Wednesday, March 27, 2013

Gangguan Di Dusun Durian

Selamat malam DJ yang bertugas, juga kepada rakan-rakan pendengar yang lain,

Pertamanya, izinkan saya menggunakan samaran saya, iaitu Jelutupi @ Jelu, berasal dari Sarawak dan pernah mengirimkan sebuah cerita (Kisah mengkebumikan mayat) suatu ketika dulu. Saya ada sebuah lagi cerita seram / misteri yang diceritakan oleh rakan saya. Beliau meminta untuk dirahsiakan namanya. Begini ceritanya…

Ada sebuah dusun durian yang dikongsikan oleh beberapa buah rumah panjang, yang dipanggil ‘dusun kongsi’ (merupakan dusun yang dahulunya ditanam oleh datuk nenek moyang dan tidak diketahui pemilik sahih, oleh itu ianya diisytiharkan perkongsian beberapa keluarga yang berasal dari keturunan yang sama). Dusun itu terletak betul-betul di kaki Bukit Begunan. Sejarah Bukit Begunan memang cukup dikenali oleh penduduk Sri Aman khasnya, kerana setiap tahun, AKAN ADA terjadinya kemalangan yang meragut nyawa manusia. Dikatakan kawasan itu menuntut darah manusia setiap tahun.

Kebetulan pada masa cerita ini berlaku, waktu itu tengah musim durian. Jadi, saya dan beberapa penduduk kampung yang lain, lebih kurang enam orang kesemuanya, bersiap-sedia untuk bermalam di dusun tersebut untuk memungut buah durian yang sudah masak untuk dijual. Di sini, kalau musim durian, memang laku. Kadang-kadang dapat keuntungan hingga ratusan ringgit sehari. Kami berenam, empat daripada kami agak muda, ditemani oleh dua orang lelaki yang agak berusia, setelah sampai di dusun tersebut, mula membersihkan ‘langkau’ (pondok) yang memang telah lama berada di situ. Kami mula membersihkan ‘langkau’ tersebut yang akan dijadikan tempat kami bermalam. Masing-masing mula menjalankan tugas sendiri. Ada yang mencari kayu api, ada yang menyediakan tempat memasak, ada juga yang sudah mula mencari buah durian yang sudah jatuh.

Keseraman bermula apabila malam menjelma. Bayangkan kawasan hutan, yang jauh dari segala hiruk-pikuk, tiada bunyi kereta, tiada lampu jalan, hanya ditemani unggas dan juga cengkerik dan segala jenis bunyi di malam hari. Kami berterusan bercerita antara satu sama lain. Seorang lelaki yang agak berumur, saya panggil dia Pak Jubang (bukan nama sebenar), tidak menyertai perbualan kami. Dia hanya berbaring di satu sudut, berbantalkan lengan. Sikap azali beliau memang begitu, tidak berapa campur dengan budak-budak muda, mungkin kerana usianya yang agak tua sedikit. Sedang kami berlima tengah rancak berbual, tiba-tiba kami terdengar bunyi semak seperti digoncang, seolah-olah seperti ada sesuatu yang sedang bergerak. Kami terdiam, ingin mengetahui apakah benda tersebut. Kemudian terdengar lagi bunyi seperti orang sedang berjalan, seperti menyeret kaki di sekitar ‘langkau’ kami. Bunyinya begitu nyata sekali kerana di kawasan‘langkau’ tersebut dipenuhi dengan daun-daun yang kering.

“Skreeeeeepppp skkreeeeeettttt skkreeeeeeeppp”, agak-agak begitulah bunyinya.

‘Langkau’ kami, diperbuat daripada kayu, berdindingkan dan beratapkan daun nipah, hanya berlantaikan kayu. Lampu kami pada malam itu hanya lampu minyak tanah. Kedengaran lagi bunyi kaki diseret dan kali ini ditambah pula seperti seolah-olah ada benda meletakkan tangannya di dinding ‘langkau’ kami dan menyeret dari hujung ke hujung. Tiada siapa yang berani keluar pada masa itu. Kami hanya berpandangan antara satu sama lain. Tiba-tiba,

“Taaaammmmmmmmm!!!!!!”

Lantai kayu kami dipukul dari bawah. Kami semua terkejut! Masalahnya, ‘langkau’ tersebut dibuat bertiang, tetapi ruang di antara lantai papan kami dengan tanah tidak sampai pun satu meter, macamana boleh ada sesuatu masuk ke bawah dan memukulnya sekuat hati hingga hampir tercabut papan tersebut? Kami mula panik. Langsung saling berpandangan (nasib tidak berpelukan). Tiang ‘langkau’ kami kemudiannya seperti digoncang dari luar. Kami semakin ketakutan. Orang tua yang sedang berbaring tadi, setelah mendengar bunyi lantai dipukul, turut terbangun. Pada masa itu beliau bersuara sambil menggosokkan mata,

“Nama utai nya? (Apa benda tu)” kata beliau.

Kemudian beliau memerhatikan kami, dan saat itu juga beliau seolah-olah tahu apakah yang sedang terjadi. Kemudian beliau bingkas bangun dan mencapai parangnya seraya berkata,

“Heeiiisshhh… Ngacau mai utai tok (kacau betul lah benda ni)”.

Beliau kemudian terus keluar dari ‘langkau’, kedengaran seperti beliau sedang membaca sesuatu dan terus meletakkan parang beliau ke atas tanah betul-betul di depan pintu. Kemudian, dengan selambanya beliau naik semula ke atas, dan menghidupkan api rokoknya. Serentak dengan perbuatannya sebentar tadi, gangguan tersebut terus hilang. Berhenti seolah-olah api yang disiram air.

Kami mulai tenang, dan kami berlima mula bertanya dengan beliau, apakah benda yang mengganggu kami. Beliau menjawab, itu adalah ‘hantu koklir’, atau ‘kulir’, yang memang suka mengganggu manusia. Mungkin hantu ‘kulir’ ini adalah Pontianak dalam versi Iban.
 
Sekian, terima kasih...
 
TERIMA KASIH JELU!!!

Rumah Angker

Salam sejahtera DJ KC dan para peminat MJ12, 

Nama saya Suhartatik dan berasal dari Indonesia. Kisah yang ingin saya ketengahkan terjadi pada diri saya sendiri dua hari yang lalu di kampung saya, Jombang, Peterongan. Hingga ke detik ini kejadian yang saya alami itu masih bermain di benak saya.

Kejadian itu berlaku sekitar empat petang. Untuk pengetahuan semua, rumah yang saya diami adalah rumah lama diperbuat dari kayu dan jikalau masak, ibu menggunakan kayu untuk jadikan bahan bakar masak. Pada waktu itu, saya berada di hutan mencari kayu bersama teman akrab saya, Erna. Kami sering mencari kayu bersama di hutan yang letaknya sepuluh minit dari rumah saya. Hutan tersebut bernama "Hutan Kembeng Aie". Hutan ini dikatakan angker oleh penduduk di sini. Namun, itu semua tidak menjejas saya dan teman saya untuk mencari kayu. Ini sudah menjadi tugas seharian saya semenjak ayah meninggal dunia.

Semasa kami dalam perjalanan pulang ke rumah saya, di arah barat kami terlihat ada cahaya yang amat terang. Kami menghampiri cahaya tersebut dan alangkah terkejutnya kami terlihat sebuah rumah yang amat besar. Dalam pengetahuan kami, tidak ada rumah di hutan tersebut apalagi rumah sebesar gudang itu. Kami berdua menjadi penasaran dan mendekati rumah tersebut.

Apabila kami berada tidak jauh dari rumah tersebut, kami ditegur oleh seorang warga kampung yang amat kami hormati, Pak Sutaman, dia adalah ketua di kampung kami. Dia beritahu kami jangan cuba untuk mendekati atau masuk ke rumah itu. Rumah yang saya dan teman saya lihat itu sebenarnya kuburan lama kata beliau. Saya dan teman saya tidak percaya akan katanya itu lalu dia menyuruh kami lafazkan Ayat Kursi.

Setelah saya dan teman saya lafazkan Ayat Kursi, dengan sekelip mata, rumah yang besar itu berubah menjadi kuburan. Kuburan yang lama terbengkalai. Alangkah terkejut dan takutnya kami. Setelah itu saya pengsan dan dibawa ke rumah saya. Apabila saya sedar, saya sebenarnya bukan di rumah saya tapi saya berada di dalam rumah besar itu. Saya tersentak dan merasa takut yang tidak terhingga. Hingga kini saya tidak dapat keluar dari rumah itu. Saya seolah-oleh terperangkap di rumah besar yang dikatakan angker itu. Pasti semua ingin tahu bagaimana saya boleh kirim kisah ini?

Ini adalah mimpi saya dan untuk pengetahuan semua, apa yang saya mimpikan akan menjadi nyata setelah tiga puluh hari mengikut kalendar Jawa. Ini adalah kelebihan saya semenjak saya kecil. Saya boleh tahu apa yang akan berlaku di masa depan dalam mimpi saya. Ini adalah anugerah dari yang Maha Kuasa dan saya ikhlas dan redha atas kelebihan yang diberinya.

Yang menjadi tanda tanya, rumah apakah itu dan hasrat apa yang tersirat dalamnya? Tapi kenapa saya yang diinginkan? Sekarang, saya hanya tinggal dua puluh lapan hari sebelum kejadian ini berlaku. Saya pasrah. Terima kasih KC dan Krew Admin MJ 12 mengetengahkan kisah saya ini. Assalamualaikum.
 
Yang ikhlas, Suhartatik...

TERIMA KASIH SUHARTATIK!!!

Tiga Kisah Dari Pendengar Di Negara Jerman

Salam KC,

Kak Nana menetap di Jerman bahagian utara barat bersama suami berbangsa Jerman. Kak Nana sudah lebih dari lima belas tahun meninggalkan Singapura tetapi akan pulang setiap tahun menjenguk ayah dan keluarga.

Cerita Kak Nana begini. Sejak berpindah di rumah baru sekitar dua tahun yang lepas, Kak Nana tak lepas dari gangguan2. Waktu sebelum masuk rumah ini, Kak Nana ada bersihkan rumah kami dengan mengazankan di semua penjuru rumah dan putarkan surah2 suci Al-Qur'an.

Rumah ini ada tiga bilik tidur di bahagian atas. Satu bilik Kak Nana khaskan bilik untuk bersolat, kedua khas bilik tetamu dan akhir bilik tidur kami. Rumah kami adalah rumah sebuah serta mempunyai taman yang sederhana besarnya dan jiran2 ada di bahagian sebelah dan di belakang walaupun mereka tidak sangat jauh tapi tidak juga dekat. Jika menjelang malam memang sangat2 gelap di taman Kak Nana. Kak Nana sudah tiga kali diuji dengan gangguan.

A) Kejadian pertama dalam tahun pertama di rumah ini, ketika Kak Nana baru lepas pulang dari hospital setelah menjalani pembedahan lutut, Kak Nana sedang separuh baring dan duduk sambil menonton YouTube dengan di iPad. Waktu itu posisi katil Kak Nana betul2 menghadap tingkap tengah. Bilik ini ada dua tingkap, satu di sebelah kiri dan lagi satu di depan katil. Bahagian kanan di hujung sudut penjuru bilik dan bahagian sudut lagi satu adalah pintu. Waktu itu di sudut kanan ada beberapa keping beg yang kakak saja letak di situ, belum terdaya nak kemas masa itu.

Waktu ni dah nak masuk tengah malam, suami pun dah lena dibuai mimpi, cuma kakak tak boleh tidur kerana lutut masih berbungkus dan bengkak. Dalam keghairahan menonton YouTube, kakak leka sekejap tetapi macam seolah olah 'ter-dengar' bunyi bunyian luaran bercampur ke dalam bunyian dari YouTube.

Lantas dengan cepat kakak tarik sebelah alat bantu pendengaran ("earphone") dan amati bunyi2 itu. Alangkah terkejutnya dan berderau darah kakak kerana bunyi2 itu datang dari keping-kepingan beg beli-belah yang terletak di sudut penjuru sebelah kanan itu, dan seakan bunyi kertas dironyok2. Mulut kakak sudah mula membaca Ayatul Kursi dan suami kakak pun terbangun, tetapi dia seperti di dalam amai2 (mamai), namun dia sempat dengar sebelum bunyi itu berhenti dengan mendadak sama waktu kakak sedang menekan suis lampu katil. Bila kakak periksa, beg itu semua tak ronyok, nampak normal. Suami sempat bertanya apa bunyi itu, walaupun kakak jelaskan yang bunyi itu datang dari beg bukan datang dari bunyian YouTube tetapi lumrahlah bangsa asing tidak percaya benda2 ghaib-misteri seperti ni.

B) Kejadian kedua terjadi tahun lepas, masa ini Kak Nana seperti biasa membaca dan menjawab emel dari iPad sebelum tidur. Bilik sudah pun gelap. Suami macam biasa tidur awal. Tingkap tengah memang ada "blinds" di bahagian dalamnya. Kali ini kakak mendengar dengan jelas sekali "blinds" dikutil2 dan dikuis2 buat beberapa minit! Suami bangun kerana bunyi itu. Dan bunyi itu langsung berhenti dengan mendadak apabila kakak dan suami pandang ke arah bunyian tersebut. Suami beri teorinya bahawa angin yang meniup. Kak Nana sempat membaca Tiga Qul dan Ayatul Kursi. Kak Nana kurang percaya dengan teori angin dari suami kerana masa itu musim sejuk dan kami tidak ada kipas di dalam bilik ini. Lagi satu, "blinds" yang diusik2 itu di bahagian dalam tingkap, mana ada angin?

C) Kejadian ketiga baru terjadi dua minggu lepas. Suami Kak Nana bertugas semalaman ke luar daerah. Sebelum itu sudah dua-tiga hari salji turun dengan lebat. Sehari sebelum suami berangkat, suami buat laluan di bahagian luar dapur dengan penyodok khas salji. Keesokan tengahari, kakak sedang mengemas dapur setelah pulang dari berbelanja. Mata kakak terpandang timbunan salji yang bersih. Di atas timbunan ini ada seperti rupa tapak kaki, hanya sebelah kanan saja. Dan tapak ni seperti orang berjalan kerana bahagian jari2 kakinya seperti menolak serpihan salji ke depan.

Kak Nana seperti tidak percaya apa yang kakak nampak! Astaghfirullah... Mengucap panjang dan cuba berfikiran secara rasional, mungkin ada orang masuk malam semalam, tetapi mana lagi sebelah kakinya? Mana pergi dan kenapa menghilang begitu saja? Kakak hubungi suami dan bertanya jika dia bergurau nak takut2kan kakak. Suami berkeras mengatakan tidak berbuat demikian untuk menakutkan kakak. Tak puas hati, Kak Nana turun dan pijak salji untuk kepastian jika manusia memijak sudah pasti tenggelam kerana salji lembut bukan keras seperti air batu. Dalam foto asli, memang kurang jelas rupa tapak kaki kerana salji putih. Wallahu’alam bissawab...





Wassalam dan mohon kepada semua pendengar supaya mendoakankan keselamatan Kak Nana ya?

TERIMA KASIH KAK NANA!!!

Monday, March 25, 2013

Kena Rasuk

Assalamualaikum KC,

Nama saya Firdaus dari Pulau Pinang. Saya ingin berkongsi peristiwa yang dilalui oleh mak saya. Begini ceritanya. Mak dan ayah pergi ke rumah nenek untuk melawat nenek. Apabila tiba di rumah nenek ayah memberi salam "Assalamualaikum..." tetapi tiada siapa yang menyahut. Apabila mak dan ayah naik ke atas rumah membuka pintu ternampak nenek duduk di ruang tamu. Ayah bertanya "Mak... Kenapa mak tak menyahut salam cek?" Nenek masih diam. Keadaan nenek masa itu amat menyeramkan. Nenek seperti melihat di atas siling sambil tersenyum. Ayah berkata kepada mak, "Ada yang tak kena ni". Begini dialog mereka.

Ayah : Min (panggilan ayah pada mak) pergi ambil lada hitam, batu lesung dan kain batik yang telah dipakai.

Dengan segera mak mengambil. Ayah membaca beberapa potong ayat suci Al-Qur'an dan mengambil lada hitam dan memegang ibu jari kaki nenek.

Nenek : Adoi sakit!!!
Ayah : Dari mana kau datang?
Nenek : Tu depan tu... (kawasan kubur)
Ayah : Kenapa kau datang?
Nenek : Saja suka...
Ayah : Balik sekarang tempat yang kau datang!
Nenek : Tidak! Aku seronok tinggal di sini!
Ayah : Min! Ambilkan batu lesung...
 
Waktu ayah pura-pura menghayun batu lesung itu.. 
Nenek : Aduh!! Sakit!!!
Ayah : Kau nak keluar atau tidak?
Nenek : Tidak!
 
Ayah mengambil kain batik dan bakar. Kain itu dipadamkan dan biar berasap diletak di hidung nenek biar lemas. Pada masa itu juga...
Nenek : Baiklah aku keluar!!! Tolong jangan siksa aku!

Pada masa itu wajah nenek berubah. Benda itu keluar dari mulut. Nenek membuka mulut seluas mungkin dan kepala nenek menjadi sebesar bola lisut. Selepas beberapa minit nenek sedar dan meminta air...

Sekian, Assalamualaikum.

Wa'alaikumussalam. TERIMA KASIH FIRDAUS!!!

Di Sebuah Taman Di Kawasan Tampines

Assalammualaikum KC, 

Apa khabar KC? Cerita saya ini pendek dah cukup membuat saya teringat sampai ke saat ini. Pada satu malam, sedang saya berjalan pulang dari tempat tugas dan harus merentasi sebuah taman di kawasan Tampines lebih kurang jam tiga pagi, saya melalui sebuah taman permainan berdekatan dengan rumah. Ketika itu cuaca panas, macam tidak ada angin. Saya berjalan menuju ke taman permainan tersebut. 

Di belakang sorot-sorot ada terletaknya buai-buaian. Waktu itu, buai-buaian itu bergerak dengan sendirinya. Saya kehairanan sebab tidak ada angin. Jadi saya pun pandang ke arah buai-buaian itu lalu ia terus berhenti. Aneh sekali. Saya meneruskan perjalanan saya pulang ke rumah. Tiba-tiba saya rasa di belakang saya bagaikan diselimut oleh benda yang amat sejuk, lalu saya pun berdoa dan meneruskan perjalanan. Sejurus kemudian benda sejuk itu pun hilang. 

Beberapa tapak kemudian, benda tersebut itu hinggap di belakang saya lagi. Tika itu, saya ibarat hendak pengsan. Sungguh aneh, lalu saya mula berdoa lagi sampailah benda itu pun hilang. Waktu saye sedang berdoa, kedengaran perempuan yang sedang menangis di belakang saya. Saya pun menoleh ke belakang tapi tak nampak sesiapa pun. Saya tidak berani meneruskan perjalanan dan mengambil jalan terdekat untuk meneruskan perjalanan dan menembusi pokok-pokok di sebelah kanan saya. Kedengaran pokok itu bergoyang ibaratkan sesuatu sedang melompat daripada satu pokok ke lagi satu pokok. Saya pun terus lari ke bawah blok saya yang berdekatan, tak berani balik rumah sebab isteri saya pun sedang mengandung. Sampai saat sekarang, saya pun tak pasti apa yang berlaku pada saat itu. Sampai di sini saja, terima kasih KC! Assalammualaikum...

Zul

Wa'alaikumussalam. TERIMA KASIH ZUL!!!

Kenapa Mesti Saya???

Salam dan selamat malam KC,

Nama saya Pika dan saya berasal dari Semenanjung Malaysia. Saya dibesarkan di kawasan yang dkelilingi kebun getah. Untuk pengetahuan semua, kawasan penempatan saya ini dibuka ketika tahun 80an. Kisah ini terjadi ketika umur saya 9 tahun lagi, ya masih mentah untuk semua orang percayakan saya tapi inilah pengalaman menakutkan seumur hidup saya. Percaya atau tidak, saya diganggu oleh makhluk misteri untuk beberapa tahun lamanya. Begini ceritanya. 

Saya tidak tahu apa salah saya tapi setiap malam saya 'dikejutkan' oleh sesuatu. Saya akan dibangunkan dari lena pada setiap malam. Kadangkala pukul 1 pagi, kadangkala pukul 2 pagi, kebanyakannya pada pukul 3 pagi. Dan saya akan diganggu sehinggalah azan Subuh. Saya hanyalah seorang kanak-kanak tapi terpaksa berjaga sehingga pagi. 'Benda' itu akan mengejutkan saya dengan pelbagai cara. Dia pernah mengetuk lantai papan betul2 di sebelah muka saya. Tahu sajalah rumah di Felda, hanyalah papan semata-mata dan mempunyai tiang rumah yang tinggi. 

Ketika kecil, saya hanya tidur di lantai beralaskan tikar sahaja. Rumah kami kecil jadi kami semua adik-beradik tidur di bilik yang sama. Selepas benda itu berjaya menyedarkan saya, saya akan mendengar pelbagai bunyi dari kawasan keliling rumah saya. Pernah saya mendengar bunyi seseorang bermain dengan basikal abang saya di bawah rumah. Terdengar jelas bunyi rantai basikal berputar. Benda tersebut pernah mengelilingi rumah saya sambil mengetuk dinding rumah saya dengan amat kuat. 'Ia' mengelilingi banyak kali. Saya cuba mengintai di lubang celah dinding tapi tiba2 dia mengetuk di lubang itu dengan kuat seakan memarahi saya. Saya terus berselubung tidur di bawah kaki abang2 saya. Pernah jua saya terdengar 'ia' bermain di laman rumah. Bunyi itu amat jelas dan nyata. Tapi saya hanya mendengar bunyi pergerakan sahaja tanpa apa2 suara. 

Pada awal diganggu saya teramatlah takut dibuatnya. Saya menangis2 dan kejutkan emak di bilik sebelah tapi emak akan memarahi saya. Dan yang menghairankan saya benda tersebut seakan boleh membaca hati saya. Saya pernah mengujinya satu malam, saya pura2 bangun untuk pergi ke bilik emak saya tapi dia tetap tak hentikan segala gangguannya walau saya berada di sebelah emak. Tapi saat saya kejutkan emak, dia akan menyepi seketika. Disebabkan saya diganggu setiap malam, saya seakan telah terbiasa dengannya. Akhirnya saya menjumpai jawapan, benda misteri itu akan melakukan perkara yang sama dengan perbuatan saya ketika siang hari. Jika petang itu saya bermain galah panjang di laman, malam itu akan terdengar 'ia' bermain. Bunyi gesekan kaki di tanah amat jelas. Jika waktu siang saya tidak bermain apa2, jangan sangka malamnya saya tidur lena. Saya masih diganggu lagi dangan pelbagai gangguan. 

Disebabkan saya selalu berjaga tengah malam, kelopak mata saya tersangatlah hitam. Saya membesar dengan penuh tekanan. Sehingga saya meletakkan buku surah Yassin di sekeliling bilik setiap malam. Kakak dan abang2 saya hanya ketawakan saya dan mengejek saya "penakut". Pernah satu hari saya teramatlah marah diganggu sedemikian. Saya membuka tingkap bilik dan berbisik, "Jika kau bukan manusia jangan ganggu aku lagi. Aku tak ada apa2 untuk kau. Tolonglah pergi jauh..." Saya berbisik sambil menangis2 tapi apakan daya syaithan memang suka mengganggu manusia. Selepas menutup tingkap, dia kembali bermain. Apa yang mampu saya lakukan, berserah sajalah kepada Tuhan. Saya redha menjadi pendengar setia menemani benda tersebut bermain setiap malam. Selepas azan subuh barulah saya akan tidur. 

Yang saya dapat agak benda tersebut datang mengikut bas kilang jiran depan rumah saya. Kerana bas kilang berhenti di depan rumah saya, saya akan terdengar bunyi tapak kaki melangkah dengan jelas menuju ke rumah saya dan 'ia' akan pergi mengikut van kilang yang berhenti di depan rumah pada waktu sebelum Subuh. Tapi saya tidak tahu siapa yang baru pergi kerja dan siapa yang pulang kerja atau sebaliknya kerana ketika itu jiran saya itu mempunyai tiga orang ahli keluarga yang bekerja di kilang. Yang pasti bukan kilang yang sama. Mungkin bagi anda kisah saya tidak seram mana tapi bayangkanlah ketika itu anda seusia dengan saya? 

Untuk pengetahuan semua, gangguan ini berhenti setelah saya berubat tradisional dengan pakcik saya. Tapi bukan berubat kerana gangguan ini, tapi kerana saya sering mengalami tonsil membengkak dan demam panas ketika saya berusia dua belas tahun. Jika tonsil bengkak saya tidak mampu bercakap, kalau cakap pun orang takkan faham kerana ia bengkak hingga anak tekak saya tidak boleh bergetar. Oleh itu saya menjadi bisu. Pakcik saya telah memberikan sebotol air untuk diminum dan disapu ke seluruh badan. Sehingga kini tonsil saya seakan mati. Ia menjadi besar dan mati. Yang penting gangguan itu telah berakhir. Mungkinkah pakcik saya mengetahuinya? Saya tiada jawapan pada setiap persoalan itu. Kini saya berumur dua puluh lima tahun dan mempunyai seorang anak. Saya berharap perkara ni tidak terjadi pada anak saya. Untuk pengetahuan semua, banyak lagi misteri dan gangguan dalam hidup saya. Insya Allah jika ada yang berminat akan saya ceritakan nanti. 

Moral: Harus percaya juga kata2 anak anda. Jika tidak percaya pun, lebih baik anda membuat langkah berjaga2 demi anak anda... Selamat malam semua... 

Pika

TERIMA KASIH PIKA!!!

Saturday, March 23, 2013

Ternampak Kelibat Apek

Assalammualaikum KC...
 
Saya Bob (nama samaran). Saya merupakan seorang pengawal di sebuah hotel yang sudah berdiri berdekad lamanya. Di hotel yang saya bekerja ini ada sebuah restoran Cina. Setiap malam apabila restoran ini tutup, ada seorang apek tua ditugaskan untuk mencuci dapurnya. Hanya dia seorang saja yang ditugaskan di sana.
 
Dipendekkan cerita, pada satu malam sewaktu saya pergi meronda, saya berdiri di pintu dapur itu dan memangil, "Apek...Apek..." seperti biasa. Tapi pada malam itu tiada jawapan. Saya masuk lebih dalam ke dapur itu dan panggil lagi. Tapi kali ini ada suara yang menjawab, "Urghhhh...." dengan panjang dan menggerunkan. 
 
Saya tak pasti. Saya panggil lagi. Kali ini lagi kuat suara itu. Saya terfikir. Suara ada, tapi tak ada seseorang pun yang kelihatan. Bulu roma saya pun dah remang. Saya pusing belakang dan terus keluar. Tapi hati saya tak sedap. Saya masuk balik dan saya ternampak apek itu sedang menyangkung di atas dapur sambil menggosok dinding. 
 
Saya pun tergesa-gesa turun ke besmen dan periksa dengan penyelia bahagian dapur itu. Lalu diberitahu bahawa apek itu sudah tidak bekerja lagi. Dengar kata dia sudah sakit tenat di hospital. Sampai sekarang masih teringat imbasan apek itu dan suara yang menjawab bermain-main di ingatan. Itu saja kisah yang ingin saya kongsi bersama...

Sekian...
 
TERIMA KASIH BOB!!!

Siapa Yang Ketuk?

Salam KC,

Cerita ini berlaku minggu lepas, sewaktu saya di pejabat. Saya bekerja di salah sebuah bangunan di kawasan Macpherson. Salah seorang teman kerja saya Mat (bukan nama sebernar), dia ada tabiat untuk terperanjatkan kami di pejabat. Dia akan ketuk pintu belakang dengan sekuatnya, hingga kami semua terperanjat.
Kejadian ini berlaku sewaktu saya kerja lembur seorang diri dalam pejabat, terjadi sekitar 8 malam. Saya sedang memberi tumpuan kepada dokumen apabila, dengan tiba-tiba pintu belakang diketuk dengan sekuatnya. Terpekik saya, tapi pintu tak dibuka, selalunya selepas si Mat ketuk, dia akan masuk, tapi kali ini tidak pula.

Dengan perasaan marah sebab terperanjat, saya keluar untuk mencarinya. Memang geram sangat dan hendak memarahinya, tapi tidak ada orang di luar. Baru saya teringat yang si Mat ni sedang cuti selama empat hari. Jadi siapa pula yang dah mula ikut perangai monyet dia?

Di dalam pejabat saya ada kamera litar. Bila saya tengok semua sudut, tak melihat siapa2 di dalam pejabat sebelah mahupun gedung!!! Jadi, kalau bukan si Mat, siapa yg ketuk? Saya kemaskan beg terus keluar! Tk sanggup saya nak kerja lembur seorang diri lagi!

Terima Kasih KC!

Ur #100,000,000,1 Fan
-FBFreaks
TERIMA KASIH FBFreaks!!!

Jeritan Di Hostel

Assalamualaikum KC, 

Harap KC dan pendengar MJ12 sihat sejahtera. Saya nak berkongsi kisah seram yang dialami sendiri oleh saya sewaktu menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di selatan Malaysia. Ketika kejadian ini berlaku, kelilingnya merupakan ladang kelapa sawit dan kawasan penempatan baru sedang naik di hadapan institut tersebut dan kisah kepala terbang, gangguan histeria sedang hangat diperkatakan.

Malam kejadian itu, jam melewati tengah malam dan saya bersama sekitar lima atau enam orang teman sedang berkumpul di kaki lima hostel di depan bilik salah seorang dari kami dan bersembang tentang kisah kepala terbang yang saya nyatakan tadi. Diceritakan, kepala tersebut lebih dari satu dan bercahaya menghantui taman perumahan baru berhampiran institut kami. Hostel kami sangat besar, setinggi empat tingkat tetapi cuma dua tingkat bawah yang berpenghuni. Bermakna dua tingkat yang atas memang gelap dan sering menimbulkan perasaan seram tatkala mendongak ke atas.

Saat rancak berbual, tiba2 entah mengapa saya terdorong untuk mengerling tingkat atas yang tak berpenghuni, alangkah terperanjatnya saya bila saya seolah olah terlihat satu susuk putih sedang mengintai kami dari balik tiang. Saya cuba kawal diri, tidak menegur dan tidak beritahu kepada teman. Kami masih berbual dan beberapa kali saya terlihat kilasan kain putih dengan sangat laju melintas beberapa kali di ruang udara dan serentak itu, satu bau wangi tehidu oleh saya dan saya perhatikan kawan2 mula teragak2 dan memandang saya dengan muka cemas.

Ketika saya baru nak membuka mulut mengajak teman masuk bilik untuk tidur kami terperanjat kerana terdengar satu suara tempikan yang sangat kuat. Kami kelam-kabut berasak masuk ke dalam bilik teman kami dan saya tutup lampu bilik dengan pantas dan terus mengintai dari celah langsir mencari dari mana arah datangnya bunyi itu. Menghairankan kerana penghuni hostel sebelah juga sedang mengintai seperti kami. Minggu itu merupakan minggu peperiksaan jadi memang ramai dari kami yang belum tidur untuk mengulangkaji pelajaran. Suara tempikan yang kami dengar seolah2 tinggi di udara dan berlangsung selama lebih kurang 15 minit. Apa yang saya boleh gambarkan suara itu mulanya mengilai ketawa kemudian menjerit persis kemarahan dan sesekali kesengaran sayu hiba meleret-leret.

Tuhan sajalah yang tahu betapa takutnya kami saat itu. Lama kami tak bergerak sehinggalah bunyi itu senyap dan antara seram dan terpinga-pinga kami pulang ke bilik masing2. Malang bagi saya kerana terpaksa tidur sendirian malam itu.kebetulan teman sebilik saya mengulang kaji di bilik temannya di aras bawah. Saya sendiri tak nampak "benda" yang mengilai itu tapi ada penghuni hostel pada malam kejadian yang nampak "benda" itu dan beritahu "benda" itu seakan objek bulat bercahaya yang terapung tinggi di udara!

Kejadian itu tidak berakhir di situ, sepanjang minggu itu sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali kejadian yang sama berulang dan saya sendiri pernah mendengarnya beberapa hari selepas itu sewaktu sendirian di bilik hostel tepat pukul 3 pagi.

Sekian...

Hidayah, Kuala Lumpur

TERIMA KASIH HIDAYAH!!!

Wednesday, March 20, 2013

Kisah Misteri Sewaktu Mahu Mengkebumikan Mayat

Selamat tengah malam kepada DJ yang bertugas,

Terlebih dahulu, janganlah didedahkan nama asal saya. Izinkan saya menggunakan nama samaran, panggil saja saya Jelutupi @ Jelu. Berasal dari Sarawak, dan mempunyai kisah pendek yang seram.

Saya berketurunan Iban, bekerja di daerah Kuching, Sarawak. Saya mempunyai kampung halaman, di daerah Sri Aman, merupakan rumah panjang. Pada masa kejadian ini berlaku, saya baru berusia dalam 15 tahun. Masa itu, perkampungan kami masih lagi menggunakan api pelita (tiada elektrik).

Pada satu malam, terjadi satu kejadian yang menyedihkan di mana seorang wanita mati ketika hendak melahirkan anak. Anaknya juga meninggal kerana tidak sempat dilahirkan. Dikatakan juga bahawa wanita ini bukannya kosong (ada mengamal ilmu hitam). Pada waktu itu, suaminya yang masih dalam keadaan bersedih mengatakan bahawa mayat isterinya harus dikebumikan secepat yang mungkin. Apa sebabnya, saya pun tidak berapa tahu.

Malam itu juga, oleh kerana tidak sempat menyediakan keranda, kami terpaksa membawa mayat wanita tersebut ke kawasan perkuburan yang terletak agak jauh dari kampung kami, dengan hanya menyimpannya ke dalam keranda buatan yang diperbuat daripada papan. Badannya dibungkus dengan tikar ‘bemban’ (sejenis tikar anyaman), dan kemudiannya diusung beramai-ramai. Saya hanya membawa beg pakaiannya sahaja, dan yang lain membawa barang-barang harian si mati seperti tilam, bantal, dan sebagainya.

Hujan mulai turun, tidaklah selebat mana, namun suasana begitu gelap, apatah lagi kawasan yang kami lalui adalah kawasan hutan, dan kawasan yang sememangnya tiada lampu jalan untuk menerangi seluruh tempat. Gelapnya semacam, mungkin kerana hari hujan tersebut. Sedang kami berjalan mengusung mayat si mati, tiba-tiba terdengar suara menjerit ketakutan,

“Hoi, hoi.. berhenti hoiii!!!”

Rupa-rupanya, mereka yang mengusung mayat si mati tiba-tiba dapat merasakan mayat di dalam keranda tersebut seolah-olah bergerak. Si suaminya, yang turut mengusung mayatnya mula memanggil-manggil sambil menepuk keranda kayu tersebut,

“Umang, kamukah itu? Kamu masih hidupkah Umang? Sila jawab, Umang!!!” kata beliau sambil menepuk-nepuk keranda tersebut. (Umang bukan nama sebenar)

Orang lain kemudian mula mengerumuni keranda itu dan cuba untuk membukanya, mana tahu si mati belum lagi mati. Ataupun mungkin dia hidup semula. Namun bila dibuka pintu keranda kayunya, alangkah terperanjatnya semua apabila disuluh menggunakan lampu suluh, muka si Umang tetap pucat seperti mayat. Tiada tanda-tanda pernafasan, nadi atau apa jua tanda yang menunjukkan Umang hidup kembali. Orang ramai mula panik, berasa pelik. Ada yang berundur ke belakang.
 
Pintu keranda kayu itu diketuk semula menggunakan batu, dan mula diusung kembali. Kali ini, pelbagai andaian bermain di benak masing-masing. Tiba-tiba, lebih kurang 10 meter sudah melangkah, kedengaran lagi orang yang mengusungnya menjerit meminta untuk berhenti. Terasa seperti mayat bergerak-gerak dan mengetuk dari dalam. Orang ramai sudah mula berasa takut. Jam sudah menunjukkan hampir tengah malam. Memang adat orang Iban, orang mati harus dikebumikan waktu siang. Entah kenapa si mati ini harus dikebumikan pada waktu malam.

Hujan sudah mula reda. Namun cuaca berasa amat sejuk. Dalam kekalutan tersebut, seorang daripada penduduk kampung, yang terkenal dengan kehandalannya dalam menangani kes-kes ilmu hitam, makhluk halus, mula berjalan ke hadapan dan berkata,

“Engkau semua jangan takut. Tunggu sebentar, nanti aku tengok apa yang aku boleh buat...”

Kemudian dia berjalan ke hadapan, dan duduk di atas satu tempat sambil menghidupkan rokoknya. Setelah hampir setengah batang rokok dihisap, dia pun berkata, “Baiklah, sekarang korang semua boleh angkat mayat tersebut dan terus hantar ke kawasan perkuburan.”

Mula-mula, memang ada yang teragak-agak. Namun oleh kerana tidak mahu menunggu lama, kami pun terpaksa juga mengangkat mayat si mati dan langsung ke tempat yang dituju. Sampai sahaja di sana, kuburnya mula digali, dan dengan usaha orang ramai, kuburnya siap tak sampai pun sejam. Wanita tersebut terus ditanam, dan disemadikan di sana.

Selepas kejadian itu, kami semua balik. Kami masing-masing tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa kedengaran bunyi keranda seperti diketuk dari dalam? Mengapa kedengaran seperti ada pergerakan? Dan apa yang dibuat oleh orang tua menghisap rokok, dan terus kejadian tersebut tidak berulang, kami semua tidak tahu. Apa yang pasti, bagi saya, wanita yang mati ketika beranak, kata orang… akan berubah menjadi Pontianak. Atau nama penuhnya“Perempuan mati beranak”.

Sekian, terima kasih...
 
TERIMA KASIH JELU!!!

Jiran Yang Bela Saka

Assalamualaikum KC dan para pendengar Misteri Jam 12, 
 
Saya bernama Raiz, berasal di Pasir Mas, Kelantan. Saya hanya dengar MJ12 dalam Youtube dah setahun saya minat mendengar MJ12 dan ingin kongsi pengalaman saya kisah 13 tahun yang lalu. Jiran sebelah rumah saya ni dulu, tinggal sepasang suami isteri dan dua orang cucu angkatnya. Namanya Mak Ti dan suami Pak Yusop. Mak Ti ini ada membela hantu raya. Suaminya sendiri yang beritahu datuk dan nenek saya yang isterinya ni ada saka hantu raya. Sampai suaminya tinggalkannya dan berkahwin dengan perempuan lain sebab tak tahan dengan saka Mak Ti ni. Mak Ti ni juga ada bela seekor anjing. Walaupun dia islam, tak pasti kenapa dia bela anjing. Dulu-dulu waktu saya kecil, mak saya tak bagi saya masuk dalam kawasan rumahnya, yelah rumah kampungkan tiada pagar.

Jadi setiap petang, Mak Ti ni akan duduk bersila depan pintu rumah sambil berkemban. Tak tahu apa motifnya. Masa dia sedang duduk, mesti akan terdengar dirinya berdengus banyak kali. Bunyinya agak menakutkan juga. Semua orang dalam rumah saya memang banyak kali jumpa hantu raya Mak Ti ni, termasuk mak saya. Mak saya ceritakan, pada satu malam dia di dapur, tiba-tiba mak saya ternampak ada orang tua memakai baju hitam, sedang terbongkok-bongkok macam sedang mencari sesuatu atas tanah, padahal, di belakang rumah saya memang orang tak boleh lalu, sebab kami dah tutup tembok kiri dan kanan. Kalau nak pergi belakang kena ikut pintu dalam rumah. Sewaktu orang yang memakai jubah hitam ni sedang berjalan terbongkok-bongkok, mak saya terdengar dia sedang mendengus-dengus. Pakcik saya pun pernah ternampak juga, masa itu dia balik malam, masa nak masuk rumah, ternampak di depan rumah kami ada lembaga hitam sedang duduk mencangkung, tak nampak kepala, macam dia menutup semua kepala dengan kain warna hitam. Saya pun tak pasti apa makhluk itu. Pakcik saya ni berani sikit, dia buat tak endah terus masuk ke dalam rumah.

Dan yang saya tak boleh lupakan, saya sendiri yang mengalaminya. Masa itu saya menangis sebab kena marah dengan emak. Umur saya ketika itu sekitar 12 tahun. Pada pukul 12 malam, saya duduk di ruang tamu seorang diri sambil menangis, boleh tahan kuat juga saya menangis, saya menangis betul-betul di sebelah tingkap (kalau buka, dah nampak rumah Mak Ti) semua anggota keluarga saya dah masuk tidur, tak perasan yang saya menangis. Masa saya menangis tiba-tiba, saya terdengar suara dari luar rumah, dari arah rumah Mak Ti (rumah Mak Ti ni di sebelah kanan rumah saya). Saya dengar ada suara sedang ikut saya menangis, tapi suaranya macam mendayu-dayu dan pelik sedikit. Saya tiba-tiba terdiam. Saya dengar betul-betul, memang bukan suara manusia menangis. Tiba-tiba mak saya keluar dari bilik, sebab dia terdengar benda yang sama. Dia cepat-cepat menyuruh saya masuk bilik dan tidur dengannya. Ada lagi sebenarnya yang berlaku pada keluarga saya selepas itu. Sampai Mak Ti meninggal pun ada lagi gangguan. Sampai di sini sahaja saya berkongsi pengalaman. 
 
Sekian terima kasih...
 
TERIMA KASIH RAIZ!!!

Bau Kemenyan Di Bulan Ramadhan

Assalammualaikum DJ MJ12 dan para pendengar MJ12,

Nama saya Naqib tinggal di Johor. Saya peminat setia Misteri Jam 12. Oleh itu saya ingin berkongsikan kisah seram yang dialami oleh saya sendiri. Kisah saya ringkas sahaja dan saya harap kisah saya ini dapat diketengahkan di laman blog Misteri Jam 12.

Kisah ini sekitar tahun 2006. Pada tahun itu saya dan keluarga saya duduk di Tapah Road, Perak dan masa itu saya berusia 12 tahun. Kisah seram ini berlaku pada bulan Ramadhan. Pada waktu malam di bulan Ramadhan, saya dan rakan-rakan yang lain akan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih. Saya mengaku yang saya dan rakan-rakan memang nakal. Semasa orang lain sedang khusyuk bersolat, kami akan keluar dari masjid dan akan berlumba basikal. Kami sering berlumba di kawasan kampung berdekatan iaitu Kampung Mak Teh. 
Pada satu malam, kami bercadang untuk mengganggu rakan sekelas kami yang duduk seorang diri di rumah kerana ibu dan ayahnya bekerja pada waktu malam, rumahnya berada di Kampung Mak Teh tersebut. Di depan rumahnya ada sebatang pokok yang besar. Semasa kami lalu melintasi pokok itu, tiba-tiba kami terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Rakan saya bernama Afif yang berada di depan sekali tiba-tiba memberhentikan basikalnya lalu turun dari basikal dan menuju ke arah kami. Dia membisikkan pada kami semua supaya jangan tegur bau itu. Kami semua mengangguk tanda faham. Kami segera pulang ke masjid untuk menyertai jamuan menjamu kuih-muih sesudah solat Tarawih. 
Semasa menjamu kuih-muih, kami semua sempat berbual antara satu sama lain mengenai bau yang kami terbau sebentar tadi. Kemudian rakan saya Afif memberitahu kami yang bau tersebut adalah bau kemenyan, bau yang digunakan untuk orang yang dah meninggal dunia. Kami semua terkejut, dan kami mula rasa pelik dan hairan kerana pada pendapat kami pada bulan Ramadhan syaithan-syaithan akan dirantai dan tidak akan ada gangguan, tapi bau yang kami bau sebentar tadi adalah bau kemenyan seperti apa yang dikatakan oleh Afif. Sehingga kini saya tertanya-tanya dari mana bau kemenyan itu datang.

Sekian terima kasih... Assalammualaikum dan selamat tengah malam...
Wa'alaikumussalam... TERIMA KASIH NAQIB!!!

Monday, March 18, 2013

Mendapat Petanda Pemergian Arwah Pakcik

Hai KC, Selamat tengah malam.
 
Saya Nurul dari JB. Kisah ini berlaku 16 tahun yang lepas. Ketika itu saya masih bersekolah rendah. Pada malam itu hujan turun agak lebat. Sekitar pukul 8.30 malam, tiga orang anggota polis datang ke rumah dan memberitahu bahawa pakcik saya iaitu adik kepada bapa saya mengalami kemalangan jalan raya. Bapa saya mengikut anggota polis tersebut ke hospital dan meninggalkan emak bersama kami tiga beradik. Oleh kerana hujan lebat dan bapa pun tiada di rumah, kami masuk tidur lebih awal manakala emak masih berjaga menunggu bapa pulang dari hospital. 
 
Sebenarnya pakcik saya ni rapat sangat dengan emak saya selaku kakak iparnya. Walaupun seorang yang baran, degil, nakal dan gila-gila, apabila dengan mak saya, pakcik menjadi adik yang paling baik sehingga emak saya sayang dia seperti adik kandung sendiri. Adik beradik bapa saya sudah kehilangan ibu (nenek saya) jadi, selaku anak bongsu, pakcik saya menumpang kasih dengan emak. Pakcik saya dah banyak kali kemalangan dengan motor besarnya. Seminggu sebelum kejadian, pakcik saya baru sahaja mengalami kemalangan di Jalan Skudai menyebabkan tangannya patah. Emak dan bapa seperti sudah biasa dengan keadaan itu.
 
Tapi malam itu, keadaan tidak seperti biasa. Sekitar jam 11.30 bapa masih lagi tak pulang dari hospital. Masa itu penggunaan telefon bimbit belum lagi meluas. Ketika ibu saya sedang duduk di birai katil menunggu bapa, dia terdengar pintu rumah diketuk sebanyak tiga kali. Emak saya bergegas berjalan ke ruang tamu. Emak saya tak terus buka. Dia menunggu lagi ketukan seterusnya tapi senyap. Emak saya menyapa, "Siapa?" Senyap. Sekali lagi emak bertanya tetapi tiada sahutan. Emak tak jadi hendak buka pintu sebab kalau bapa yang pulang mesti dia beri salam dan panggil nama emak. Emak masuk semula dalam bilik. Dia tidak akan buka pintu sembarangan lebih-lebih lagi hampir ke pukul 12 tengah malam.
 
Tiba-tiba emak terdengar sesorang memanggil namanya dari halaman rumah. Nada panggilan itu seperti biasa orang memanggil kita dari luar rumah. Emak hendak menyahut dan membuka pintu sebelum dia perasan yang suara itu seperti suara jiran di hadapan rumah kami yang sangat rapat dengan mak tetapi jiran itu dah meninggal beberapa tahun lepas. Emak terkedu, memasang telinga, dadanya berdebar-debar. Suara panggilan itu seperti mengelilingi kawasan rumah seolah-olah orang yang memanggil bertawaf satu halaman sambil memanggil nama mak. Emak mula takut dan tiba-tiba suara itu bertukar menjadi suara kicauan burung dan hilang ke atas bumbung rumah.
 
Dalam keadaan ketakutan, emak terasa seseorang tiba-tiba duduk di sebelahnya di birai katil. Dada emak berdebar dan perlahan-lahan dia menoleh, di sisi emak, arwah nenek (ibu kepada bapa saya) sedang duduk di sebelahnya sambil tersenyum. Wajah nenek bersih dan memakai telekung putih yang bersinar. Tangan nenek memegang tangan emak dan emak merasakan tangan nenek sangat sejuk. Tiba-tiba emak terdengar nenek berkata sesuatu tapi mulut nenek tidak bergerak dan hanya tersenyum. "Jangan takut. Dia cuma nak bagi tahu. Miah, Mamat dah tiada.." Emak pasti itu yang nenek katakan tapi mulut nenek tak bergerak. Tiba-tiba, terdengar suara bapa memanggil emak sambil mengetuk pintu serentak itu juga, nenek hilang dari pandangan emak. 
 
Memang betul, sebaik sahaja bapa masuk ke rumah dia memberitahu emak yang pakcik saya Mamat, disahkan meninggal dunia sekitar jam 11 malam akibat kecederaan teruk di bahagian perut. Semasa dalam keadaan nazak, arwah berbisik kepada bapa saya supaya menyampaikan salamnya kepada emak.
 
Arwah pak cik saya suka sangat dengan sambal tumis yang emak saya masak kerana emak suka meletakkan bawang besar yang dipotong-potong ke dalam sambal. Genap empat puluh hari arwah meninggal, emak saya berada di dapur sedang menumis sambal untuk sarapan nasi lemak keesokan paginya. Bapa saya berada di ruang tamu menonton televisyen rancangan larut malam. Dulu rumah saya rumah papan dan dapur di bahagian belakang. Tempat memasak adalah betul-betul di tingkap yang menghadap kawasan belakang rumah dan tingkap tersebut dan papan dinding dapur pula jarang-jarang. 
 
Ketika emak sedang menuang sambal yang telah dimasak ke dalam mangkuk, tiba-tiba emak teringat kepada arwah pakcik saya. "Eh, ini kalau arwah ada, dia memang suka sambal ni..." Emak saya bercakap sendiri. Tiba-tiba emak terbau sesuatu seakan-akan kapur barus dan bau lumpur yang kuat. Serentak itu emak ternampak ada mata yang sedang mengintainya dari celah-celah tingkap yang renggang. Emak saya terkejut, kuali hampir terlepas. Dengan segera emak berpusing untuk meninggalkan dapur dan ketika melepasi papan dinding dapur yang renggang, emak ternampak kelibat orang berjalan di bahagian luar dapur. Emak beristighfar dan terus berlari ke arah bapa di ruang tamu. 
 
Begitulah kisah benar yang dialami oleh emak saya enam belas tahun yang lepas. Siapa yang mengintai emak dari celah ringkap? Wallahu'alam. Al-Fateha untuk arwah pakcik saya Rahmad Bin Yahaya yang kembali ke rahmatullah pada usia 26 tahun. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.
 
TERIMA KASIH NURUL!!!

Memancing Di Tuas

Assalamu'alaikum KC, 

Nama saya Fizzy (nama samaran). Saya ingin menceritakan peristiwa yang dialami oleh saya dan ayah saya pada sepuluh tahun lalu semasa saya dan ayah saya pergi memancing di kawasan barat Singapura (Tuas).

Saya dan ayah berkongsi hobi memancing dan sudah menjadi satu tabiat atau kebiasaan kami memancing pada hujung minggu dan kami telah pergi ke merata tempat untuk mencari "fishing spot" yang bagus. Kegiatan memancing ni kenalah banyak bersabar. Kadangkala kami dapat ikan dan kadangkala tak dapat.

Dipendekkan cerita, kami ke daerah Tuas atas saranan kawan kenalan memancing. Kami ke sana pada jam 12 tengah hari begitulah. Setelah sampai ke tempat yang dituju, kata kawan kenalan kami, kenalah masuk semak-samun, dan anda akan nampak bangunan penjana elektrik dan di tebing situlah anda memancing. Tambahnya lagi di situ banyak ikan kerapu. Dengan tidak berlengah lagi, saya pun pacaklah joran saya serta perkakas yang ada tetapi saya dapat memerhatikan ayah seperti ada yang tidak kena. Saya terdengar ayah membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an. Setelah habis membaca seperti biasa ayah pun pacak jorannya.

Hari sudah semakin gelap dan joran kami berdua masih belum terkena apa-apa ikan pun. Puas kami bertukar umpannya dan menunggu hinggalah ke larut malam. Ayah berkata kepada saya, “Jam telah pun masuk pukul 12 tengah malam. Kamu masih nak teruskan lagi?” Saya berkata kepada ayah, “Sekejap lagilah ayah. Kalau lagi setengah jam masih tak ada, kita baliklah...” Ayah pun turutkan kata-kata saya. Tiba-tiba, joran saya terkena ikan, memandangkan saya memasang tiga mata kail di joran saya, saya fikirkan salah satu mesti terkena tapi ketiga-tiga mata kail saya terkena ikan kerapu. “Rezeki Tuhan...” Itu yang terdetik di dalam fikiran saya. Ayah pun capai jorannya dan memasang tiga mata kail dan kesemuanya terkena. Kami pun teruskan memasang umpan baru dan terus memancing. Bayangkan, sepuluh ekor ikan kerapu dalam masa dua puluh minit. Saya pun tidak percaya.

Ayah mula berasa gelisah. Dengan segera ayah berkata, “Kita berhenti memancing sekarang.” Saya bertanya, “Kenapa pula ayah?” Memandangkan ayah begitu gelisah sekali sehinggakan ayah memotong tali tangsinya dari jorannya dan menyuruh saya ikut sama. Belum saya pernah melihat ayah sedemikian. Tambah ayah lagi, “Ambil tiga ekor ikan dan belah perutnya dan letakkan di mana tadi kita memancing.” Dengan segera saya turutkan kata ayah.

Kami pun terus beredar dari tempat itu dan sambil berjalan, ayah membaca lagi ayat-ayat suci Al-Qur'an dan menyuruh saya agar jangan memandang ke belakang. Entah dari mana, angin kencang bertiupan dan topi yang saya pakai tiba-tiba melayang ke belakang. Saya pun dengan tidak berfikirkan apa-apa tangkap topi saya yang melayang tadi lalu saya terpandang ke arah di mana kami memancing dan alangkah terperanjatnya, saya ternampak satu lembaga hitam yang besar sedang memakan ikan-ikan yang tadi saya belah perutnya. Saya mula rebah dan jatuh terduduk. Mujurlah ada ayah, mengangkat saya dibahunya dan bergegas kami ke kereta. Kami pun sampai ke kedai kopi berdekatan, lalu ayah meminta air suam dan membaca ayat suci dan menyapu ke muka saya. Kami di kedai kopi agak lama di situ. Hinggalah masuk waktu Subuh, kami terus pulang ke rumah.

Keesokan harinya, rakan kenalan memancing kami menelefon ayah menanyakan berapa hasil ikan yang kami dapat. Katanya lagi, dia terlupa nak cakap, tempat itu merbahaya kalau memancing di waktu tengah malam. Ayah cuma berdiam diri dan menjawab kami tidak dapat hasil apa-apa.

Ayah saya asalnya orang Pulau Brani, dan sudah jadi satu kebiasaan benda-benda ini berlaku semasa ayah kecil, memancing dahulu di Pulau Brani. Ini salah satu petua orang-orang di sana. Kalau anda memancing seharian tidak mendapat apa-apa ikan pun, lantas secara tiba-tiba mendapat ikan yang banyak dalam masa begitu singkat sekali, bayangkan, sepuluh ekor ikan dalam masa 15-20 minit, anda telah memancing di tempat MEREKA. Dengan itu, ayah melalukan apa yang harus dilakukannya, dengan pertama sebelum memancing, ayah mulakan dengan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan lantas meminta izin agar kami boleh memancing di tempat sedemikian. Dan sejurus ayah dapat merasakan yang pelik, seperti secara tiba-tiba ikan banyak yang terkena umpan dan joran, itu menandakan yang MEREKA ada di situ dan mahukan sesuatu dari kami. Apa yang benda ini mahukan, kami pun tak tahu. Dan sebagai persembahan atau tanda berterima kasih, kami belah tiga ekor ikan dan letakkan di mana kami memancing.

Kegiatan memancing saya dan ayah berterusan hingga saya mendirikan rumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata sampailah sekarang. Walau bagaimana sibuk pun kami dengan kerja atau tanggungjawab kami, saya dan ayah akan sentiasa mengambil masa peluang untuk memancing bersama. Terima kasih dan selamat malam...

Terima Kasih FIZZ!!!

Diganggu Sewaktu Menonton Filem Seram

Assalamualaikum para pendengar MJ12,

Saya orang Indonesia, dan saya tergolong orang yang penakut. Walaupun penakut, saya ni memang sangat suka mendengar dan menonton cerita / filem yang seram, lagi seram lagi lah suka. Semenjak saya tahu menggunakan internet, saya gemar memuat-turun filem2 seram, yang baru mahupun yang dah lama. Tapi, saya lebih suka membeli dalam format dvd, dan kebanyakannya saya membeli secara online. Saya tak kira dari Thailand, Hong Kong, Jepun, Amerika, Indonesia, semuanya saya beli, asalkan ada sarikata terjemahan.

Kejadian ini saya alami di rumah saya sendiri, setahun yang lalu. Saya dulu bekerja di Malaysia bersama suami selama enam tahun. Setelah lebih kurang dua tahun, kami dapat menabung dan membuat rumah untuk kami di kampung saya. Setelah setahun, rumah kami pun siap. Walaupun rumah kami dah siap, tapi kami suami isteri masih lagi bekerja di Malaysia, kerana kami masih mahu menabung untuk kehidupan kami nanti. Jadi, terpaksalah rumah kami dikosongkan, hanya seminggu sekali ibu & adik menolong kami untuk membersihkan. Saya tahu jika rumah yang dikosongkan lama, kemungkinan akan ada sesuatu. Tapi kami terpaksa demi mahu menabung untuk masa depan.

Setelah lebih tiga tahun, kami suami isteri pun pulang ke kampung. Kami tak lupa mengadakan kenduri & majlis tahlil untuk rumah baru kami. Setelah itu kami pun terus mendiaminya. Entah perasaan belum terbiasa lagi dengan rumah sendiri, saya rasa semacam, tak kira pada waktu siang ataupun malam hari, tetapi saya tak mahu fikir yang negatif.

Setelah sebulan, keluarga suami datang ke rumah kami, mereka semua datang pada waktu pagi, jadi terpaksalah saya melayan mereka seharian. Pada mulanya, saya teringin sangat menonton dvd yang baru dibeli, tapi saya tundakan rancangan itu. Dalam hati berkata, "Biarlah malam saja baru tonton..." Setelah lebih kurang jam 10 malam, mereka semuanya masuk tidur. Rumah pun dah sunyi, saya pun mula nak tonton dvd saya. Ini merupakan filem seram yang dah lama saya cari, jadi terasa begitu seronok hendak menonton. Saya biasa menonton menggunakan komputer riba, tapi malam itu bateri komputer riba luput. Jadi terpaksalah, saya pun terus saja menonton menggunakan pemain dvd yang terletak di tempat yang sama dengan televisyen di ruang tamu.

Kerana saya ni jenis penakut, saya pun hidupkan semua lampu yang ada dalam rumah. Dalam hati bercakap,"Kalau lampu semua dah hidup, tak rasa takut lagi..." Memang ini filem Indonesia terseram, saya pun terus menonton dengan tenangnya. Awalnya memang saya tenang, tapi dua puluh minit sebelum filem selesai, tiba-tiba saya rasa sejuk, dan bulu roma semua naik. Jam dah menunjukkan 11:50 malam, dan seingat saya, kipas angin kuat sangat, sebab itu terasa sejuk.

Saya terus matikan kipas. Sehabis saja kipas dimatikan, saya pusing kembali ke arah televisyen, tetapi dengan tiba-tiba saya ternampak sesuatu di sudut ruang tamu, tapi saya tak pasti, kerana saya tadi berpusing dengan cepat. Berderau darah saya dibuatnya!!! Untuk menyakinkan apa yang saya lihat tadi, saya beranikan diri untuk melihat kembali benda tersebut. ASTAGHFIRULLAH!!! Saya melihat susuk tubuh seperti perempuan berambut panjang, berdiri tegak. Saya tak tahu apa nak cakap dan cepat-cepat lari ke bilik. Saya menangis kerana takut dan cepat-cepat mengejutkan suami. Suami terkejut melihat saya cemas dan menangis.

"Kenapa ni???" Tanya dia. Saya pun jawab, "Aku nampak hantu di ruang tamu, cepatlah awak pergi tengok..." Sewaktu suami pergi melihat, benda itu dah lenyap. Hanya Allah saja yang tahu apa yang saya ternampak pada malam itu.

Terima kasih. Wassalam...

Efa

TERIMA KASIH EFA!!!

Wednesday, March 13, 2013

Makhluk Bertenggek Atas Kenderaan Di Kranji

Assalammualaikum Wr. Wb. DJ KC dan juga para pendengar MISTERI JAM 12,

Nama saya Muhammed Hairulnizar Bin Hj. Hamim. Disingkatkan anda boleh panggil saya Hairul. Saya adalah pendengar baru MJ12. Saya tahu akan kewujudan rancangan ini tetapi terus terang saya tak pernah dan tak berani mendengarnya kerana saya mempunyai sifat yang suka teringat-ingat dan terbawa-bawa akan sesuatu cerita hantu ataupun sesuatu benda misteri yang telah berlaku. Akan tetapi setelah ditugaskan oleh pegawai atasan untuk saya bekerja secara tetap pada syif sebelah malam, saya mula beranikan diri untuk mengikuti rancangan ini setelah desakan demi desakan oleh dua lagi rakan setugas. Alhamdulillah, hari demi hari saya amat tertarik kepada rancangan ini dan sekarang telah masuk bulan ketiga saya mengikuti rancangan ini.

Cerita yang ingin saya kongsi bersama para pendengar MJ12 berlaku kira-kira dua tahun yang lalu. Begini ceritanya. Saya bertugas di salah sebuah syarikat keselamatan yang terkemuka di negara ini. Tugasan harian saya menghantar dan juga mengambil wang ataupun barangan berharga dari klien-klien syarikat saya untuk dihantar ke bank ataupun destinasi yang telah ditetapkan. Kami bertugas secara bertiga dalam satu kumpulan. Pemandu, pegawai transaksi dan juga pengawal. Seharian kami bertiga akan berada di luar untuk melaksanakan tugas yang selalunya akan menjangkau sampai ke tiga puluh tempat. 

Dipendekkan cerita, pada hari tersebut setelah melakukan tugas hampir kesemuanya saya dan teman sekumpulan tiba di lokasi terakhir kami iaitu di KRANJI. Tempat yang kami berada itu terletak di tepi jalan raya berdekatan dengan gelanggang lumba kuda dan juga bersebelahan dengan kawasan perkuburan mangsa perang di Kranji. Ramai di antara kami tahu akan suasana di tempat itu dengan pokok-pokok yang besar dan suasana yang amat sunyi dan menyeramkan pabila senja menjelang, apatah lagi dengan cerita-cerita seram yang telah dialami dan dikongsi bersama oleh petugas di sana. Waktu menunjukkan jam 7:30 malam dan kami tiba awal, kira-kira setengah jam dari masa yang telah ditetapkan. Seperti yang selalu saya lakukan, saya telah menghentikan lori di selekoh masuk di belakang pondok tersebut dan tidak berhenti di bahu jalan kerana saya tidak mahu menghalang lalulintas. 

Seperti kebiasaan, saya nyalakan lampu "hazard" dan juga lampu "blinker" untuk memberi isyarat kepada petugas yang berada di pondok tersebut akan kehadiran kami. Setelah selama sepuluh minit menunggu, tiba-tiba saya terhidu bau yang teramat busuk di dalam lori. Sangkaan saya, antara salah seorang daripada teman saya telah mengeluarkan angin. Dengan selamba saya cakap, "Eh lu orang mau kentut pun agak2lah. Kan boleh keluar lori..." Dua-dua tak mengaku. Saya malas nak layan saya pun turunkan tingkap lori untuk menyedut udara luar pula. Sejurus setelah saya turunkan tingkap, bau wangi yang teramat harum pula yang masuk ke dalam. Kami bertiga melihat antara satu dengan lain tanpa berkata apa2. Ya Allah, bulu roma saya meremang seketika. Kami tidak melakukan apa-apa ataupun berkata. Untuk hilangkan rasa takut saya cuma dapat membaca surah-surah yang saya tahu di dalam hati. 

Tidak lama kemudian ada sebuah motorsikal dari Malaysia yang datang melintas lori saya. Penunggangnya perlahankan motosikalnya dan melihat ke arah saya. Selepas itu dia memandang ke arah atas iaitu ke arah atas kabin lori saya. Mukanya seakan terperanjat. Dia terus memecut. Saya dah mula rasa tak sedap dan cuba menenangkan rakan-rakan yang lain. Sejurus selepas itu, kelihatan sebuah motosikal yang lain datang melintas. Kali ini penunggangnya berhenti agak jauh dari lori kami. Sambil membuat muka yang mengerikan penunggang itu melihat ke arah kami dan menunjukkan kami seolah-olah ada benda yang sedang bertenggek di atas kabin lori kami. Penunggang itu memekik lalu memecut pergi. 

Keadaan seakan kelam kabut. Saya dah tak boleh tahan lagi rasa ketakutan lalu meninggalkan tempat tersebut. Allah sahaja yang tahu perasaan kami bertiga pada saat itu. Muka semua dah mula pucat. Saya membuat keputusan untuk membuat satu pusingan dan kembali ke tempat tersebut. Tetapi kali ini saya memberhentikan lori di tepi jalan dan tidak berani memandang ke arah tempat yang saya berhenti awal tadi. Walaupun saya tidak bersemuka dengan makhluk tersebut, tetapi pengalaman menyeramkan ini tidak dapat saya lupakan dan akan terus berada di ingatan saya buat selamanya.

Terima kasih... Sekian...

TERIMA KASIH HAIRUL!!!

Sesat Di Hutan Mandai

Salam Sejahtera DJ KC dan pendengar MJ12,

Nama saya Rid dan saya ingin berkongsi pengalaman misteri saya ketika sedang menjalani perkhidmatan negara pada tahun 2000 di SISPEC. Ketika itu saya dan teman saya Joe sedang menjalani latihan navigasi (NAVEX) di hutan Mandai. Dua orang berada di dalam setiap pasukan dan membawa barangan keperluan seperti peta, parang, kompas, senarai pusat pemeriksaan, alat komunikasi dan satu NVS (night vision scope) selain senapang, topi keledar tentera and alat SBO.

Kami telah berada di hutan Mandai sejak 10 pagi. Banyak pusat pemeriksaan telah pun kami jumpa mengikut senarai. Keadaan malam sungguh gelap gelita, tiada sinaran bulan dan kami berjalan mengunakan NVS. Dan malam itu pula malam Jumaat! Selepas pusat pemeriksaan yang terakhir, kami pun terus berjalan menuju ke garis penamat. Kalau mengikut peta kami akan sampai ke garis penamat sekitar dua puluh minit dan jam menunjukkan 10.30 malam. Di dalam hati terdetik "ada peluang balik kem siang". Kami pun teruskan perjalanan. Joe bertanya berapa jauh lagi. Saya menjawab, "Dalam 200 meter dah sampai dah..." tetapi tak sampai-sampai ke tempat yang dituju itu. Kami telah berjalan selama dua jam dan kami dapat merasakan yang kami pernah lalu tempat yang sama. Kami seperti berjalan dalam bulatan. Nak kata kompas rosak, kelihatan ok. Jam di tangan menunjukkan sudah 12.30 pagi dan kami telah
SESAT!

Kami dapat mendengar dari alat komunikasi yang banyak pasukan lain sudah sampai ke garis penamat dan telah balik ke kem. Saya pun berkata kepada teman saya, "Joe kita rehat dahululah. Aku nak periksa kenapa kita tak sampai-sampai ni..." Saya pun melihat peta sambil melihat sekeliling mengunakan NVS. Sedang saya melihat-lihat, tiba-tiba saya terlihat ada benda tersangatlah putih dalam NVS. ***Untuk pengetahuan: Dalam gelap bila menggunakan NVS, benda-benda seperti pokok dan daun-daun nampak jelas berwarna hijau terang. Dan yang di belakang pokok itu ada benda tersangatlah putih. Benda putih itu berdiri di belakang sebatang pokok yang besar dan sedang bergoyang. Saya tersentak, "Apa benda yang putih tu eh?" Saya lihat lagi dalam NVS untuk kepastian. Jauhnya kira-kira 15 meter dari kami. "Alamak!!! Ada lagilah sedang bergoyang, macam sedang main 'chak chak'!"

Nak tahu apa yang saya nampak??? Gula-Gula!!! Bentuknya dalam NVS sungguh jelas sekali. Saya dah tak tahu nak buat apa lagi!!! Dahlah penat, lapar dan bekalan air dah nak habis, dalam keadaan sesat, tambah lagi ada Gula-Gula pula yang berdekatan dengan kami. Saya lihat lagi, masih ada lagi. Saya rasa gementar bercampur takut bercampur marah. Saya baca "Bismillah..." terus mengeluarkan parang dan terus lari meluru ke arah pokok besar itu dengan menjerit "Allahu Akbar!!!" (dalam hati berkata sebelum kau serang aku, aku serang kau dulu!!!) Dengan sekelip mata, Gula-Gula terus hilang dari penglihatan. Joe terperanjat dengan apa yang telah berlaku dan bertanya apa yang terjadi. Saya menjawab, "Takde apa-apa... Aku stres aje!!! Cepat, kita jalan dari sini..." Saya tidak memberitahu Joe apa yang saya nampak tadi. Beberapa minit kemudian kami dapat mendengar bunyi lori tentera berdekatan. Kami terus bergegas ke arah bunyi itu dan kami nampak garis penamat seperti yang tertera di dalam peta.

Pertanyaan yang bermain di dalam benak fikiran saya hingga kini, adakah kami sesat kerana Gula-Gula itu? Itulah satu pengalaman misteri yang saya lalui... Terima kasih...
 
TERIMA KASIH RID!!!

Monday, March 11, 2013

Bermalam Dengan Nenek Tua

Salam DJ KC dan pendengar MJ12,

Saya "Bob" (bukan nama sebenar) ingin mengetengahkan kisah yang pernah berlaku kepada saya 6 tahun yang lepas. Walaupun sudah lama perkara ni berlalu, tetapi masih tetap kekal di minda saya.

Tidak malu ingin saya mengaku bahawa saya ini dulunya nakal / jahat orangnya. Berasal dari keluarga yang tidak sempurna, saya mencari ketenangan dari dunia luar. Ini kerana ibu bapa (bapa saya kaki botol / berjudi) saya kerap  bergaduh di rumah dan sebab itulah saya kerap tidak pulang.

Saya sering ke tempat-tempat hiburan untuk berkenalan dengan wanita-wanita dan meniduri mereka. Inilah aktiviti yang kerap saya lakukan. Saya mengaku bahawa perbuatan saya ini keji dan tidak seharusnya diikuti oleh sesiapa sahaja. Perkara ini berlaku untuk beberapa tahun hinggalah pada suatu malam.

Saya berkenalan dengan seorang wanita, wajahnya cantik, badannya ramping, wanita yang "sempurna" pada pandangan saya, tidak pernah saya jumpa sebelum. Saya pun bermula berbual, bermesra dengannya. Setiap malam saya akan menunggu wanita tersebut dengan perasaan yang ghairah. Entahlah, setiap malam saya seakan tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Jikalau tidak jumpa wanita tersebut, badan saya terasa panas dan cepat marah. Ini tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini.

Pada satu malam, sekali lagi dengan perasaan yang ghairah, saya menunggunya. Setelah beliau datang, dia pun mengajak saya ke hotelnya. Saya pun tidak menolak (kerana telah biasa dengan wanita2 lain) dan mengikutinya ke bilik hotel. Pada malam tersebut, saya menidurinya.

Pada keesokan hari, saya bangun, saya nampak wanita tersebut masih tidur di sebelah membelakangi saya (jadi saya tidak nampak mukanya). Saya pun bangun ingin ke bilik air untuk membersihkan diri. Bila keluar saja dari bilik air, saya nampak bahawa wanita itu masih sedang tidur. Saya pun menghampiri beliau dan terperanjat apabila wajah si wanita itu berkedut seperti seorang nenek tua. Kulit badannya pun semua berkedut2. Tercegat saya beberapa minit sambil berfikir bahawa, wanita inikah yang saya bermalam bersama?

Dengan bersarung tuala di pinggang saya, saya tidak berfikir panjang lagi, saya terus capai pakaian saya dan lari keluar dari bilik hotel tersebut. Betul, saya lari macam lipas kudung (terasa sejuk je bila lari dengan tidak pakai seluar). Sambil saya lari, wajah "nenek tua" tersebut terngiang-ngiang di minda saya. Tiba sahaja di lobi hotel, saya pun tukar pakaian. Mujurlah pagi tersebut tidak ada orang sangat.

Saya memberitahu kepada rakan2 saya dan salah seorang rakan mempunyai pakcik yang merupakan seorang pakar. Beliau memberitahu saya bahawa saya telah meniduri seorang nenek tua yang bersusuk untuk kelihatan cantik dan muda. Tetapi motif nenek tua tersebut meniduri saya masih menjadi misteri dan macam mana susuknya "jatuh" pada pagi tersebut pun saya tidak tahu.

Sejak hari tersebut, tidak lagi saya berulang "aktiviti bodoh" saya. Tidak lagi saya ke tempat2 yang "kotor". Apapun, kini ibu saya sudah bercerai dengan bapa saya, dan tinggal bersama saya. Saya pula sudah berumahtangga dengan dua orang puteri. Saya pun telah ke jalan yang betul dengan binbingan isteri saya.

Pengalaman saya ini untuk menasihati pendengar2 muda kita supaya berfikir risiko pada setiap perkara yang dilakukan, tidak semestinya berkaitan dengan alam misteri. Terpulanglah jikalau para pendengar ingin percaya pengalaman saya ini tetapi ingatlah, MJ12 adalah satu hiburan.

Terima Kasih dan Selamat Malam...

TERIMA KASIH BOB!!!

Pembuli Meminta Maaf

Selamat malam para pendengar MJ12 dan DJ yang bertugas,
 
Saya ingin berkongsi peristiwa yang tidak boleh saya lupakan. Kisah saya ini tidaklah berkaitan dengan makhluk halus dan tidaklah seram tetapi, inilah kisah misteri saya.

Nama saya Adam, dahulu di sekolah menengah, saya ni selalu dibuli oleh seseorang ini bernama Zali
(bukan nama sebenar, takut kalau ada keluarganya mendengar). Dia ni memang kaki buli, semua orang takut dengannya, cikgu sendiri ada yang takut dengannya. Ada pernah tayar kereta cikgu dipancitkan tetapi beliau terlepas kerana tidak ada bukti kukuh. Banyak kes polis terjadi di sekolah saya puncanya sehinggalah guru besar pun bercadang ingin membuangnya dari sekolah tetapi kasihankan ibu bapanya yang kerap ke sekolah kerana kelakuan si Zali ini.

Zali ni sama kelas dengan saya dan tidak tahu mengapa, dia membuli saya lebih dasyat dari dia buli orang lain. Tiap-tiap hari dia akan merampas duit poket saya, mengambil buku saya, selalu menolak saya hinggalah saya jatuh, semua orang di kelas saya termasuk guru tahu perbuatannya terhadap saya tetapi semua buat tak endah. Saya hanya bersabar.

Sehinggalah pada satu hari, teman wanita saya ingin putuskan hubungan dengan saya kerana perbuatansi Zali ini (tidak tahu apa yang dibuat olehnya kepada teman wanita saya). Pada hari itu, dengan perasaan murah sangat, saya tumbuk mukanya sambil menjerit, "Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila!" Biasalah, selepas itu, saya ditumbuk balik sambil ditertawakan.

Tamat sahaja sekolah menengah, saya terus melanjutkan pelajaran saya di Vancouver, Canada untuk 5 tahun. Selama 5 tahun di sana, saya tidak tahu-menahu apa yang berlaku di Singapura kerana saya memang tidak ramai kawan.

Selepas beberapa hari saya kembali ke Singapura, saya pun keluar (mahu melihat perubahan). Saya pergi ke Civic Center di Woodlands, di tingkat dua ada Starbucks, saya pun lepak sana sambil minum kopi dan membaca majalah yang disediakan. Tiba-tiba saya perasan ada seseorang tepuk bahu saya dari belakang, saya pun menoleh. Terperanjat saya apabila ternampak Zali, dengan berpakaian jubah berwarna hijau dengan senyuman di wajahnya berdiri di belakang saya. Pada fikiran saya, "Apa yang dia mahu?" saya rasa takut pun ada (kerana fobia dari sekolah menengah). Dengan cara pemakaiannya, saya pun terfikir, "Mungkin dia sudah berubah". Lantas, tenteramlah jiwa saya sedikit. Saya pun pelawa dia duduk dan tanya jikalau beliau ingin memesan apa2 minuman tetapi beliau hanya geleng kepalanya.

Kami pun berbual tentang apa yang dilakukan selepas sekolah menengah, kerjaya masing2 dan macam2 lagi. Sedang kami berbual, saya terperasan, seorang petugas penyambut tamu ini asyik memerhatikan kami. Kalau saya pandangnya, dia akan toleh ke lain. Sambil berbual, Zali pun merayu dengan saya dengan nada suara yang sedih, "Adam, aku tahu di sekolah dulu aku selalu dengki dengan kau. Boleh tak kau maafkan kesemua kesilapan aku terhadap kau? Aku mengaku aku ni jahat, jahil, maafkan aku Adam..." 

Pada mulanya, saya mahu berdiam sahaja kerana perasaan marah masih terpendam, tetapi melihat titisan air matanya melembutkan hati saya. "Sudahlah, aku sudah lama maafkan kau Zali, harap tidaklah kau berulang perbuatan kau tu..." Zali pun tersenyum dengan ikhlasnya kepada saya. Tiba2 telefon bimbit saya pun berbunyi, mak saya yang cuba hubungi saya. Saya pun memberitahunya bahawa saya ingin pergi dan terus beredar dari situ.

Tiga hari kemudian, saya pun ke tempat yang sama (Civic Center Woodlands, Starbucks) untuk lepak. Terserempak pula dengan kawan sekelas saya, Ahmad. Kami pun berbual, bual punya bual, saya pun memberitahu beliau bahawa saya ke situ dan terjumpa kaki buli sekolah dahulu. Saya memberitahu beliau bahawa Zali nampaknya sudah taubat. Ahmad tiba2 terdiam sahaja mendengar saya cerita. Ahmad terus menyampuk saya, "Adam, kau jangan main2 oi. Apa yang kau cerita ni? Zali dah meninggal dunia tiga tahun lepas, dia meninggal dalam kemalangan motosikal..."

Saya pun terdiam sebentar, seraya tersentak, "Kau biar betul Ahmad? Jangan buat lawak lah..." Tiba2 ada seorang wanita menghampiri kawan saya Ahmad. Wanita itu berbisik2 ke dalam telinga kawan saya. Saya dapat tahu yang wanita itu teman wanita Ahmad yang saya nampak bertugas sebagai penyambut tamu di situ. Dia memberitahu kawan saya yang memberi tahu saya bahawa, kelmarin, dia memerhatikan saya berbual sendirian.

Hendak memuaskan hati saya, keesokan harinya, Ahmad membawa saya ke tanah kuburan di mana Zali dikebumikan. Memang benar, di batu nisan terlantar nama "Zali Bin Musa (bukan nama sebenar) telah kembali ke rahmatullah pada 13 August 2008. Jadi, siapakah yang berjumpa saya yang merayu meminta maaf pada hari tersebut?

Yang Ikhlas, 

Adam,
 
Salam Terima Kasih...

TERIMA KASIH ADAM!!!

Apakah Objek Itu???

Assalamualaikum dan selamat malam KC dan para pendengar RIA,

Nama saya Didi. Saya pendengar baru Misteri Jam 12 dari Sarawak. Saya tidaklah mempunyai kisah seram cuma ingin berkongsi sahaja. Kisah ini berlaku pada penghujung tahun 2008. Pada suatu hari, saya mengajak rakan saya iaitu Amri, untuk makan burger di kampung. Untuk pengetahuan semua, di kampung saya itu ramai yang membuka warung untuk menjual burger. Kami berjanji untuk pergi malam kerana warung burger biasanya dibuka petang hingga malam. Seperti yang dikatakan, malam itu tepat jam 9.35 malam, saya dan Amri pun pergi ke salah sebuah warung burger yang terdapat di kampung saya. Kami pun memesan burger yang kami mahu dan selesai membayar duit, saya mengajak Amri untuk makan di satu pelantar di mana ada sebuah perahu yang separuh siap. Kami duduk disitu sambil makan burger dan berbual-bual. Saya mendongakkan kepala ke atas dan memandang langit yang bergemelapan dengan bintang-bintang.

Tiba-tiba,ada satu objek melintas yang berwarna putih yang tidaklah tinggi sangat sebab ciri-cirinya sangat jelas. Kami yang sedang duduk saling berpandangan antara satu sama lain. Dan yang paling mengujakan, saya tidak ada rasa mengeremang bulu roma kecuali Amri. Selesai makan, kami pun balik ke rumah masing-masing dan saya terpaksa menghantar Amri pulang terlebih dahulu kerana ketakutan. Alhamdulillah, tidak ada sebarang gangguan sewaktu saya menghantar Amri dan sewaktu saya pulang. Puas saya bertanya apakah yang saya lihat itu kepada semua orang namun semuanya jawapan yang sama sahaja. Ada yang kata yang saya lihat itu mungkin Piring Terbang, Pontianak dan yang paling melucukan ialah salah seorang orang kampung bagi tahu saya yang saya patut berasa bertuah kerana dapat melihat tikar terbang seperti apa yang kamu lihat dalam filem Laksmana Do Re Mi. Namun dari hari kejadian itu berlaku sampailah sekarang, apakah objek yang saya lihat itu dan mengapa bulu roma saya tidak meremang saat kejadian kecuali Amri? Terima kasih dan selamat malam...

TERIMA KASIH DIDI!!!