takuuuutttt?”
 
ALLAHHUAKBAR…!!! Saya terperanjat dan cemas, menggigil ketakutan dan tidak tahu apa yang harus saya lakukan pada waktu itu. Apa yang saya terdaya lakukan hanyalah mencapai telefon bimbit saya dan menghubungi emak saya. Pada masa yang sama, saya terdengar bunyi pintu dibuka dan ditutup berulang kali di bahagian ruang tamu. Saya memberitahu emak apa yang berlaku dan menyuruh ayah datang menjemput saya untuk membawa saya keluar dari rumah sewa itu.
 
Emak pun berkata, “Emak dah ingatkan kau jangan balik lambat bila keluar. Kau tu duduk kat tempat orang. Rumah kau tu sebelah kiri kuil India, sebelah kanan kuil Cina... Sekarang bila susah pandai kau call emak. Dah kau tunggu sampai emak dan ayah sampai. Perbanyakkan baca doa dan surah2...”
 
Dalam ketakutan itu  saya teringatkan Kak Jie di bilik sebelah, saya pergi ke biliknya dan mengetuk pintu bilik Kak Jie. “Kak Jie... Oohh Kak Jie...” saya memanggil namanya beberapa kali tapi tidak disahut panggilan saya, mungkin dia nyenyak tidur. Saya beranikan diri membuka pintu bilik Kak Jie, tetapi tiada orang di dalamnya. Bilik dikemas dengan rapi dan bersih.
 
Saya menuju ke ruang tamu mencari Kak Jie. Semasa melalui sebuah bilik kosong saya terdengar bunyi bising seperti almari diketuk-ketuk. Nak kata ada orang di dalam bilik tapi pintunya dimangga dari luar. Bilik tersebut kami tidak dibenarkan buka dan hanya digunakan oleh tuan rumah saja. Saya kuatkan hati ke ruang tamu, juga tiada orang. Sah!  Memang saya seorang di rumah.
 
Dalam hati terfikir siapa yang buka dan tutup pintu bilik tadi? Ya Allah, pada masa itu hanya ALLAH sahaja yang tahu macamana perasaan saya. Terus saya capai telefon bimbit, hidupkan surah-surah yang ada selepas itu gangguan makin berkurangan. Bunyi suara burung gagak bersahut-sahutan di luar rumah tak henti-henti.
 
Selepas beberapa minit kemudian, emak dan ayah pun sampai untuk menjemput saya pulang ke Kempas, dan keesokan harinya saya terjatuh sakit dan demam buat beberapa hari. Mulai dari hari itu, jika tiada orang di rumah sewa itu, saya sanggup berulang-alik dari Gelang Patah ke Kempas walaupun jauh. Sampai di sini saja kisah saya.

Sekian terima kasih,

Abby Lee

TERIMA KASIH ABBY!!!

No comments: